Jelas Ulung, yang baru mengemukakan tawaran RM5.20 sesaham untuk mengambilalih PLUS Expressways Bhd (PLUS) , mungkin terpaksa melanjutkan tempoh konsesi sehingga 20 tahun selepas 2038, tanpa sebarang kenaikan tol dan insentif cukai, jelas Nicole Goh, penganalisis di UBS Investment Research.
Nicole membuat unjuran tersebut berdasarkan andaian bahawa tiada modal teroka selepas tahun 2020 dan kos modal purata berwajaran (WACC) pada enam peratus yang juga merupakan kos hutang.
Berdasarkan tawaran Jelas Ulung, Nicole berkata, pelabur perlu melepaskan pegangan saham mereka pada harga RM4.60 seunit (tawaran UEM-KWSP adalah pada RM4.60 seunit), mengambilkira ketidaktentuan keputusan yang bakal dibuat kerajaan mengenai tawaran mereka.
Namun, kemampuan kewangan Jelas Ulung diragui jika tawarannya dinilai dari sudut pandang yang adil. Jelas Ulung bercadang menerbitkan bon bernilai RM22 bilion, tambahan kepada jumlah RM11 bilion yang perlu untuk membiaya transaksi berkenaan.
Dengan mengambil andaian kadar faedah sebanyak tujuh peratus setahun terhadap RM22 bilion tersebut, jumlah ini akan menyamai RM1.5 bilion setahun atau RM43.1 bilion hingga tahun 2038.
Jelas Ulung juga mencadangkan supaya kadar tol tidak dinaikkan. Untung bersih PLUS pada 2009 adalah sebanyak RM1.2 bilion. Tanpa sebarang kenaikan kadar tol, ia bermakna keuntungan bersih akan susut kepada RM1.1 bilion, jika kadar pertumbuhan keuntungan syarikat diunjurkan pada 4 peratus hingga 5 peratus setahun.
Walaupun Jelas Ulung mengunjurkan keuntungan bersih terkumpul menjelang 2038 pada RM66 bilion akan menyerap kos caj faedah sebanyak RM43.1 bilion tersebut, persoalan lain yang timbul pula adalah bagaimana ia akan menyelesaikan hutang RM33 bilion untuk mengambilalih PLUS?
Penganalisis itu menambah, dengan faedah sebanyak RM2.3 bilion setahun, perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) harus mencecah sekurang-kurangnya RM4.6 bilion untuk mengekalkan jumlah aliran tunai bagi memenuhi komitmen kewangan syarikat.
Seorang penganalisis yang maklum dengan tawaran tersebut berkata, Jelas Ulung dan Bank of China berdepan kos yang tinggi dalam menstruktur bon sedia-ada PLUS.
"Untuk membiaya semula bon (sukuk) tersebut, mereka perlu membayar pampasan kepada pemegang bon bagi mengelakkan kerugian," menurut sumber itu.
Beliau menambah pengambilan alih PLUS akan menjadi lebih mudah jika ia dibuat oleh agensi seperti KWSP yang berkemampuan untuk mengambilkira kepentingan jangka panjang PLUS. "Bank of China, dalam pada itu, mungkin tidak mampu untuk memperuntukkan dana tambahan untuk PLUS memandangkan PLUS hanya akan menyalurkan aliran tunai tetap (tanpa sebarang kenaikan tol),"
"Inilah yang menjadi tanda tanya mengapa Jelas Ulung bersungguh-sungguh menawarkan RM5.20 sesaham untuk mengambilalih aset PLUS pada harga RM26 bilion," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan