Khamis, 15 Julai 2010

MITI, UPE tangani isu bekalan gas

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama-sama dengan Unit Perancang Ekonomi (UPE) akan menyediakan kertas kerja bersama bagi menangani isu bekalan gas, kata Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed.



"Kami bekerjasama dengan UPE mengenai isu-isu gas. Kami sedar banyak industri bergantung kepada gas. Kami faham masalah itu, mereka mahukan kepastian dan ketelusan dari segi bekalan," katanya selepas sesi dialog dengan para peserta daripada industri kimia dan petrokimia di sini.



Mustapa berkata, MITI bekerjasama dengan EPU untuk menyediakan cadangan yang akan memaklumkan perkembangan terkini kepada Kabinet mengenai dua isu, iaitu situasi bekalan gas semasa di Malaysia dan untuk menyelesaikan masalah jangka pendek.



Menurut beliau, gas digunakan dengan banyak oleh industri-industri kerana ia disubsidikan dan harga adalah rendah di Malaysia.



"Selain isu bekalan, kebimbangan lain ialah jika kerajaan memutuskan untuk menaikkan harga gas, mereka (peserta industri) mahu harga diselaraskan meningkat secara perlahan-lahan," katanya.



Ditanya mengenai pelaburan baharu dalam industri petrokimia, Mustapa berkata: "Mereka (peserta industri) merancang masa depan, kami (kerajaan) merancang bekalan gas."



Sesi dialog itu dihadiri oleh wakil-wakil Kumpulan Pengeluar Oleokimia Malaysia (MOMG), Majlis Industri Kimia Malaysia, Persatuan Petrokimia Malaysia, Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia dan Persatuan Industri Baja Malaysia.



Dalam satu kertas kerja dialog, MOMG mengetengahkan kekurangan bekalan gas asli kepada industri oleokimia.



MOMG berkata, industri itu banyak menggunakan tenaga kerana ia menyumbang bagi hampir 29 peratus daripada jumlah kos pemprosesan. Justeru itu, kekurangan bekalan gas kepada industri akan memberi kesan negatif bagi pengembangan kilang dan pelaburan masa depan ke Malaysia.



Antara cadangan lain oleh peserta industri ialah melanjutkan tempoh maksimum permit kerja bagi pekerja asing daripada lima tahun kepada tujuh tahun dan melanjutkan kadar bukan kemuncak bagi merangkumi waktu siang hari Sabtu dan Ahad bagi semua kategori pengguna Tenaga Nasional Bhd., kedua-duanya dalam Tarif D dan Tarif E.



Peserta industri kimia tidak menyokong perpindahan industri perkapalan kontena dari Pelabuhan Johor ke Pelabuhan Tanjung Pelepas kerana kilang pembuatan telah dilabur dan dibina di kawasan Pelabuhan Pasir Gudang.



Mereka mendakwa perpindahan perkhidmatan perkapalan kontena ke Pelabuhan Tanjung Pelepas akan menyebabkan kos tambahan bagi industri tersebut.



Justeru itu, mereka mencadangkan peserta industri harus diberikan pilihan bagi perkhidmatan pelabuhan yang mereka pilih untuk digunakan, sama ada Pelabuhan Johor atau Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Sumber : Bernama
14 Julai 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan