Isnin, 1 November 2010

Konvensyen persatuan keluli esok

 Konvensyen Antarabangsa Persatuan Keluli Struktur Malaysia (MSSA) yang akan berlangsung di ibu negara Selasa ini bakal membincangkan mengenai pengurusan kelestarian terhadap projek-projek mega yang dijalankan.



Timbalan Presiden MSSA, Stephen Tam berkata, penganjuran tersebut dilihat bertepatan dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang digariskan bagi memacu Malaysia ke arah mencapai Wawasan 2020.



"Konvensyen ini bakal memaparkan pakar-pakar ternama, ahli akademik dan pengkaji dari pelbagai bidang dalam industri keluli bagi berkongsi pengalaman dalam pengurusan kelestarian dalam pelaksanaan projek-projek mega," katanya melalui kenyataan yang dikeluarkan di sini.



Konvensyen dwi-tahunan itu merupakan kali keenam dianjurkan MSSA dengan tema kali ini adalah 'Pembinaan Keluli - Satu Perspektif Dunia.



Menurutnya, isu-isu kelestarian yang dihadapi industri keluli bukan sahaja berlaku di Malaysia malah juga di seluruh dunia.



Tambah Tam, penganjuran itu merupakan medium terbaik kepada pemain-pemain dan pakar dalam industri keluli untuk bertukar pendapat, pengetahuan dan pengalaman terhadap pelbagai isu berbangkit di peringkat nasional serantau mahupun antarabangsa.



"Peserta dari Malaysia boleh menggunakan peluang ini untuk mempelajari amalan terbaik dalam strategi kelestarian yang dilaksanakan oleh industri keluli dan pembinaan luar negara seperti United Kingdom (UK), Belanda, China dan Taiwan," ujarnya.



Jelas beliau, antara topik yang dijangka menarik adalah pembentangan oleh Andrew Colling yang terlibat secara langsung dalam pembinaan Stadium Olimpik London 2012.



Maklumat lanjut boleh didapati dari laman sesawang MSSA, www.mssa. org.my.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan