Jumaat, 14 Januari 2011

Pelabur asing tak jejas PKS

MITI tubuh pasukan khas pantau Iskandar Malaysia



KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memberi jaminan kemasukan pelaburan asing sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke wilayah ekonomi Iskandar Malaysia kini, tidak akan menjejaskan peluang PKS tempatan. Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kerajaan sudah menubuhkan satu pasukan khas bagi mengawasi perkembangan itu supaya pelaburan PKS asing berkenaan tidak menjadi ancaman. “Selain daripada PKS yang berpusat di Singapura, kementerian kini juga dalam usaha menarik minat pengusaha PKS dari China, Eropah, Jepun dan Korea Selatan untuk memindahkan operasi masing-masing ke Iskandar Malaysia.



“Kerajaan bersetuju membentuk pasukan khas bagi memastikan syarikat dari Singapura yang berpindah atau beroperasi di Iskandar Malaysia, tidak akan menjadi ancaman, sebalik menjadi pelengkap PKS tempatan,” katanya kepada Media selepas menghadiri sesi dialog bersama PKS di Johor Bahru, semalam.



Sementara itu, Mustapa berkata, kerajaan juga sudah mengenal pasti dua lokasi di Johor untuk dibangunkan sebagai pusat pertumbuhan baru sektor minyak dan gas serta aktiviti berkaitan Program Transformasi Ekonomi (ETP) bagi menarik pelaburan domestik dan asing.



Katanya, dua lokasi itu adalah Teluk Ramunia di Pengerang dan kawasan perindustrian Tanjung Langsat di Pasir Gudang, yang berada dalam wilayah Iskandar Malaysia.

“Dua lokasi itu diyakini mampu menarik pelaburan dalam dan luar negara di bawah sektor ETP dalam usaha mempelopori Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.



“Kerajaan yakin sektor minyak dan gas mampu menambah pendapatan negara dan Malaysia akan turut memberikan insentif kepada peserta industri itu yang datang melabur di Johor. Pembangunan dua kawasan itu akan dibantu menerusi aktiviti promosi yang akan dijalankan,” katanya.



Mustapa berkata, kawasan perindustrian Tanjung Langsat kini sedang dibangunkan oleh anak syarikat Johor Corp, TPM Technopark Sdn Bhd sebagai tapak industri petrokimia, hab minyak dan gas selain kemudahan perkilangan minyak sawit.



"Projek besar lain dalam sektor minyak dan gas di bawah program ETP termasuk pelaburan melebihi RM10 bilion oleh ExxonMobil, Shell Malaysia RM5.1 bilion serta Dialog Group Bhd RM5 bilion bagi menubuhkan Terminal Petroleum Laut Dalam Bebas di Pengerang.



"Selain itu, Petronas akan mengembangkan Pengerang dan Teluk Ramunia sebagai hub minyak dan gas negara seperti yang dilakukan di Kerteh, Terengganu, daripada sebuah kawasan nelayan kepada kegiatan minyak dan gas," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan