Isnin, 1 November 2010

Malaysia Debt Ventures biayai teknologi hijau

Agih RM1 bilion untuk pembiayaan kepada syarikat bioteknologi

MALAYSIA Debt Ventures Bhd (MDV) yang sebelum ini hanya membiayai syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta bioteknologi, akan mula menawarkan pembiayaan bagi syarikat teknologi hijau mulai Januari ini menerusi sebahagian dananya berjumlah RM1 bilion. Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya, Md Zubir Ansori Yahaya, berkata syarikat teknologi hijau yang menepati kriteria ditetapkan anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan itu, boleh mendapatkan pembiayaan menerusi dana itu. “Daripada keseluruhan RM1.5 bilion dana tambahan, sebanyak RM500 juta sudah dilulus dan diagihkan kepada syarikat ICT dan bioteknologi.



“Kita akan menggunakan baki RM1 bilion lagi untuk mengembangkan program pembiayaan kepada sektor teknologi hijau,” katanya ketika ditemui Berita Harian, baru-baru ini.



MDV, yang ditubuhkan pada 2002 diberi amanah untuk mengendalikan dana pertama bernilai RM1.6 bilion daripada Japan Bank for International Cooperation (JBIC) dan dana tambahan bernilai RM1.5 bilion yang dibahagikan kepada tiga kumpulan membabitkan RM500 juta setiap satu.



MDV memulakan program pembiayaannya dengan sektor ICT dengan peruntukan pertama RM1.6 bilion habis diagihkan dalam tempoh kira-kira lima tahun. Syarikat itu kemudian meluaskan kemudahan terbabit kepada sektor bioteknologi ketika dana kedua dilancarkan pada 2008.



Ia kini telah melulus dan mengagihkan pembiayaan kepada kira-kira 300 syarikat yang terbabit dalam projek pertumbuhan tinggi dalam sektor ICT dan bioteknologi, dengan 60 peratus daripadanya syarikat Bumiputera dan 80 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS).



Md Zubir berkata, syarikat teknologi hijau yang berminat mendapatkan pembiayaan daripada MDV perlu melalui proses serupa membabitkan penilaian dari segi pengurusan, teknikal, kewangan, perundangan dan cagaran.



“Syarikat terbabit akan dinilai oleh jawatankuasa kami dan hanya yang memperoleh markah melepasi paras 60 peratus akan dipertimbangkan. Jika diluluskan mereka boleh memperoleh pembiayaan dengan maksimum RM50 juta,” katanya.



Mengenai bayaran balik pinjaman, beliau berkata komitmen yang ditunjukkan oleh syarikat terbabit setakat ini adalah baik.



Katanya, tempoh bayaran balik yang diberikan untuk syarikat ICT ialah lima tahun manakala syarikat bioteknologi pula tujuh tahun.



“Jika ada syarikat yang berdepan kesulitan membayar balik pinjaman, kita akan membuat penjadualan semula jika syarikat terbabit masih menjana pendapatan,” katanya sambil menambah kadar pinjaman tidak berbayar bersihnya ketika ini ialah 6.7 peratus.



MDV akan menjadi penaja untuk BioMalaysia 2010 yang akan bermula hari ini hingga 3 November

Tiada ulasan:

Catat Ulasan