BUNYINYA pelik tetapi benar. Pokok kelapa sawit lebih mudah dilihat berbanding pokok getah tetapi malangnya, Malaysia menghadapi krisis minyak masak.
Dengan meningkatnya jumlah eksport atau permintaan, minyak masak yang diperbuat daripada minyak sawit dalam bentuk paket tiba-tiba lenyap dari pasaran sedangkan minyak masak berbotol pula sebaliknya.
Kenapa ini terjadi?
Utusan Malaysia difahamkan pemain industri lebih gemar menjual minyak masak yang dibotolkan kerana ia lebih menguntungkan daripada menjual dalam bentuk peket plastik.
Margin keuntungan yang diperoleh untuk minyak masak yang dibotolkan lebih tinggi berbanding minyak masak yang dipaketkan iaitu dijual pada harga RM2.50 untuk sekilogram.
Secara umumnya minyak masak adalah barangan terkawal dengan harga ditetapkan RM3.30 sekilogram bagi sawit tulen dan sawit campuran (RM3.60) dan paket plastik (RM2.50).
Terdapat lebih enam pemain utama dalam mengeluarkan minyak masak untuk pasaran tempatan dan kebanyakan mereka juga ada yang mengeluarkan minyak masak yang dipaketkan.
Kebanyakan minyak masak yang dipaketkan itu mendapat subsidi daripada kerajaan supaya harganya kekal pada paras RM2.50 sekilogram.
Namun malangnya subsidi yang diberikan itu dihadkan kepada jumlah-jumlah tertentu dalam tempoh sebulan menyebabkan pemain industri tidak mengeluarkan melebihi daripada had tersebut.
Misalnya jika kerajaan memberi subsidi kepada syarikat tertentu untuk mengeluarkan 20 tan metrik minyak masak dalam bentuk paket untuk sebulan, maka sebanyak itulah yang dilambakkan dalam pasaran.
Oleh itu, apabila permintaan melebihi penawaran untuk minyak sawit yang dipaketkan dalam pasaran, maka inilah situasi yang dihadapi sekarang ini.
Sebenarnya tidak wujud masalah bekalan minyak masak, sebaliknya apa yang berlaku ialah untuk mengejar keuntungan.
Lagipun, dengan harga minyak sawit yang semakin meningkat tahun demi tahun dan juga bahan mentah, minyak masak yang dipaketkan tidak mendapat tempat di kalangan pemain industri.
Apatah lagi minyak sawit mentah (MSM) dijangka mencecah RM4,000 setiap tan dalam tempoh terdekat ini manakala harga semasa MSM kini adalah dalam lingkungan RM3,800 setan.
Lagipun, dalam keadaan sekarang dengan kos pengeluaran yang semakin meningkat, namun harga minyak masak di dalam paket yang tidak jauh berubah menyebabkan minat untuk pemain industri mengeluarkan lebih banyak dalam bentuk peket semakin berkurangan.
Itu tidak termasuk penyelewengan syarikat-syarikat yang membeli minyak masak dalam peket dan dibotolkan untuk dijual dalam pasaran.
Dalam hal ini, apabila semua pihak seperti kerajaan dan juga pemain industri mula menyanyikan lagu Bangau Oh Bangau, yang menjadi mangsanya pula ialah pengguna.
Pengguna juga yang dipersalahkan kerana belian panik atau dilabelkan bergantung kepada produk subsidi semata-mata sedangkan kos kehidupan dewasa ini semakin meningkat, manakala kos membeli pula semakin menurun.
Pemain industri yang mendapat keuntungan daripada komoditi itu sebelum ini perlulah melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memikirkan nasib pengguna yang bergantung kepada minyak masak peket.
Tidak rugi untuk pemain industri mengembalikan semula keuntungan kepada pengguna kerana tanpa kuasa beli pengguna, mereka juga boleh terjejas secara langsung atau tidak langsung.
Jika kita lihat hasil eksport minyak sawit negara pada tahun lalu meningkat kepada RM53.92 bilion berbanding RM49.59 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas, maka tidak munasabah untuk pemain industri ini bersifat kedekut dan berkira.
Kerajaan pula perlulah mengutamakan pengguna dan melakukan penguatkuasaan yang tegas demi memastikan minyak masak berpaket tidak diselewengkan.
Pengguna di negara ini sudah muak mendengar minyak masak diseludup dan dimanipulasikan umpama kera di hutan disusui, anak dipangkuan mati kebuluran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan