Isnin, 8 Februari 2010

Kemerosotan eksport mungkin sudah berakhir

Date: 8 Feb 2010

Kemerosotan dalam eksport mungkin sudah berakhir jika lonjakan 18.7 peratus tahun ke tahun pada Disember lepas, pertumbuhan dua angka sejak September 2008, merupakan petunjuk.

Lantunan yang lebih kukuh daripada yang diunjurkan sebanyak 12.5 peratus, mungkin tanda bahawa kesan pemulihan ekonomi boleh diatasi lebih awal daripada jangkaan, kata OSK Research dalam Kajian Pelaburan Ekuiti Malaysia.

Selain kesan asas yang rendah, ia berkata, lantunan ketara itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh lonjakan dalam eksport barangan elektrik dan elektronik (+33.3 peratus), petroleum mentah (+77.2 peratus), petroleum bertapis (+37.5 peratus) dan kimia dan barangan kimia (+31.6 peratus).

Kecuali bagi gas asli cecair (-36.2 peratus) dan bulu (-0.2 peratus), semua kategori lain mencatatkan pertumbuhan besar, katanya.

Selari dengan peningkatan eksport, import melonjak 23.3 peratus tahun ke tahun, berbanding anggaran peningkatan 21.5 peratus. Barangan pengantara menyumbang 66.4 peratus daripada jumlah import, beralih kepada positif dengan pertumbuhan 18.8 peratus berbanding -4.4 peratus pada November 2009.

Eksport dan import masing-masing berkembang 9.2 peratus dan 3.4 peratus bulan ke bulan. Bagaimanapun bagi keseluruhan tahun, eksport dan import masing-masing susut 16.6 peratus, menyebabkan lebihan jumlah dagangan sebanyak RM118.4 bilion.

Sebahagian besar lantunan tahun ke tahun dalam eksport sebahagian dipacu oleh China (+99.3 peratus), Hong Kong (+49.9 peratus), Thailand (+64.0 peratus) dan Singapura (20.2 peratus).

Eksport ke Amerika Syarikat dan Jepun terus menguncup, masing-masing pada 0.5 peratus dan 33.3 peratus.

"Jika aliran semasa berterusan, kami yakin ASEAN akan menjadi pemacu utama pertumbuhan perdagangan luar. Walaupun Jepun dan Amerika Syarikat terus menjadi lima destinasi utama eksport Malaysia, ia mungkin diatasi oleh ASEAN suatu hari kelak," kata OSK Research.

Pemulihan dalam eksport itu juga mungkin menyokong jangkaan umum mengenai pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku keempat 2009, kata Kenanga Research dalam laporan berasingan.

Menerusi sokongan permintaan domestik yang semakin meningkat, dianggarkan KDNK meningkat kepada 2.8 peratus pada suku keempat 2009.

Ia berkata, momentum pertumbuhan eksport akan berterusan sekurang-kurangnya sehingga separuh pertama 2010 hasil sokongan permintaan yang kukuh dalam barangan elektrik dan elektronik serta pemulihan ekonomi dunia.

"Berdasarkan asas yang lebih tinggi pada separuh kedua tahun ini serta pemulihan global yang perlahan, kami menjangkakan pertumbuhan eksport akan meningkat bagi keseluruhan 2010 yang diunjurkan melantun ke 3.0," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan