Rabu, 11 Ogos 2010

Perolehan kiriman wang RM5b

Bank Muamalat Malaysia Bhd. (Bank Muamalat) menyasarkan perolehan sebanyak RM5 bilion dalam perkhidmatan pengiriman wang antarabangsa menerusi Western Union Company (WU).

Malah, bank itu menjangkakan segmen perniagaan itu mencatatkan pertumbuhan antara 20 hingga 25 peratus setahun, bermula tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid berkata, perkhidmatan pengiriman wang yang ditawarkan oleh WU itu boleh diperoleh melalui 56 buah cawangan dan pusat perkhidmatan Bank Muamalat di seluruh negara.

“Perkhidmatan baru yang ditawarkan ini akan membantu serta memberi kemudahan kepada para pelanggan terutamanya imigran untuk menghantar wang di negara masing-masing,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani dokumen perjanjian kerjasama antara Bank Muamalat dan Western Union di sini hari ini.

Hadir pada majlis ialah Naib Presiden Serantau Western Union, Ratheesh Kumar, Naib Pengarah Malaysia Western Union, Anand Kadakol dan Naib Presiden Kanan, Bahagian Perbankan Pengguna Bank Muamalat, Benedict Ho Kok Keong.

Sementara itu, Mohd. Redza Shah memberitahu, sehingga kini Bank Muamalat telah mengeluarkan pembiayaan sebanyak RM10 bilion.

“Kami tidak mahu melakukan tarikan pelanggan secara keterlaluan dalam pertumbuhan pembiayaan, sebaliknya melakukannya secara sederhana (moderate) bagi memastikan ia berpadanan dengan profail bank,’’ katanya.

Beliau menambah, kadar hutang tidak berbayar (NPL) Bank Muamalat juga disasarkan sebanyak 6.2 peratus pada tahun kewangan semasa dan setakat ini NPL bank itu melepasi purata industri.

Ketika ditanya mengenai pembukaan cawangan baru, beliau berkata, sebanyak tiga hingga empat cawangan akan dibuka pada tahun kewangan semasa dengan anggaran kos pelaburan sebanyak RM700,00 hingga RM1 juta untuk setiap cawangan.

“Hari ini sahaja kami membuka dua buah lagi bank cawangan Bank Muamalat di pantai timur,’’ ujarnya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan