Khamis, 15 Julai 2010

Malaysia import 85% peralatan perubatan

Penggunaan peralatan perubatan di Malaysia dijangka meningkat kepada AS$877 juta (RM2.79 bilion) pada tahun ini dan melonjak kepada AS$956 juta (RM3.04 bilion) pada 2011 dan AS$1.7 bilion (RM5.4 bilion) pada 2012.



Persatuan Industri Perubatan Malaysia berkata, buat masa ini, Malaysia mengimport 85 peratus peralatan perubatannya dan permintaan bagi peralatan dan produk farmaseutikal diramalkan mencatatkan pertumbuhan pada kadar 15 peratus setahun.



Beliau berkata, sokongan kerajaan di bawah Rancangan Pembangunan Ekonomi lima tahun dan permintaan terhadap penjagaan kesihatan swasta yang meningkat dengan ketara juga antara pemacu pertumbuhan.



Pada 1980, Malaysia mempunyai 1,171 katil di hospital swasta dan angka itu meningkat kepada 11,689 katil di 209 hospital swasta pada 2008.



Kerajaan juga telah meluluskan lesen bagi 45 hospital swasta baru, menambahkan lagi bilangan katil swasta kepada 15,178 manakala sektor awam pula menyediakan sejumlah 39,000 katil.



Dalam pada itu, terdapat 9,000 doktor di sektor swasta berbanding 13,500 di sektor awam.



Malaysia merupakan pembekal utama sarung tangan perubatan dan kateter di dunia, dengan 80 peratus kateter dan 60 peratus sarung tangan getah dibekalkan oleh 179 syarikat pengilangan di Malaysia.



''Lokasi strategik dan undang-undang pelaburan yang mesra pelabur menjadikan Malaysia sasaran baru bagi industri perubatan yang berhasrat membina pangkalan pengilangan untuk memenuhi permintaan yang meningkat di negara ini,'' kata persatuan itu dalam kenyataan di sini hari ini.



Berlatarkan senario yang menggalakkan itu, satu pameran dan persidangan Bekalan, Peralatan dan Teknologi Perubatan Antarabangsa Asia (Asia Medical 2011) akan diadakan pada 11 hingga 13 Oktober 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, dengan sokongan penuh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).



Sempena Asia Medical 2011, peserta pameran dari serata dunia akan memperagakan rangkaian produk dan teknologi yang menyeluruh termasuk peralatan pergigian, perkakas diagnostik dan peranti elektro perubatan.



Date : 14/7/2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan