Kasturi Marine Heavy Engineering Sdn. Bhd. bakal menjadi peneraju serantau dalam kerja-kerja fabrikasi berat memandangkan industri minyak dan gas yang semakin melambung sekarang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, George Norman berkata, Kasturi ditubuhkan untuk melaksanakan pembangunan limbungan utama yang boleh menempatkan projek-projek besar dalam pembuatan modul dan pelantar luar pantai serta limbungan pembinaan kapal untuk mempermudah pelanggan-pelanggan sekitar rantau Asia dan Asia Pasifik.
"Limbungan fabrikasi itu akan dapat menghasilkan kapal pengeluaran terapung, kapal penyimpanan dan pemunggahan (FPSO), kapal pemunggahan simpanan terapung (FSO) dan kapal pengangkut gas asli cecair terapung (FLNG) serta unit-unit penggerudian, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FDPSO).
"Perbincangan telah dimulakan dengan beberapa syarikat gergasi minyak bagi tujuan ini," katanya kepada Bernama di sini.
Beliau berkata, limbungan yang dicadangkan itu boleh menampung kira-kira 30,000 hingga 40,000 tan metrik kerja-kerja fabrikasi keluli dan memiliki kEupayaan prasarana seperti kedalaman alir bebas lebih daripada 35 meter bagi kegiatan pemunggahan termasuk kegiatan berlabuh kering (dry docking).
Ia berbangga dengan keluasan terbina berjumlah 500 ekar menghadap ke laut dan boleh dilalui oleh kapal-kapal samudera, bot tunda dan baj pengangkutan.
Norman berkata, Kasturi telah mengenal pasti satu rakan kongsi asing yang sanggup melabur dalam projek itu dengan perbelanjaan modal AS$500 juta manakala kegiatan kejuruteraan dan pembinaan luar pantai akan diselaraskan oleh sebuah syarikat yang mempunyai kepakaran teknikal, serta berpengalaman dalam pembuatan modul dan pembinaan kapal.
"Beberapa syarikat gergasi minyak mahu bekerja dengan kami kerana limbungan mereka penuh dengan banyak projek. Jumlah ekuiti akan ditentukan melalui pengagihan kewangan syarikat-syarikat terpilih," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan