Jumaat, 14 Januari 2011

Liberty International runding beli ekuiti MCI


LIBERTY International Holdings Inc, antara syarikat insurans terkemuka Amerika Syarikat (AS) akan memulakan rundingan awal dengan Novimax (M) Sdn Bhd berhubung pengambilalihan kepentingannya dalam MUI Continental Insurance Bhd (MCI), tidak lama lagi.



Hasrat untuk memulakan rundingan itu sudah pun mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia, yang mana diberikan kepada Novimax, anak syarikat milik penuh Malayan United Industries Bhd (MUI) iaitu pemilik 52.21 peratus ekuiti dalam MCI. Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam, MUI berkata, bank pusat itu memberikan tempoh enam bulan kepada Novimax untuk berunding mengenai urus niaga dengan syarikat insurans yang berpangkalan di Boston itu. Menerusi surat bertarikh 5 Januari itu, BNM memaklumkan secara dasarnya, ia tidak membantah Novimax memulakan rundingan awal dengan Liberty International yang berhasrat mengambilalih kepentingan Novimax dalam MCI dan tertakluk untuk tempoh enam bulan daripada tarikh cadangan penjualan.



Kelulusan itu secara prinsipnya, harus tidak diambil kira sebagai kelulusan bagi cadangan penjualan saham kepada Liberty International kerana pihak yang terbabit harus memperoleh kelulusan daripada Kementerian Kewangan berserta sokongan Bank Negara sebelum boleh memeterai sebarang perjanjian berhubung penjualan itu, katanya.



Penganalisis berkata, dengan perkembangan terbaru itu, ia menandakan bermulanya aktiviti pertama pengambilalihan dan penggabungan (M&A) di kalangan syarikat insurans tempatan dan asing pada tahun ini.



Sejak kebelakangan ini, minat mengambilalih syarikat insurans di Malaysia semakin rancak berlaku susulan langkah liberalisasi industri insurans yang diumumkan kerajaan pada 2009.

Menerusi langkah itu, kerajaan memberikan kelonggaran untuk syarikat luar meningkatkan paras pegangan saham asing kepada 70 peratus berbanding 49 peratus sebelum ini, justeru berjaya meningkatkan minat syarikat asing, katanya.



Sejak kelonggaran itu, Jerneh Insurance Bhd, yang dimiliki oleh tokoh perniagaan Tan Sri Robert Kuok Hock Nien, muncul syarikat insurans tempatan pertama dijual kepada syarikat insurans AS, ACE Ltd membabitkan urus niaga bernilai RM654 juta.



Ia disusuli penjualan Pacific Insurance Bhd kepada syarikat berpangkalan di Kanada, Fairfax Asia Ltd membabitkan nilai RM201 juta.



Beberapa syarikat insurans tempatan lain seperti MAA Holdings, kini turut mengadakan rundingan dengan Zurich Insurance Co berhubung M&A, selepas menamatkan rundingan dengan AmG Insurance Bhd.



Perkembangan sama turut berlaku kepada Allianz Malaysia Bhd di mana ia kini sedang berunding dengan MNRB Holdings Bhd berhubung pembelian kepentingan dalam Takaful Ikhlas Sdn Bhd.



Urus niaga terbesar membabitkan penggabungan unit perniagaan insurans bukan hayat Hong Leong Financial Group dengan Mitsui Sumitomo Insurance Co, serta penjualan perniagaan insurans hayatnya kepada syarikat Jepun bernilai RM1.55 bilion.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan