Rabu, 11 Ogos 2010

Jualan pembuatan Jun meningkat 13.8 peratus

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Jualan pembuatan berkembang 13.8 peratus pada Jun kepada RM44.8 bilion daripada RM39.4 bilion setahun lepas dan meningkat 1.4 peratus berbanding dengan RM44.2 bilion jualan bulan Mei sebelum itu.



Berasaskan komulatif, nilai jualan sektor pembuatan dari Januari hingga Jun tahun ini mencatatkan pertumbuhan dua angka 20.8 peratus kepada RM261.7 bilion.



Di dalam satu kenyataan di sini hari ini, Jabatan Perangkaan berkata, peningkatan tahun ke tahun dijana oleh pertumbuhan nilai jualan 64 industri (55.2 peratus) daripada 116 industri yang diliputi di dalam kaji selidik itu.



Lima industri utama yang jualannya meningkat secara signifikan ialah pembuatan produk petroleum bertapis (11.8 peratus), pembuatan kenderaan bermotor (79.4 peratus), pembuatan penerima televisyen dan radio, rakaman bunyi atau video atau perlatan rakaman semula dan barangan berkaitan (39.0 peratus), pembuatan plastik dalam bentuk utama dan daripada getah tiruan (65.0 peratus), dan pembuatan kimia perindustrian asas lain kecuali baja dan sebatian nitrogen (18.1 peratus).



Sementara itu, jabatan itu berkata, peningkatan nilai jualan berbanding dengan Mei adalah berikutan pertumbuhan nilai jualan 71 industri (61.2 peratus) daripada 116 industri yang diliputi dalam kaji selidik itu.



Lima industri utama yang mencatatkan peningkatan jualan termasuk pembuatan injap dan tiup elektronik dan papan litar bercetak (17.4 peratus), pembuatan komputer dan peranti komputer (11.6 peratus), pembuatan produk petroleum bertapis (1.9 peratus), pembuatan pemancar televisyen dan radio dan peralatan talian telefon dan telegraf (18.8 peratus) dan pembuatan kenderaan bermotor (5.5 peratus).



Pada Jun, jumlah pekerja bergaji bagi sektor itu ialah 982,661, yang meningkat 0.6 peratus daripada bulan sebelum itu dan meningkat 5.3 peratus daripada 932,791 orang pada Jun tahun lepas.



Gaji dan upah yang dibayar pada Jun meningkat 0.6 peratus kepada RM2.187 bilion berbanding Mei dan ia meningkat 10.3 peratus berbanding Jun 2009.



Di segi produktiviti, iaitu purata nilai jualan setiap pekerja, telah meningkat 0.8 peratus pada Jun untuk dicatatkan RM45,621 berbanding bulan sebelum itu dan meningkat 8.0 peratus berbanding Jun tahun lepas. - BERNAMA



Tiada ulasan:

Catat Ulasan