Khamis, 4 November 2010

PERKIM

TUJUAN penubuhan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) adalah untuk membantu dan membimbing saudara baru sama ada dalam bentuk kewangan mahupun ilmu agama. Hasilnya ada antara saudara baru berjaya dibimbing dan mereka pula mencurahkan bakti meneruskan dakwah dalam kalangan masyarakat.



Individu seperti Dr Ridhuan Tee Abdullah, Ustaz Mohd Farid Ravi, Ustaz Muhammad Fitri Abdullah, Ustaz Muhammad Farhan Al-Hafiz, Puan Sofia Yeong Mei Foong dan Masyitah Choon adalah antara mereka yang menjadi kebanggaan PERKIM. Mereka melafazkan syahadah dan PERKIM menjadi saksi. PERKIM nama yang menjadi pilihan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj bekas Perdana Menteri pertama, selaku pengasasnya ditubuhkan pada 19 Ogos 1960. Bermatlamatkan kebajikan pertubuhan ini bukan hanya menyasarkan bantuan kepada masyarakat Islam tetapi meluaskan kepada bukan Islam. Sejak penubuhannya NGO Islam ini tidak kenal erti putus asa untuk membantu mana-mana individu yang berminat memeluk Islam. Menerusi 13 bahagian pada setiap negeri, PERKIM menyampaikan syiar Islam. Perjuangan PERKIM dikukuhkan lagi dengan wujudnya Wanita PERKIM yang banyak mengadakan aktiviti, khususnya untuk wanita. Di bawah kepemimpinan Tan Sri SOK Ubaidullah (1960-1964) sebagai Yang Dipertua pertama PERKIM, memulakan usaha dakwah pada peringkat awalnya menekankan pendidikan kepada saudara baru dan umat Islam.



Tugas itu disambung pula oleh pengganti beliau, Tan Sri Yusoff Ibrahim (1964-1968), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Zain (1969-1971), Tan Sri Yusoff Ibrahim (1964-1968), bekas Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (1974-1989), Tan Sri Abdul Taib Mahmud (1989-2006) dan Tun Dr Mahathir Mohamad (2006 sehingga sekarang).



Sejajar dengan peredaran waktu, peranannya semakin diperluaskan. Kini, PERKIM melebarkan sayap dengan penubuhan Kelab PERKIM di beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Pembabitan anak muda dilihat mampu memudahkan tugasan dakwah terutama dalam kalangan remaja. Ditambah lagi dengan penggunaan internet memudahkan lagi usaha mereka.



Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Datuk Hasbullah Lebai Isa, berkata tahun ini genap 50 tahun penubuhan PERKIM dan sememangnya mereka menyedari PERKIM perlu memperbaharui strateginya di dalam menyampaikan dakwah. Apatah lagi kini Islam sering dilabel dengan pelbagai tanggapan negatif.

“Sambutan sempena 50 tahun PERKIM ini akan diadakan selama tiga hari bermula 5 hingga 7 November ini. Beberapa aktiviti diatur dan acara kemuncak pada 6 Oktober ialah perasmian dijangka dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan pada jam 9 pagi.



Pada pagi itu, akan diadakan penyampaian anugerah kepada mereka yang pernah berjasa kepada PERKIM. Antaranya Ubaidullah, Tan Sri Syed Jaafar Albar dan Tan Sri Nasir Ismail.



Seramai 22 orang akan menerima anugerah pada siangnya. Pada malamnya, seramai 15 orang akan menerima anugerah. Penyampaiannya disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis makan malam.



Pada hari itu juga, dokumen sejarah penubuhan PERKIM akan diserahkan kepada Jabatan Arkib Negara untuk direkodkan. Selepas majlis perasmian oleh Perdana Menteri, Yang Dipertua PERKIM, Dr Mahathir akan menyampaikan amanat kepada ahli PERKIM yang datang dari seluruh negara.



Pada malamnya pula, Muhyiddin akan merasmikan buku ucapan Dr Mahathir yang bertajuk Tajdid Pemikiran Islam Tun Dr Mahathir.



Sementara itu, pada tarikh sama Perdana Menteri dijangka melancarkan projek penulisan buku komemoratif edisi khas sempena Jubli Emas PERKIM. Buku ini antara lain memuatkan sejarah penubuhan awal PERKIM dan ia disasarkan terutama kepada yang bukan Islam untuk mereka mengenali Islam. Pada hari sama, Koperasi PERKIM Malaysia Berhad turut dilancarkan. Keahlian terbuka kepada semua ahli PERKIM dan orang awam.



“Sudah tiba masa PERKIM menjana pendapatan untuk pertubuhan dan ahli. Koperasi ini bakal menyediakan perkhidmatan seperti perlindungan insurans dan khairat kematian. Perasmian akan dilakukan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob,” kata Hasbullah.



Tambah menarik, ekspo dan karnival membabitkan 40 gerai sepanjang tiga hari itu akan diadakan, termasuk pameran kereta dan motosikal berkuasa tinggi. Agensi swasta dan jabatan kerajaan seperti Suruhanjaya Koperasi, Kementerian Pertahanan, Bomba, Program Latihan Khidmat Negara, Pusrawi dan Jabatan Penjara.



Pada hari ketiga, Konvensyen Tajdid Pemikiran Islam akan diadakan dan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.



Pembentangan dua kertas kerja akan disampaikan oleh Felo Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Ismail Ibrahim dan Pengarah Institut Islam Hadhari, Prof Datuk Dr Mohd Yusuf Osman dengan tajuk Hala tuju Dakwah Ke arah Pembinaan Generasi Qurani Era Globalisasi. Tajuk ini akan dibahaskan Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Malaya. Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Prof Dr Abdul Latif Samian.


Sumber; Berita Harian Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan