Jumaat, 14 Januari 2011

HDC sasar pelabur baru RM2 bilion

Lapan taman industri halal banyak kemudahan

PERBADANAN Pembangunan Industri Halal (HDC) menyasar menarik pelaburan baru dari dalam dan luar negara berjumlah RM2 bilion tahun ini di lapan taman industri halalnya di seluruh Malaysia. Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Jamil Bidin berkata, setakat ini taman industri halal berkenaan telah menerima pelaburan berjumlah RM4.8 bilion. Katanya, industri halal menawarkan banyak kelebihan dalam perniagaan khususnya dari aspek sistem dan penyampaian dan infrastruktur disediakan untuk industri itu di negara ini telah menarik banyak pelabur asing termasuk dari Jepun, Pakistan dan Australia.



“Faktor berkenaan apabila digabungkan adalah pemangkin kepada pertumbuhan lebih kukuh industri halal, sejajar dengan Pelan Transformasi Ekonomi yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya pada majlis makan tengah hari bersama media di Petaling Jaya, semalam.



Mengenai kemajuan dalam penswastaan HDC, Jamil berkata, draf Akta Perbadanan HDC itu diharapkan dapat dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya tahun ini.



Beliau menjelaskan, draf itu sedang dirangka oleh pihak HDC dan apabila siap ia akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk semakan, seterusnya kepada Kabinet untuk kelulusan.

“Kami harap dengan penswastaan itu nanti, HDC akan diiktiraf sebagai tumpuan dan rujukan bagi industri halal, bukan saja di Malaysia malah di luar negara.



“Ia juga akan memudahkan HDC melaksanakan pelbagai inisiatif yang telah dirancang.



“Penswastaan ini juga bermakna sebarang isu berkaitan peruntukan bajet oleh kerajaan boleh disalurkan terus kepada HDC, khususnya dari aspek pembangunan projek,” katanya.



Beliau berkata, HDC tahun ini menyasarkan matlamat untuk memenuhi visinya dalam menggerakkan pembangunan industri halal termasuk promosi jenama produk halal secara lebih agresif dan pragmatik.



Mengulas mengenai Program Juara-Juara Halal, Jamil berkata, HDC memperuntukkan RM1 juta untuk disalurkan kepada empat syarikat cemerlang dalam industri halal dengan masing-masing bakal menerima RM250,000 untuk digunakan bagi tujuan promosi serta penyelidikan dan pembangunan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan