Khamis, 15 Julai 2010

TNB untung RM2.14 bilion

Tenaga Nasional Bhd. (TNB) telah mencatatkan keuntungan bersih sebelum tukaran wang asing berjumlah RM2.145 bilion untuk tempoh sembilan bulan berakhir pada 31 Mei 2010.

Ia mewakili peningkatan sebanyak 29.5 peratus daripada RM1.687 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama sebelumnya.

Pencapaian itu diraih selepas TNB mencatatkan perolehan berjumlah RM22.45 bilion dalam tempoh berkenaan.

Bagi tempoh suku ketiga, TNB merekodkan keuntungan bersih sebelum tukaran asing lebih rendah kepada RM538 juta berbanding RM855.7 juta pada suku kedua lalu.

Perolehan TNB dalam tempoh berkenaan pula berjumlah RM7.72 bilion berbanding RM7.39 bilion dalam suku sebelumnya, kata Pengerusinya, Tan Sri Leo Moggie.

Beliau berkata: ‘‘Kejatuhan keuntungan itu adalah disebabkan kos penjanaan arang batu yang tinggi bagi memenuhi peningkatan permintaan.

‘‘Bagi suku pertama harga purata arang batu adalah AS$80 (RM256) setan, suku kedua pula AS$82 (RM262.40) setan dan suku ketiga AS$91.60 (RM293.12) setan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengumumkan prestasi kewangan TNB untuk suku ketiga berakhir 31 Mei 2010 di sini hari ini.

Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh dan Ketua Pegawai Kewangannya, Mohd Rafique Merican Mohd Wahiduddin.

Moggie menjelaskan harga purata arang batu yang ditetapkan TNB untuk setahun adalah pada paras AS$90 (RM288) setan, sekiranya ia terus meningkat melebihi harga tersebut, keuntungan syarikat akan terjejas.

‘‘Kerajaan hanya memberi subsidi pada harga maksimum AS$85 (RM272) setan dan selebihnya akan ditanggung oleh TNB.

‘‘Harga komoditi arang batu mungkin akan terus meningkat pada tahun kewangan seterusnya dan TNB sentiasa memantau perkembangan tersebut,’’ katanya.

Sementara itu, Che Khalib berkata, bagi tempoh sembilan bulan dalam kajian, permintaan elektrik terus menunjukkan peningkatan kukuh sebanyak 9.9 peratus berbanding tahun lalu.

Katanya, peningkatan permintaan itu telah dipenuhi melalui pertambahan penjanaan dari stesen-stesen janakuasa arang batu.

Ketika ditanya tentang prestasi keseluruhan tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2010, Che Khalib yakin TNB dapat mengekalkan momentum pertumbuhan keuntungan.

‘‘Ini adalah didorong oleh persekitaran ekonomi yang lebih baik. TNB akan terus mencatatkan pemulihan kukuh dalam permintaan dari sektor industri dan komersial.

‘‘Sektor lain juga turut meneruskan trend peningkatan dalam permintaan,’’ jelasnya.

Namun, TNB akan terus berhati-hati terhadap suasana ekonomi dunia yang berada dalam keadaan tidak menentu pada masa ini.

‘‘Kita akan melihat reaksi kepada kemelesetan pusingan kedua dijangka berlaku di Eropah dan akan lebih berhati-hati terhadap sebarang kemungkinan,’’ katanya.


14 Julai 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan