Khamis, 4 November 2010

UEM Land tarik pelabur AS ke Nusajaya

UEM Land Bhd. (UEM Land) telah mempelawa para pelabur dari Amerika Syarikat (AS) untuk menyertai pelaburan pembangunan bandar pinggir air, Puteri Harbour di Nusajaya, Johor.



Ketua Pegawai Eksekutif UEM Land, Datuk Wan Abdullah Wan Ibrahim berkata, pihaknya kini peringkat awal perbincangan mengenai pelaburan itu.



''Kami masih belum dapat mendedahkan nama-nama pelabur dari AS kerana segala-galanya berada dalam peringkat perbincangan.



''Malah, pasukan kami juga akan berangkat ke AS minggu depan bagi menghadiri sesi perundingan dan menarik pelaburan di Puteri Harbour dan di Nusajaya,'' katanya.



Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian kerjasama pembangunan Puteri Harbour di antara Bandar Raya Developments Bhd. (BRDB) dengan UEM Land di sini hari ini.



Hadir sama pada majlis ialah Pengerusi BRDB, Datuk Mohamed Moiz dan Ketua Pegawai Eksekutif BRDB, Datuk Jagan Sabapathy.



Perjanjian kerjasama itu dimeterai selepas BRDB telah mengambil alih 60 peratus pegangan dalam Haute Property Sdn. Bhd. (Haute) pada Julai tahun ini daripada Dubai World Limitless Holdings Pte Ltd. (Limitless).



Pengambilan alih yang berjaya diselesaikan Isnin lalu menyaksikan BRDB melalui anak syarikatnya Arden Heights Sdn. Bhd. telah menggantikan Limitless sebagai rakan kongsi UEM Land untuk pembangunan projek di Puteri Harbour.



Haute telah dibentuk pada Disember 2007 yang lalu sebagai syarikat peneraju yang menjalankan pembangunan kediaman utara di Puteri Harbour, Nusajaya.



Kediaman utara Puteri Harbour dengan cadangan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.3 bilion dijangka dibangunkan dalam enam fasa bagi tempoh melebihi tujuh tahun dengan fasa pertama dijangka bermula pada suku ketiga 2011.



UEM Land menyasarkan untuk menjadikan bandar raya Nusajaya aktif menjelang 2012.



Ketika ditanya tentang nilai tanah di Nusajaya pada waktu ini, Wan Abdullah berkata, beberapa tahun lalu, harga tanah di Nusajaya sekitar RM18 sekaki persegi, tetapi kini meningkat kepada RM31 sekaki persegi.



Katanya peningkatan nilai tanah itu berlaku secara berperingkat-peringkat.



Ketika ditanya mengenai bilangan pelabur di Puteri Harbour dan Nusajaya pada waktu ini, tambah beliau, sebahagian besar pelabur adalah tempatan.



Katanya, setakat ini hanya lima pelabur di Nusajaya yang terdiri daripada pelbagai bidang pembangunan seperti kediaman, hiburan dan rekreasi, pusat pengajian tinggi dan beberapa lagi.



Sementara itu, Sabapathy menambah, melalui kerjasama pembangunan Puteri Harbour, BRDB akan merancang pembiayaan melalui dana dalaman dan pinjaman bank.



Katanya, masih banyak perkara yang perlu dilakukan oleh BRDB seperti menilai semula pelan induk.



''Saya yakin terdapat beberapa perubahan pada pelan induk pembangunan Puteri Harbour dalam tempoh beberapa bulan akan datang,'' kata beliau lagi.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan