Jumaat, 14 Januari 2011

Pasaran hartanah diunjur kekal positif

Harga rumah stabil sejajar pemulihan ekonomi



RAHIM & Co Chartered Surveyors Sdn Bhd, antara firma perunding hartanah terbesar di Malaysia, menjangkakan pasaran hartanah tempatan akan kekal positif tahun ini dengan harga kediaman stabil sejajar dengan pemulihan sederhana ekonomi negara. Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahim Rahman, berkata kebimbangan umum mengenai berlaku kegiatan spekulasi keterlaluan harga hartanah di Malaysia hanya di kawasan utama di Lembah Klang dan tidak merebak ke seluruh negara. “Justeru, kejatuhan harga hartanah secara mendadak selepas peningkatan keterlaluan akibat daripada aktiviti spekulasi tidak akan menjadi fenomena di seluruh negara,” katanya pada sidang media membentangkan Laporan Tinjauan Pasaran Hartanah Malaysia bagi 2011 di Kuala Lumpur, semalam.



Abdul Rahim berkata, dari segi permintaan, Lembah Klang terus menjadi pasaran terbesar sektor hartanah tahun ini merangkumi semua jenis hartanah.



“Permintaan kediaman bertanah di Lembah Klang dijangka terus memberangsangkan di sebalik jangkaan peningkatan harga antara lima dan 10 peratus tahun ini,” katanya.



Beliau berkata, orang ramai boleh menjangkakan pelancaran lebih banyak projek perumahan baru tahun ini terutama di kawasan dikenal pasti kerajaan untuk dibangunkan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

“Antara kawasan yang dijangka mendapat perhatian pembeli ialah Shah Alam dan Sungai Buloh serta di mana-mana kawasan yang diliputi projek tren MRT,” katanya.



Abdul Rahim berkata, mengikut kaji-selidik syarikat itu yang lebih menumpukan kepada pasaran hartanah di Lembah Klang iaitu pasaran utama sektor hartanah di negara ini, permintaan terhadap kondominium mewah di Kuala Lumpur dijangka kembali rancak mulai 2012 susulan pelaksanaan projek ekonomi di bawah ETP.



“Kesan daripada krisis ekonomi global pada 2008 yang dirasai sehingga tahun lalu menyebabkan pasaran kondominium mewah agak lembap tahun lalu akibat kekurangan minat pelabur dan pembeli,” katanya.



Abdul Rahim berkata, kekurangan minat pembeli antaranya disebabkan purata harga kediaman jenis itu bagi tujuan jualan balik misalnya telah jatuh 29 peratus antara suku kedua 2008 dan suku kedua 2009 sebelum meningkat semula sebanyak 13 peratus pada suku ketiga tahun lalu.



“Prospek harga bagi pelancaran baru pula dijangkakan antara RM750 dan RM2,500 bagi satu kaki persegi,” katanya.



Bagi pasaran ruang pejabat pula, Abdul Rahim berkata, permintaan dijangka mula stabil dalam tempoh masa terdekat terutama apabila kesan daripada pelaksanaan projek ETP mulai dirasai tetapi pasaran akan terus mencabar dalam jangka panjang.



Sementara itu, katanya, bagi pasaran ruang runcit pula, penawaran akan meningkat tahun ini dengan penambahan 13 pusat beli-belah baru tahun ini membabitkan penambahan 4.5 juta kaki persegi ruang runcit di Kuala Lumpur.



Penawaran lot perindustrian pula dijangka bertambah susulan peningkatan kegiatan pekilang bersaiz kecil dan sederhana terutama di Pelabuhan Klang, Pulau Indah dan Nilai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan