Isnin, 8 Februari 2010

IRIS, Heitech Padu bida projek bekal pasport pintar ke Nepal

NEW DELHI 8 Feb. - Dua syarikat Malaysia membida projek membekalkan pasport elektronik (MRP) untuk kerajaan Nepal yang perlu memodenkan operasi imigresen sebelum tarikh akhir 1 April depan.

IRIS Corporation Bhd. dan Heitech Padu Bhd. menyertai senarai pembida antarabangsa untuk membekalkan MRP ke Nepal yang memerlukan kira-kira satu juta pasport setahun.

"Kedua-dua syarikat itu sudah menyuarakan minat untuk membekalkan MRP ke Nepal dan sudah mengemukakan cadangan masing-masing. Nepal memerlukan kira-kira empat juta e-pasport (elektronik) dalam tempoh empat tahun akan datang," kata Duta Besar Malaysia ke Nepal, Datuk Ilankovan Kolandavelu.

Pihak berkuasa Imigresen Nepal perlu mematuhi tarikh akhir antarabangsa pada 1 April bagi memperkenal MRP memandangkan negara di dunia melaksanakan pasport elektronik untuk tujuan keselamatan serta memudahkan perjalanan.

Tujuh belas syarikat memasuki tender kerajaan Nepal yang kemudiannya dibatalkan. Kementerian Luar Negara menyebut proses tender itu dibatalkan kerana 'sebab-sebab teknikal'.

Kerajaan dijangka membelanjakan AS$70 juta (RM245 juta) untuk e-pasport itu.

Kedua-dua syarikat Malaysia yang terkenal di peringkat antarabangsa itu dan mempunyai kepakaran dalam mengeluarkan pasport elektronik, akan bersaing dengan India yang turut membida projek itu.

Syarikat India menawarkan cetakan MRP pada AS$4 (RM14) sekeping.

Iris dan rakan usaha samanya baru-baru ini memperoleh projek yang sama di Bangladesh bagi membekalkan MRP dan visa elektronik, satu kontrak bernilai hampir RM259.70 juta. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan