Khamis, 4 November 2010

Peraturan Bank Negara tiada impak drastik

Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengehadkan nisbah pinjaman-kepada-nilai (LTV) bagi kemudahan pembiayaan rumah ketiga dan seterusnya tidak akan memberikan impak drastik terhadap permintaan untuk pinjaman gadai janji, demikian menurut sebuah syarikat penyelidikan.



Semalam BNM meningkatkan nisbah LTV kepada 70 peratus bagi kemudahan pembiayaan rumah ketiga dan seterusnya.



OSK Research Sdn. Bhd. dalam nota penyelidikannya berkata, kemudahan pembiayaan untuk pembelian rumah pertama dan kedua tidak terjejas dan peminjam masih lagi boleh terus mendapatkan pembiayaan untuk pembelian-pembelian ini.



"Dengan mengandaikan pertumbuhan pinjaman hartanah kediaman menyederhana sebanyak 50 peratus ekoran had peminjaman kredit BNM yang lebih ketat, jumlah pinjaman industri boleh jadi pada 10 hingga 10.5 peratus, iaitu di tahap tinggi akhir daripada anggaran pasaran," katanya.



Syarikat penyelidikan itu berkata, memandangkan kelembapan dalam eksport global dan sentimen perniagaan boleh menjejaskan pertumbuhan pinjaman perniagaan, bank masih perlu mengekalkan peminjaman gadai janji yang agresif bagi memenuhi sasaran pertumbuhan pinjaman masing-masing.



Dalam pada itu, syarikat penyelidikan itu mengekalkan saranan overweight ke atas hartanah Malaysia dan berharap para pelabur merebut peluang untuk mengumpul hartanah kediaman pertengahan hingga mewah.



Sementara itu, ECM Libra menjangka meningkatkan penawaran harta siap baru dari tahun 2011 hingga 2012.



Katanya, lebihan penawaran baru ini dan meningkatnya pelancaran oleh para pemaju dalam memasuki tahun 2011 mungkin menyaksikan pasaran yang agak berdaya saing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan