Isnin, 11 Januari 2010

Malaysia perlu strategi baru perniagaan perbankan

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Inisiatif dan strategi baharu perlu dirangka oleh kerajaan Malaysia dan pengawal atur sekiranya negara mahu terus kekal sebagai pilihan pelabur bagi perniagaan perbankan, kata seorang pakar ekonomi terkemuka.

Pengerusi Panel Penasihat Antarabangsa Pusat Russia bagi Ekonomi dan Kewangan Islam (RCIEF) Profesor Datuk Dr. Sudin Haron berkata, meskipun Malaysia masih unggul sebagai pusat kewangan Islam utama, negara-negara lain di Asia juga berupaya menyediakan perkhidmatan seumpama itu dan kelaknya bakal menjadi pusat kewangan Islam utama.

"Hong Kong sebagai contoh, berusaha untuk menjadi peneraju dalam pasaran modal. Pengawal atur kewangan Hong Kong percaya ekonomi pesat China akan menarik pelabur dan pengurus dana untuk menyimpan wang mereka di China, justeru itu Hong Kong merupakan pilihan dan tempat yang lebih baik bagi mereka.

"Sementara itu, Singapura pula berusaha untuk menjadi pusat kewangan Islam bagi golongan berada. Justeru itu, mereka kini menumpukan kepada bahagian pengurusan harta Islam," katanya dalam satu temu bual.

Bagaimanapun, beliau berkata, mana-mana dasar dan insentif baharu yang diperkenalkan kerajaan boleh ditiru oleh negara-negara lain.

Dalam hal ini, negara-negara ini akan memperkenalkan insentif lebih menarik berbanding insentif yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia terdahulu.

"Selain menyediakan insentif kepada peserta sistem kewangan Islam, kerajaan juga perlu akur dengan keperluan mereka yang menggunakan produk dan perkhidmatan sistem kewangan Islam.

"Justeru itu, sistem risikan pasaran yang baik perlu diperkenalkan kerana ini akan menyediakan gambaran sebenar tentang pasaran, dengan itu, strategi dan tindakan yang sesuai perlu dilaksanakan," cadang beliau.

Sudin, yang memiliki pengalaman luas dalam bidang perbankan dan kewangan, pengurusan dan pengurusan perniagaan juga merupakan Presiden Kuala Lumpur Business School dan Pengerusi Eksekutif Vision Bridge Sdn. Bhd.

Ketika ini, produk dan perkhidmatan sistem kewangan Islam digunakan oleh pelanggan domestik, oleh itu, usaha-usaha perlu dibuat untuk menarik pelanggan antarabangsa untuk menggunakan bank- bank Islam Malaysia.

Beliau berkata, bank-bank Islam tempatan hanya menarik kepada pelanggan asing sekiranya tahap perkhidmatan mereka setara kalaupun bukan lebih baik berbanding yang ditawarkan oleh bank- bank Islam antarabangsa.

Beliau yang menyatakan bank-bank tempatan harus menumpukan kepada produktiviti dan kecekapan menegaskan elemen penting lain yang perlu distruktur dengan berhati-hati ialah kos urus niaga berkaitan dengan produk dan perkhidmatan bank Islam.

"Pengawal atur perlu memastikan kos yang ditanggung peserta dan pengguna produk perbankan Islam lebih murah berbanding kos urus niaga bank konvensional," katanya.

Selain Malaysia, Sudin berkata, terdapat banyak negara dan bandar raya lain yang mahu dikenali sebagai pusat kewangan Islam utama.

"New York, London, Dubai, Manama, Doha sudahpun mula bersaing, manakala Moscow, Frankfurt, Paris, Hongkong, Singapura dan Bandar Seri Bengawan mula melengkapkan diri mereka dengan prasarana sebelum memasuki struktur kewangan alternatif baharu ini," katanya.

Beliau menjelaskan industri kewangan Islam tidak lagi khusus hanya kepada kumpulan tertentu atau satu-satu negara tertentu.

"Sistem kewangan Islam dilihat sebagai alternatif berdaya maju kepada sistem konvensional. Justeru itu, lebih banyak negara akan mencuba dan memperkenalkannya ke dalam sistem kewangan mereka.

"Mana-mana negara yang berhasrat menjadi peneraju industri perlu menawarkan produk dan perkhidmatan lebih baik bagi memenuhi permintaan pengguna," katanya.

Sudin berkata, Malaysia dilihat oleh banyak pihak sebagai peneraju dalam mengembangkan sistem kewangan Islam dan terdapat banyak faktor mengapa Malaysia berjaya menempatkan dirinya di barisan hadapan.

Komitmen kerajaan dalam melaksanakan sistem kewangan Islam sebagai alternatif kepada sistem konvensional merupakan faktor utama mengapa Malaysia muncul sebagai peneraju dalam bahagian ini.

Keduanya, kata Sudin, pengawal atur sistem kewangan berupaya merangka pelan jangka pendek dan sederhana yang diselaras dengan baik bagi pembangunan sistem kewangan Islam di Malaysia.

Beliau berkata, Pelan Induk Sektor Kewangan yang diperkenalkan oleh Bank Pusat, menggariskan strategi ke arah mengukuhkan sistem kewangan Malaysia sejajar dengan globalisasi dan liberalisasi sistem kewangan dunia.

Institusi kewangan Islam diurus dengan cekap dan ia dilihat oleh pelanggan sebagai bank yang lebih baik berbanding bank konvensional dinilai daripada aliran pengguna bukan Islam yang mula menjadi pelanggan kepada bank-bank ini.

- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan