Rabu, 26 Januari 2011

TIME Engineering cadang jual saham Tdc

TIME Engineering Bhd. (TEB) telah mencadangkan untuk menjalankan tawaran boleh tolak untuk menjual keseluruhan kepentingan ekuitinya dalam TIME dotcom Bhd. (Tdc) kepada pemegang sahamnya.



Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, TEB berkata, ia akan menawarkan untuk dijual, sehingga 626.12 juta saham Tdc, pada asas empat saham tawaran bagi setiap 10 saham biasa dalam TEB yang dipegang oleh pemegang saham pada tarikh kelayakan.



Tawaran jualan mewakili 24.51 peratus kepentingan ekuiti TEB dalam Tdc.



Berdasarkan anggaran harga tawaran 48 sen satu saham tawaran, ia berkata, TEB akan mendapat keuntungan sebelum cukai kira-kira RM36.43 juta daripada cadangan itu selepas mengambil kira kos tertulis terkini pelaburan iaitu RM0.38 satu saham Tdc.



Ia menambah, penjualan itu akan membolehkan TEB menebus keseluruhan atau kebanyakan saham pinjaman terjamin boleh tebus (RSLS) yang diterbitkan kepada Bank Pembangunan Malaysia Bhd., oleh itu memberi keuntungan kepada TEB dari segi penjimatan kos faedah.



"TEB akan boleh membuat penjimatan kos faedah minima sebanyak kira-kira RM6.84 juta setahun jika membuat penebusan awal, secara penuh," katanya. - BERNAMA



Tiada ulasan:

Catat Ulasan