Isnin, 1 November 2010

Mengembangkan kewangan Islam dengan lebih meluas


SEPANJANG minggu lalu, Kuala Lumpur menjadi tumpuan apabila pelbagai isu berkaitan kewangan Islam peringkat global dibincangkan diikuti beberapa cadangan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan Islam diperkenalkan.



Kehadiran tokoh-tokoh kewangan Islam menjadikan Forum Kewangan Islam Global (GIFF) menjadi lebih menarik lagi.



GIFF turut mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya forum tersebut berjaya menubuhkan Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM) untuk menangani pengurusan kecairan dalam pembiayaan Islam.



Sejumlah 11 negara dan dua organisasi menyertai IILM untuk menawarkan perkhidmatan kewangan Islam dalam menangani isu-isu kecairan dan meningkatkan pelaburan berasaskan syariah.



Malah IILM akan menerbitkan nota jangka pendek pada tahun depan dengan pelbagai mata wang bermula dengan mata wang dolar dan kemudiannya Euro.



Selain itu, beberapa masalah utama mengenai kewangan Islam telah dikenal pasti terutama dalam memperkenalkan sistem kewangan itu di peringkat sejagat.



Krisis ekonomi dunia yang melanda baru-baru ini telah memberikan kesan buruk kepada keadaan semasa terutama sistem konvensional.



Namun impak terhadap kewangan Islam adalah kecil berbanding konvensional dan senerio tersebut telah membuka mata banyak pihak bagi beralih kepada sistem kewangan yang berlandaskan syariah itu.



Ia boleh dijadikan sebagai model alternatif dalam usaha untuk mengekang kesan krisis yang lebih hebat.



Salah seorang ahli panel GIFF juga turut menegaskan bahawa sistem kewangan Islam perlu dipasarkan di peringkat antarabangsa dengan dikenali sebagai sistem kewangan beretika.



Ia bagi mengelakkan kebimbangan masyarakat global apabila menggunakan nama sistem kewangan Islam.



Selain itu, negara-negara yang menggunakan kewangan Islam dalam sistem ekonomi mereka juga perlu lebih agresif dalam memperkenalkan sistem tersebut agar ia lebih pantas diterima oleh masyarakat dunia.



Sementara itu, kewangan Islam juga perlu mempunyai satu standard yang sama dalam memastikan penyeragaman undang-undang atau polisi dapat dilakukan.



Penyeragaman dan keharmonian itu adalah penting bagi memudahkan orang ramai untuk menjadikannya sebagai pilihan.



Pemikir syariah perlu menubuhkan badan pemantau itu bagi membolehkan setiap produk keluaran dapat diterima oleh semua pihak.



Bagi membangunkannya, sebarang perbezaan perlu ditolak dan bekerjasama perlu diperkukuh bagi membolehkan kewangan Islam lebih berinovatif dalam menghasilakan produk yang dapat diterima oleh seluruh masyarakat dunia.



Masalah lain yang dihadapi kewangan Islam adalah kekurangan modal insan yang serius dalam industri ini.



Bagi mengatasi masalah tersebut, lebih banyak institusi pengajian tinggi perlu menawarkan kursus-kursus yang bersesuaian dengan permintaan industri kewangan Islam.



Salah satu langkah positif telah diambil oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang telah menubuhkan Pusat Pendidikan Antarabangsa Kewangan Islam (INCEIF).



Bagi mengatasi masalah kekurangan modal insan, lebih banyak pusat pendidikan seperti INCEIF perlu ditubuhkan pada masa hadapan kerana sistem kewangan Islam berpotensi besar dikembangkan di peringkat antarabangsa.



Dengan kerjasama semua pihak sahaja yang dapat memastikan sistem kewangan Islam bukan sahaja dapat diterima masyarata global tetapi juga dapat menjadi pilihan utama mereka.



Oleh SARAH NADLIN ROHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan