Isnin, 1 November 2010

IIB bangunkan Iskandar Malaysia

 Iskandar Investment Bhd. (IIB) akan memberi tumpuan menjadi sebuah syarikat strategis untuk membangunkan Iskandar Malaysia yang terletak di Johor dan bukan sekadar syarikat pengurusan projek.



Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, hanya dengan cara yang sedemikian IIB akan berupaya membawa masuk lebih ramai pelabur asing,



''Strategi ini menjadi fokus saya untuk mengelak IIB hanya dilihat sebagai sebuah syarikat pengurusan projek,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia.



Syed Mohamed, sebelum ini merupakan Pengarah Bahagian Hartanah dan Infrastruktur Kumpulan DRB-Hicom, merupakan peneraju baharu IIB yang akan menggantikan Arlida Ariff pada 1 November ini.



Kontrak Syed Mohamed adalah sehingga 2013.



Ditanya mengapa menerima tawaran bagi menerajui IIB, Syed Mohamed berkata, IIB akan memberi cabaran baru yang lebih hebat berbanding pengalamannya sebelum ini termasuk ketika projek Knowledge Economic City di Arab Saudi.



Katanya, projek Knowledge Economic City tidak mampu mencabarnya memandangkan negara Arab masih ketinggalan berbanding kepakaran dalam kemajuan teknologi berbanding Malaysia.



Beliau mengakui bukan mudah untuk membangunkan kawasan hartanah sambil menarik dan menggunakan pelaburan asing.



''Saya pasti, IIB pasti mencabar saya dan saya akan berkongsi pengalaman tersebut apabila tiba masanya nanti,'' ujar beliau.



IIB dikuasai 60 peratus oleh Khazanah dan masing-masing 20 peratus lagi oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor.



IIB bertanggungjawab mempromosi Iskandar Malaysia, pelaburan hartanah terbesar Khazanah di Johor Bahru.



Syed Mohamed berpengalaman dalam industri hartanah, pernah menjadi Ketua Pegawai Operasi Seera City Real Estate Development Co., yang terlibat dalam projek Knowledge Economic City di Madinah, Arab Saudi.



Syed Mohamed juga individu yang bertanggungjawab mempromosikan projek Bandar Enstek, perbandaran baru bernilai lebih RM9 bilion ketika menjadi Ketua Pegawai Eksekutif di TH Properties Sdn. Bhd.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan