Isnin, 3 Januari 2011

Sham Pest Control

SHAMSUDIN bersama kakitangan di ibu pejabat Sham Pest Control di Batu Caves, Selangor.

SHAMSUDIN bersama kakitangan di ibu pejabat Sham Pest Control di Batu Caves, Selangor.
 
 
SEMUANYA bermula daripada nasihat seorang pelanggan ketika berkhidmat dengan sebuah syarikat perkhidmatan pembasmian serangga kira-kira 20 tahun lalu.



“Kenapa Sham tidak tubuhkan syarikat sendiri. Bukankah itu lebih baik dan menguntungkan daripada bekerja dengan orang lain?” kata pelanggan itu kepada Shamsudin Salleh ketika beliau menjalankan kerja pembasmian serangga di rumahnya. Pelanggan itu akan mengajukan saranan itu setiap kali Shamsudin, 42, atau lebih mesra dengan panggilan Sham melakukan kerja pembasmian serangga di rumahnya yang mana setiap kali memerlukan khidmat berkenaan, pelanggan berstatus jutawan itu hanya mahukan Sham melakukannya. Shamsudin berkata, selepas berkali-kali diajukan pertanyaan serupa, beliau menjelaskan kepada jutawan terbabit bahawa ketiadaan modal menjadi punca beliau tidak menubuhkan syarikat sendiri dan bekerja dengan orang lain.



“Jutawan itu berkata kepada saya, cuba Sham kumpul sikit-sikit duit gaji bulanan dan beli peralatan asas yang perlu saja terlebih dulu untuk memulakan perniagaan,” katanya menceritakan sejarah awal penubuhan Sham Pest Control Sdn Bhd.



Cadangan jutawan itu dipraktikkannya secara senyap-senyap dan akhirnya selepas kira-kira tujuh tahun bekerja ‘makan gaji’ beliau nekad menubuhkan syarikat sendiri.



Bermodalkan RM6,000 hasil tabungan secara berdikit, Shamsudin menubuhkan Sham Pest Control Services pada 1993 yang hanya menawarkan perkhidmatan pembasmian serangga secara kecil-kecilan serta beroperasi dengan menumpang pejabat rakannya di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur.

Waktu itu, semua kerja daripada peringkat pemasaran hingga kepada kerja pembasmian serangga dilakukannya sendiri dengan bantuan seorang

kakitangan.



Selepas kira-kira empat bulan mengharungi detik sukar dan bergerak secara kecil-kecilan, akhirnya beliau berjaya memperoleh satu kontrak memuaskan yang menjadi antara titik tolak kejayaan syarikatnya.



Kontrak itu ialah projek pembasmian serangga untuk bangunan tambahan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Grik, Perak bernilai RM40,000.



“Dalam fikiran saya ketika itu hanya satu. Saya harus terima tawaran ini walaupun lokasinya jauh,” katanya yang berasal dari Baling, Kedah.



Bermula dengan projek MRSM Grik, itu beberapa projek lain mula menyusul hingga meyakinkan beliau untuk mengembangkan lagi syarikatnya dan ditukar menjadi Sham Pest Control Sdn Bhd pada 2004.



Bermula dengan hanya seorang pekerja serta menumpang di pejabat rakan

pada awal penubuhannya, Sham Pest Control kini boleh berbangga apabila sudah memiliki premis sendiri di Batu Caves, Selangor serta menggajikan 32 kakitangan.



Syarikat itu juga telah mengembangkan operasi ke seluruh Semenanjung Malaysia serta mempunyai dua pejabat cawangan iaitu, masing-masing di Kedah dan Melaka.



Dengan usia penubuhan dan pengalaman melebihi 15 tahun, Sham Pest Control mampu menawarkan khidmat lengkap pembasmian serangga untuk individu, syarikat korporat, badan berkanun dan organisasi kerajaan.



Syarikat itu telah dilantik sebagai kontraktor panel perkhidmatan pembasmian serangga perosak di beberapa syarikat dan organisasi kerajaan seperti Telekom Malaysia Bhd, Majlis Bandaraya Shah Alam, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.



Shamsudin berkata, setakat ini Sham Pest Control mempunyai kira-kira 150 kontrak berjadual dengan kontrak terbesar yang pernah diraih mencecah RM300,000.



Beliau berkata, antara resipi kejayaan syarikatnya ialah sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan yang mana selepas perkhidmatan diberikan, pihaknya akan menghubungi semula pelanggan untuk memastikan mereka berpuashati.



“Alhamdulillah, setakat ini boleh dikatakan semua pelanggan berpuashati selain kami juga turut memberi tempoh jaminan terhadap dengan perkhidmatan yang diberikan,” katanya.



Menurut Shamsudin, walaupun Sham Pest Control kini boleh dianggap antara syarikat Bumiputera yang berjaya dalam perniagaan pembasmian serangga, pihaknya sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kerana persaingan yang semakin sengit dalam perniagaan itu.



Beliau berkata, syarikat itu dalam proses memohon pensijilan ISO 9001 bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan dan operasi selain mahu mengembangkan pasaran ke Sabah dan Sarawak.



“Kami ada menerima pertanyaan dari beberapa pihak di Sabah dan Sarawak dan mungkin dalam tempoh dua atau tiga tahun kami akan membuka cawangan di sana.



“Cita-cita saya ialah untuk menjadikan Sham Pest Control pusat sehenti perkhidmatan pembasmian serangga termasuk menjadi pembekal bagi peralatan dan racun serangga,” katanya yang turut bercadang menceburi bidang penyenggaraan bangunan bagi memperluaskan lagi aktiviti perniagaan syarikatnya.



INFO:

Sham Pest Control Sdn Bhd





Bermula dengan pendaftaran Syarikat Sham Pest Control Services pada 1993

yang hanya memberi perkhidmatan secara kecil-kecilan, Sham Pest Control

kemudian beroperasi sebagai syarikat Sdn Bhd pada 2004.





Bermula dengan modal yang kecil dan dua kakitangan, syarikat itu kini

mempunyai bilangan kakitangan seramai kira-kira 30 orang serta pengalaman

lebih 14 tahun dalam perkhidmatan pembasmian serangga perosak.





Sham Pest Control kini memberi perkhidmatan ke seluruh Semenanjung Malaysia

serta memiliki dua pejabat cawangan, masing-masing di Kedah dan Melaka.





Syarikat itu yang beribu pejabat di Pusat Niaga batu Caves, Selangor

menawarkan perkhidmatan kepada individu perseorangan, syarikat korporat,

badan berkanun dan organisasi kerajaan.





ShamPest Control juga telah dilantik sebagai kontraktor panel perkhidmatan

pembasmian serangga perosak di beberapa syarikat dan organisasi kerajaan

seperti Telekom Malaysia Bhd, Majlis Bandaraya Shah Alam, Perbadanan Kemajuan

Negeri Selangor, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Putra

Malaysia.



PROFIL



Nama: Shamsudin Salleh

Jawatan: Pengarah Urusan Sham Pest Control Sdn Bhd

Umur/tarikh lahir: 42 (17 Disember 1968)

Isteri: Siti Raihanah Zainal


Sumber :BH

3 ulasan:

  1. Salam, boleh tak kongsikan bagaimana cara untuk mulakan perniagaan pest control.. terima kasih

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum Tuan,
    Saya berminat dalam kerjaya bisnes terutamanya pest control dan waste collection(domestik dan industri) tetapi yang utama adalah pest control.
    Saya mesih bekerja makan gaji dan membuat perniagaan online bisnes produk.
    Saya beru sahaja mendaftarkan ssm.
    Tapi saya tidak tahu untuk bermula dari mana dan saya tidak tahu macamana nak mengisi tander.
    Sekiranya tuan dapat kongsikan boleh email kepada saya di
    shazwi.bsk@gmail.com
    Terima kasih

    BalasPadam
  3. saya berminat nak bisnes pest control sendri

    BalasPadam