Isnin, 3 Januari 2011

Standard & Poor’s positif operasi perladangan, makanan mampu perkukuh keluaran syarikat

STANDARD & Poor’s mengekalkan saranannya supaya pelabur terus membeli saham Kulim (Malaysia) Bhd dengan meninggikan harga sasaran 12 bulan kepada RM14 seunit daripada RM9.50 sebelum ini. Peningkatan harga sasaran 12 bulan itu susulan peningkatan unjuran pendapatannya dan penyelarasan parameter penilaian. S&P positif akan tinjauan segmen perladangan Kulim di Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon, yang muncul penyumbang kukuh pendapatan kumpulan perladangan itu.



New Britain Palm Oil Ltd sedang melaksanakan perubahan operasi di ladang Kula Palm Oil untuk meningkatkan tuaian secara berperingkat untuk tempoh 24 bulan akan datang.



Pemulihan perladangan yang kurang produktif bukan baru buat New Britain Palm Oil. Ladangnya seluas 6,361 hektar di Kepulauan Solomon sebelum ini adalah ladang sawit yang terbiar.



Sejak New Britain Palm Oil mengambilalih ladang itu pada 2005, produktivitinya semakin mengukuh dengan tuaian sawit mencatatkan peningkatan sekali ganda menghampiri 21 tan sehektar, berbanding 10.5 tan sehektar pada 2006.

S&P menaikkan nisbah harga berbanding pendapatan (PER) bagi segmen perladangan Kulim kepada 12 kali daripada 11 kali sebelum ini sejajar penilaian tinggi bagi New Britain Palm Oil.



Firma penyelidikan saham itu juga menaikkan PER bagi operasi makanan dan restoran kepada 10 kali daripada lapan kali.



Spekulasi berhubung rancangan Johor Corp Bhd melupuskan kepentingannya dalam QSR Brands Bhd dan KFC Holdings (M) Bhd terjawab 27 Disember lalu apabila syarikat milik kerajaan Johor itu mengeluarkan kenyataan tidak akan menjual kedua-dua aset berharga itu.



Ia berkata, adalah tidak masuk akal bagi JCorp menjual perniagaan terasnya yang menguntungkan.



Kepentingan JCorp dalam QSR dan KFC dikuasai menerusi Kulim, yang adalah anak syarikat 53 peratus miliknya.



Kulim menguasai 57.5 peratus kepentingan dalam QSR. QSR pula menguasai 50.6 peratus kepentingan dalam KFC.



Adalah dianggarkan sejak mengambilalih QSR dan KFC pada 2006, kumpulan itu menyaksikan pendapatan dan keuntungan pracukai berkembang masing-masing pada kadar 13.8 peratus dan 3.7 peratus setahun.



Ia menyumbang 47.5 peratus pendapatan dan 44.1 peratus untung pracukai Kulim dalam tahun kewangan berakhir 2009.



Isu berkaitan cadangan penjualan dua aset itu muncul susulan spekulasi bahawa JCorp berhadapan obligasi hutang ditanggung yang besar.



Setakat 31 Disember 2009, beban hutang JCorp berada pada paras melebihi RM6 bilion, yang mana RM3.6 bilion daripadanya perlu diselesaikan sebelum Julai 2012.



Dalam perkembangan yang sama, JCorp menegaskan hutangnya terurus dan mendedahkan sudah melantik CIMB Bank Bhd dan Malayan Banking Bhd sebagai penasihat kewangan dalam program pengstrukturan semula hutangnya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan