Pengenalan
Cekikan ialah sekatan pada saluran udara yang terjadi di antara belakang tekak dengan paru-paru.
Cekikan mungkin merupakan sekatan sepenuhnya atau sebahagian/separa sahaja.
Sekatan saluran udara sepenuhnya mengancam nyawa kerana seseorang itu tidak dapat bernafas. Pertukaran udara tidak akan berlaku menyebabkan kulit dan bibir bertukar menjadi biru. Bagi sekatan sebahagian atau separa, sedikit sahaja udara dapat melalui saluran pernafasan dan mangsa akan terbatuk-batuk. Keadaan tercekik sebegini boleh mengancam nyawa jika mangsa tidak dapat menyedut dan menghembus nafas dengan sempurna.
Asas Saintifik?
Cekikan akan menghalang oksigen dari memasuki paru-paru, dan seterusnya ke bahagian-bahagian penting yang lain dalam badan seperti otak .
Setiap sel dalam badan, terutamanya otak memerlukan oksigen untuk hidup. Otak akan berhenti berfungsi walaupun selepas beberapa saat sahaja. (akibatnya mangsa akan pengsan) jika tidak mendapat bekalan oksigen . Jika ini berterusan sehingga 4 - 5 minit, kemungkinan otak akan mengalami kerosakan yang kekal dan mungkin juga boleh membawa maut.
Penyebab ?
Banyak faktor yang boleh menyumbang kepada cekikan, terutama di kalangan kanak-kanak kecil .
Punca cekikan bagi kanak-kanak berumur lebih setahun dan orang dewasa
• Makanan Tercekik makanan boleh berlaku sekiranya seseorang itu bercakap atau terbatuk ketika sedang makan. Makanan yang tidak dikunyah dengan sempurna akan mudah menyekat saluran udara. Tercekik di kalangan kanak-kanak sering kali berlaku akibat mengunyah makanan ketika melakukan aktiviti fizikal (seperti berlari)
• Pengambilan alkohol:
mungkin gagal menyedari apabila saluran udaranya tersekat oleh makanan, terutama ketika mabuk.
• Kecederaan di muka dan kepala: Darah dan gumpalan darah beku akibat pendarahan boleh menyebabkan cekikan. Bagi kes kecederaan, ini akan memburukkan lagi keadaan kerana kecederaan di kepala akan memberi kesan kepada kewarasan seseorang itu.
• Objek-objek kecil : Objek-objek kecil termasuk apa sahaja barangan rumah, ataupun makanan berbentuk bulat dan padu yang boleh dimasukkan oleh kanak-kanak dengan mudah ke dalam mulut mereka boleh menyebabkan cekikan. Bila makanan ini tidak dapat dikunyah dengan baik, mereka mungkin cuba menelannya begitu sahaja.
Punca cekikan di kalangan bayi berumur bawah satu tahun
• Menyedut atau menelan objek asing adalah punca lazim yang menyebabkan bayi tercekik. Sesetengah bayi mempelajari sesuatu benda baru dengan memasukkannya ke dalam mulut (ataupun hidung) dan ini merupakan sebahagian dari proses normal perkembangan bayi.
Punca-punca lain yang boleh meningkatkan risiko cekikan
• Strok
• Epilepsi atau gila babi
• Pembengkakan di bahagian leher akibat jangkitan
• Kecederaan kepala
• Mabuk (contoh: alkohol)
• Pengambilan ubat yang berlebihan
• Koma
• Jantung berhenti berdenyut
Faktor - faktor risiko ?
Kanak-kanak pada tiga tahun pertama kehidupannya, menghadapi risiko besar terhadap cekikan, sehinggalah mereka mampu mengunyah dengan sempurna. Terdapat banyak perkara dan objek termasuk makanan tertentu yang boleh membawa kepada cekikan. Faktor lain yang menambahkan risiko untuk cekikan ialah tabiat makan.
Makanan dan duit syiling adalah punca paling biasa yang menyebabkan kejadian tercekik di kalangan kanak-kanak yang berumur 4 tahun ke bawah. Lazimnya, makanan yang menyebabkan cekikan ialah makanan yang popular di kalangan kanak-kanak ini. Ia selalunya berbentuk bulat, licin dan kecil seperti "hot dogs", gula-gula keras, kacang tanah dan anggur. Makanan-makanan ini mudah tertelan sebelum sempat dikunyah. Makanan yang keras dan kering seperti lobak merah mentah pula, sukar untuk dikunyah atau terus ditelan begitu sahaja.
Faktor-faktor lain yang mungkin menyebabkan cekikan dalam kumpulan umur ini termasuklah:
Makanan
• Ketulan daging yang besar
• Anggur dan kismis
• Gula-gula getah dan lolipop
• Gula-gula keras dan gula-gula batuk
• Hot-dog atau sosej
• Kacang tanah, kekacang dan bertih jagung
• Sayuran mentah (seperti lobak merah yang dipotong kecil-kecil)
• Buah-buahan kering yang sukar dikunyah
Barang mainan
• Belon
• Kepingan kecil permainan (contoh: buah dadu, kepingan permainan papan seperti dam)
• Beg plastik
• Barang kemas tiruan
• Barang mainan yang kecil
Objek
• Pin dan keratan kuku
• Pencungkil gigi
• Pen atau pensil kecil
• Krayon
• Dawai kokot
• Duit syiling
• Barang kemas
Tabiat tertentu ketika makan boleh menambah risiko cekikan. Contoh-contoh berkaitan termasuklah membenarkan kanak-kanak berjalan atau berlari dengan makanan di dalam mulut mereka, makan terlalu cepat atau menyuap terlalu banyak makanan ke dalam mulut.
Insidens ?
Kanak-kanak dalam peringkat umur tiga tahun pertama adalah paling berisiko mengalami tercekik, terutama tercekik oleh makanan atau duit syiling. Lebih ramai kanak-kanak yang mati akibat tercekik berbanding orang dewasa. Kebanyakan mangsa kanak-kanak ini ialah mereka yang berumur bawah 5 tahun . Tanda - Tanda dan Gejala ?
Mangsa cekikan biasanya akan mencekau tekaknya dengan tangan dan menjadi amat resah sekali. Mangsa juga tidak dapat bernafas, bercakap atau batuk kerana saluran udaranya tersekat.
Mangsa juga mungkin mengalami perkara-perkara yang berikut:
Tanda-tanda dan gejala cekikan pada orang dewasa dan kanak-kanak berumur lebih setahun:
• Sakit di esofagus atau dada
• Mencekau tekak dengan tangan
• Pernafasan yang bising
• Kesukaran bernafas
• Sawan akibat kekurangan oksigen
• Tidak sedarkan diri
• Tidak berdaya untuk menggerakkan udara memasuki paru-paru walaupun dengan bantuan pernafasan mulut ke mulut.
Tanda-tanda dan gejala lain termasuklah:
• Loya
• Muntah-muntah
• Sakit abdomen
• Pendarahan saluran penghadaman (najis berdarah)
• Demam yang mungkin bermula beberapa jam kemudian
Tanda-tanda dan gejala pada bayi berumur bawah satu tahun:
• Tidak berdaya untuk menangis atau bernafas
• Mengeluarkan bunyi bising yang nyaring
• Batuk tersekat-sekat
• Kekurangan oksigen (ditunjukkan apabila muka bertukar menjadi biru)
Komplikasi?
Selalunya selepas beberapa hari objek asing itu dibuang, mangsa mungkin mengalami tanda-tanda dan gejala seperti bunyi berdesit apabila bernafas, batuk yang berterusan dan pneumonia (radang paru-paru) . Bagi kes-kes yang serius, kecederaan organ dalaman mungkin berlaku. Jika anda mengalami sebarang gejala seperti yang dinyatakan, segera dapatkan rawatan perubatan. Ujian - Ujian?
Jika jasad asing tersebut tersekat dalam saluran usus, doktor mungkin terpaksa menjalankan ujian tertentu untuk mengesannya. Ujian-ujian ini termasuklah:
• Endoskopi bahagian atas jika jasad asing itu tersangkut di esofagus.
• Endoskopi bahagian bawah jika jasad asing itu disyaki berada di bahagian bawah saluran usus.
• X-ray bagi mengesan objek-objek yang tersangkut di sepanjang saluran usus.
Rawatan Pertolongan Cemas?
Jika anda mendapati seseorang itu tercekik:
• Jangan cuba mengeluarkan objek yang tersekat di tekak mangsa, anda mungkin menolaknya lebih dalam lagi.
• Jangan cuba melakukan CPR selagi laluan udaranya tersekat.
• Jangan beri pertolongan cemas sekiranya mangsa boleh bernafas, menangis, bercakap atau berupaya bercakap dengan suara yang normal.
• Jika bayi atau kanak-kanak tersebut demam atau menunjukkan beberapa tanda-tanda sakit seperti saluran udara membengkak, segera dapatkan khidmat kecemasan.
Langkah-langkah yang perlu diambil untuk kanak-kanak berumur di bawah satu tahun yang tercekik tetapi masih sedar :
• Gunakan peha anda sebagai sokongan dan tiarapkan bayi di sepanjang lengan anda.
• Dengan dada bayi di tangan dan rahangnya di antara ibu jari dan jari telunjuk anda, pastikan kepala bayi lebih rendah dari badannya.
• Tepuk belakang bayi dengan cepat dan kuat di antara tulang bahu bayi sebanyak 4 kali dengan tapak tangan sebelah lagi. Kemudian kepitkan dada bayi dengan kedua-dua tangan.
• Pusingkan bayi supaya menelentang di tangan yang sebelah lagi. Pastikan kepalanya lebih rendah dari badan.
• Menggunakan dua jari, tekan sebanyak 4 kali di tengah tulang dada bayi. Ini bertujuan untuk melapangkan saluran udara bayi dengan memaksa udara keluar melalui saluran udaranya.
• Ulang tepukan di belakang dan tekanan dada sehingga objek yang tersangkut terkeluar.
• Beri pertolongan cemas sekiranya bayi tidak sedarkan diri. Jika bayi mula mengalami kekejangan atau sawan, segera dapatkan khidmat kecemasan.
Langkah-langkah yang perlu diambil untuk bayi berumur bawah satu tahun yang tidak sedarkan diri :
• Jika anda boleh melihat objek atau jasad asing tersebut, keluarkan ia dengan jari anda.
• Telentangkan bayi di atas permukaan yang rata dan keras, kemudian dongakkan dagunya sedikit untuk membuka laluan udara dan cuba berikan bantuan pernafasan.
• Berikan 2 hembusan yang perlahan dan lembut. Jika dadanya tidak berombak, mulakan dengan tepukan di belakang dan tekanan dada sehingga berjaya. Ikut panduan yang diberi untuk bayi yang masih sedar.
Langkah-langkah yang perlu diambil untuk orang dewasa dan kanak-kanak berumur lebih satu tahun yang tidak sedarkan diri :
• Telefon perkhidmatan kecemasan sementara seseorang lain memulakan CPR.
• Ikut arahan pertolongan cemas yang disenaraikan di bawah:
o Telentangkan mangsa di atas permukaan yang keras dan dedahkan dadanya.
o Buka mulut mangsa dengan ibu jari dan jari telunjuk anda dan keluarkan bahan asing yang tersekat sekiranya dapat dilihat.
o Jika mangsa dapat bernafas, berikan pertolongan cemas sama seperti mangsa yang tidak sedarkan diri.
o Jika mangsa tidak dapat bernafas, mulakan bantuan pernafasan. Jika masih lagi tidak dapat bernafas, ulang 2 hembusan lagi.
o Jika mangsa masih juga tidak bernafas, mulakan tekanan abdomen seperti berikut:
􀂃 Duduk melutut dengan mangsa berada di tengahnya, Letakkan pangkal tangan anda di tengah abdomen mangsa dan tangan sebelah lagi di letakkan di atas tangan tadi.
􀂃 Lakukan 6 hingga 10 tekanan dengan cepat dan mampat ke dada mangsa ke dalam dan ke atas. Ia bertujuan untuk melapangkan laluan udara mangsa.
􀂃 Buka mulut mangsa dan jika objek yang tersekat itu dapat dilihat, cuba keluarkannya.
*Klik pada butang sisi CPR untuk mendapatkan ilustrasi kaedah tersebut.
Langkah-langkah yang perlu diambil untuk kanak-kanak berumur lebih satu tahun dan orang dewasa yang masih sedar (Kaedah Heimleich) :
• Jangan ganggu mangsa sekiranya mangsa masih boleh bernafas, bercakap atau batuk.
• Jika mangsa tidak dapat bercakap, batuk atau bernafas, lakukan seperti berikut:
o Berdiri di belakang mangsa dan peluk pinggang mangsa.
o Letakkan bahagian ibu jari genggaman anda di tengah abdomen mangsa dan genggamkannya dengan tangan sebelah lagi.
o Tekan kepalan tangan anda ke dalam dan keluar pada abdomen mangsa dengan cepat dan mampat sehingga objek yang tersekat terkeluar atau mangsa tidak sedarkan diri.
o Berikan pertolongan cemas kepada mangsa yang tidak sedar seperti yang dijelaskan sebelum ini.
*Klik pada butang sisi Kaedah Heimleich untuk mendapatkan gambarajah kaedah tersebut.
Rawatan Farmakologi
Tiada ubat-ubatan yang khusus untuk merawat mangsa cekikan. Lazimnya, doktor akan merawat gejala-gejala lain yang timbul seperti demam, batuk atau nafas berdesit dengan memberi ubat-ubatan yang bersesuaian.
Rawatan Bukan Farmakologi
Semua mangsa cekikan perlu menjalani pemeriksaan doktor selepas pengeluaran objek yang menyebabkan kejadian ini . Langkah ini perlu kerana komplikasi mungkin timbul dari keadaan ini dan juga dari pertolongan cemas yang diberikan. Adalah baik bagi anda berjumpa doktor dan mendapatkan penjelasan, rawatan dan nasihat tambahan mengenai kejadian itu.
Bagi sesetengah kes, mangsa tertelan sesuatu jasad asing yang tidak dapat dikeluarkan melalui pertolongan cemas. Maka doktor mungkin terpaksa mengeluarkannya dengan menjalankan endoskopi atau dalam keadaan tertentu, pembedahan mungkin terpaksa dilakukan .
Pemantauan?
Selalunya, apabila keadaan mangsa bertambah baik dan bernafas seperti biasa, ia mungkin mengalami bunyi nafas berdesit dan batuk yang berterusan, terutama jika objek asing tersebut memasuki paru-paru . Oleh itu, anda perlu sentiasa mengawasi mangsa. Jika berlaku sesak dada dan batuk , anda perlu segera mendapatkan pertolongan perubatan kerana keadaan ini mungkin akan bertambah teruk. Prognosis?
Cekikan membunuh lebih ramai kanak-kanak berbanding dengan kemalangan di rumah yang lain. Bagaimanapun, ia juga berlaku dengan ketaranya di kalangan
orang dewasa. Jika mangsa mendapat bantuan hayat asas atau CPR sebaik sahaja tercekik, prognosisnya adalah lebih baik. Setiap orang, terutamanya ibu bapa perlu mengetahui sekurang-kurangnya bantuan hayat yang asas dan teknik CPR bagi menolong kanak-kanak apabila tercekik. Dapatkan perkhidmatan kecemasan, sekiranya anda merasakan kes berkenaan serius. Pencegahan?
Terdapat banyak cara untuk mengelakkan cekikan, terutamanya di kalangan kanak-kanak. Penyeliaan ibu bapa atau orang dewasa amat penting ketika memilih makanan untuk mengelakkan cekikan. Mereka perlu memberitahu anak-anak dan membantu mereka memilih jenis makanan dan barang mainan yang sesuai.
Beberapa garis panduan untuk mengelakkan cekikan termasuklah:
• Elak pengambilan alkohol berlebihan sebelum dan semasa makan.
• Elakkan ketawa dan bercakap ketika mengunyah dan menelan.
• Ibu bapa dan guru perlu belajar teknik tindak balas yang bersesuaian seperti pertolongan cemas dan CPR untuk menolong kanak-kanak dan orang dewasa.
• Berhati-hati dengan makanan yang berpotensi menyebabkan tercekik seperti makanan yang bulat, kecil, tebal, melekit, licin atau mudah tertelan (contoh: kekacang dan kacang tanah). Bagi kanak-kanak, terutama bayi, makanan perlu dipotong kecil-kecil, manakala lobak merah dan sayuran mentah yang lain boleh dilembutkan dengan memasak dan menapisnya terlebih dahulu.
• Kanak-kanak tidak sepatutnya dibiarkan makan sambil berlari, bermain, berjalan atau berbaring, terutama dengan mulut yang penuh dengan makanan.
• Nasihat anak-anak anda supaya makan di meja dan habiskan makanan sebelum beredar. Jika mereka hendak pergi ke sesuatu tempat, jangan membenarkan mereka membawa makanan bersama. Ajarkan juga bagaimana untuk mengunyah makanan dengan sempurna sebelum menelan.
• Elakkan memberi anak-anak anda barang mainan kecil dengan bahagian-bahagian yang kecil yang terdapat/mengandungi benda-benda kecil seperti biji mata dan butang baju, topi atau kasut plastik dan sebagainya.
• Elakkan anak anda daripada bermain dengan objek-objek yang berkemungkinan besar menyebabkan cekikan seperti beg plastik, pin dan pencungkil gigi.
• Jangan sekali-kali mengikat sesuatu di leher anak anda.
• Pelajarilah teknik bantuan asas hayat dan CPR