Ia telah menaikkan 'threshold' bagi kelulusan pemegang saham kepada 75 peratus ke atas pelupusan aset yang menyebabkan sebuah syarikat tersenarai tidak lagi sesuai untuk meneruskan penyenaraian di Bursa Malaysia.
Dalam satu kenyataan di sini, SC berkata, ini melibatkan semua pelupusan aset baharu yang diumumkan pada atau selepas 28 Januari, 2011.
Ini sebahagiannya untuk memastikan pemegang saham syarikat tersenarai menerima tahap perlindungan yang sama tanpa mengira laluan yang dipilih untuk menjadikan syarikat hak milik persendirian.
Selain itu, syarikat yang melaksanakan pelupusan aset kini dikehendaki memberikan makluman bebas dan penzahiran terperinci kepada pemegang saham masing-masing tentang penggunaan pendapatan daripada pelupusan aset itu.
Ini akan meningkatkan ketelusan dan memastikan pemegang saham diberikan maklumat yang mencukupi untuk membuat keputusan, kata SC.
SC juga mengumumkan inisiatifnya untuk meningkatkan perlindungan pelabur berikutan maklum balas yang diterima tentang tiga kertas perundingan.
Ia berkata, beberapa inisiatif untuk mencapai pariti kawal selia, memberikan maklumat sewajarnya kepada pemegang saham untuk membuat keputusan pelaburan berlandaskan maklumat mencukupi, dan meningkatkan amalan jualan bagi produk tidak tersenarai akan dilaksanakan.
SC akan memberikan panduan tentang tafsiran standard 'adil' dan 'berpatutan' yang digunakan oleh penasihat bebas dalam menilai tawaran pengambilalihan.
SC akan juga menyediakan panduan tentang perkara-perkara yang perlu dianalisis dan disintesis, sebagai minimum, oleh penasihat bebas dalam membuat cadangan berhubung tawaran pengambilalihan.
Sejajar dengan ini, SC akan mengeluarkan semakan kepada Bab 12 Garis Panduan pada masa yang sesuai.
SC juga mengumumkan beberapa langkah bersepadu untuk memperkemas kategori pelabur dan meningkatkan rejim amalan jualan, yang mengimbangi keperluan pelabur bagi tahap perlindungan, pertumbuhan pasaran dan inovasi produk sewajarnya.
Ini akan merangkumi langkah-langkah yang memperluas kategori pelabur sofistikated terdiri daripada Individu Nilai Bersih Tinggi (berwang)/Entiti Nilai Bersih Tinggi/Pelabur Diiktiraf dan langkah-langkah yang memansuhkan saiz tiket RM250,000 bagi memastikan produk rumit dan berisiko tinggi ditawarkan atau dipasarkan hanya kepada pelabur yang sofistikated.
Juga akan diadakan semakan rejim amalan jualan untuk menjelaskan syarat-syarat penilaian kesesuaian di bawah Seksyen 92 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan (CMSA); meningkatkan penzahiran dokumen penzahiran berasingan dengan mensyaratkan penerbitan dokumen penzahiran berasingan (Lembaran Maklumat Produk) apabila menawarkan produk pasaran modal yang tidak disenaraikan; dan mensejajarkan semula proses perniagaan dan struktur insentif dengan menerbitkan panduan tentang layanan adil kepada pelabur.
SC akan membincangkan langkah-langkah baharu ini dengan industri sebelum memuktamadkan syarat-syarat dan panduan penzahiran.
Pada 19 Mac, 2010, SC dan Bursa Malaysia Securities Bhd. (Bursa Malaysia) mengeluarkan satu kertas perundingan bersama tentang Cadangan Pindaan kepada Syarat-Syarat Penyenaraian Bursa Malaysia mengenai langkah menjadikan syarikat tersenarai sebagai hak milik persendirian melalui pelupusan aset.
SC juga mengedarkan kertas perundingan mengenai cadangan mengemaskini Garis Panduan Mengenai Pendokumentasian Tata Cara Pengambilalihan dan Penggabungan 1998 (Garis Panduan) dan satu kajian mengenai Pelabur Sofistikated dan Amalan Jualan bagi Produk Pasaran Modal Yang Tidak Tersenarai. - BERNAMA