Isnin, 11 Januari 2010

Handal sedia ambil alih syarikat PKS

HANDAL Resources Bhd, pengeluar dan penyedia perkhidmatan penyelenggaraan kren bersepadu luar pesisir untuk sektor minyak dan gas, akan mengambil alih beberapa syarikat berkaitan dan tidak berkaitan perniagaan terasnya sebagai sebahagian usaha mengukuhkan asas pendapatannya.

Pengerusinya, Datuk Mohsin Abdul Halim, berkata pengumumannya dibuat pada separuh kedua tahun ini.

“Kami mengenal pasti beberapa syarikat yang akan diambil alih dan kajian dimulakan secepat mungkin.

“Kami mungkin mengambil masa tiga bulan untuk mengkaji keupayaan syarikat itu yang terdiri daripada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sama ada ia mampu meningkatkan daya saing Handal Resources,” katanya di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Mohsin berkata, program pengambilalihan akan menjadi tumpuan Handal Resources tahun ini kerana syarikat itu mempunyai kedudukan tunai yang kukuh dengan kadar hutang yang rendah dan unjuran pertumbuhan pendapatan yang kukuh.

Beliau mengunjurkan pendapatan syarikat itu tumbuh antara 12 peratus hingga 15 peratus tahun ini dengan keuntungan yang ‘positif’.

Pada suku ketiga berakhir 30 September lalu, Handal Resources meraih keuntungan sebelum cukai RM4.09 juta, meningkat 17.2 peratus berbanding tahun sebelumnya menerusi pendapatan yang meningkat 75.55 peratus kepada RM15.08 juta.

Mohsin berkata, syarikat itu akan terus meneroka potensi mendapatkan kontrak baru dalam bidang perkhidmatan dan penyelenggaraan kren bagi menokok kepada kontrak yang sedia ada.

Katanya, projek yang dikendalikan syarikat itu ketika ini diperoleh daripada tiga syarikat utama iaitu Petronas, ExxonMobil dan Talisman, akan berakhir secara berperingkat hingga 2013.

Beliau berkata, kontrak itu yang sebahagian besarnya berkaitan perkhidmatan dan penyelenggaraan kren luar pesisir mempunyai potensi untuk diperbaharui atau disambung seperti yang diperoleh daripada ExxonMobil.

Katanya, hubungan perniagaan dengan syarikat minyak antarabangsa berkenaan telah dijalin sejak 1995 dengan kontraknya sudah diperbaharui sebanyak tiga kali, manakala kontrak dengan Talisman sudah memasuki dua penggal.

“Setakat ini kami mempunyai reputasi perniagaan yang baik dengan rakan perniagaan kami yang terdiri daripada syarikat minyak dan gas utama.

“Berdasarkan pengalaman lalu, kontrak yang kami peroleh akan diperbaharui, justeru kami pasti teruskan perkhidmatan berkualiti dan terbaik bagi memenuhi kehendak pelanggan,” katanya sambil menambah jangka hayat pelantar minyak lazimnya 25 tahun.

Mengenai keupayaan operasi pengeluaran kren syarikat itu, beliau berkata, Handal Resources mampu menyiapkan 30 kren setahun dengan adanya dermaga baru kira-kira enam hektar berhampiran dermaga sedia ada di Kemaman, Terengganu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan