Khamis, 15 Julai 2010

UMW Toyota labur RM370 juta

UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMW Toyota) akan melabur RM370 juta bagi menaik taraf kilang pengeluarannya di sini disamping membina sebuah pusat penyimpanan baru di Bukit Raja, Klang.



Daripada jumlah itu, RM170 juta akan dilaburkan sehingga tahun 2012 untuk rancangan pengeluaran kenderaan ke sejuta menjelang separuh pertama tahun depan.



Presiden UMW Toyota Motor, Kuah Kock Heng berkata, pelaburan itu digunakan untuk menaikkan taraf kilang miliknya Assembly Services Sdn. Bhd. (ASSB) dalam usaha meningkatkan kualiti, automasi dan produktiviti.



Katanya, sejumlah 65,000 buah kenderaan telah dikeluarkan ASSB diikuti tahun lalu sebanyak lebih 59,000 manakala tahun ini, pengeluarannya disasarkan 67,000 buah.



''Pelaburan itu juga turut membabitkan usaha menaik taraf bahagian mengecat selain menambah kapasiti pengeluaran kereta Toyota di kilang sedia ada,



''Kerja-kerja menaik taraf bahagian mengecat dilakukan bagi meningkatkan kualiti permukaan dan warna khususnya untuk mengecat kod warna putih permata,'' kata beliau selepas lawatan ke kilang ASSB hari ini.



Ketika ini, ASSB hanya mengeluarkan kereta Vios, Innova (MPV), Hilux (pikap), Fotuner (SUV) dan van Hiace manakala Avanza (MPV) dikeluarkan di kilang Perodua di Rawang, Selangor.



Kock Heng berkata, pihaknya juga melabur RM200 juta bagi membangunkan sebuah pusat penyimpanan baru di Bukit Raja Selangor yang juga menempatkan beberapa kemudahan lain seperti pusat aksesori, litar ujian sepanjang satu kilometer, pusat membaiki dan mengecat badan.



Pusat penyimpanan seluas 35 hektar itu mampu menyimpan sehingga 12,000 buah kenderaan sebelum diagihkan ke pusat jualan berbanding sekarang sebanyak 4,000 dan bakal beroperasi pertengahan tahun depan.



Sementara itu, UMW Toyota menjangka dapat menjual kenderaan daripada semua model berjumlah 91,000 buah pada tahun ini berbanding 82,000 buah tahun lepas.



Untuk separuh pertama tahun ini, pihaknya telah berjaya menjual 44,776 buah, meningkat 20 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.



"Sasaran jualan tahun ini merupakan peningkatan 12 peratus berbanding sepanjang tahun lalu selain menguasai kira-kira 15 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan di negara ini," katanya.


14 Julai 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan