Saham Nikkei menjunam tetapi pasaran serantau hampir tidak berubah
KESAN insiden gempa bumi dan tsunami serta kebocoran loji nuklear Jepun ke atas pasaran saham tempatan serta serantau setakat ini adalah bersifat sementara dan terhad berikutan perkara itu berlaku di luar dugaan pelabur, kata penganalisis. Bursa Malaysia dan pasaran saham utama serantau semalam ditutup hampir tidak berubah walaupun Indeks Nikkei 225 di Bursa Tokyo menjunam 6.18 peratus atau 633.94 mata kepada 9,620.49 mata, penurunan paling tertinggi sejak Disember 2008. Pada akhir dagangan, penanda aras utama Bursa Malaysia, Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI), hanya mengalami penyusutan 0.02 peratus atau 0.27 mata untuk ditutup pada 1,495.35 mata.
Sementara itu, pasaran saham serantau lain seperti Hong Kong bagaimanapun tidak terjejas dengan Indeks Hang Seng melonjak 0.41 peratus atau 96.10 mata kepada 23,345.88 mata, manakala Indeks Komposit Shanghai China meningkat 0.17 peratus atau 5.11 mata kepada 2,938.91 mata dan pasaran saham Jakarta bertambah 0.78 peratus atau 27.61 mata kepada 3,569.84.
Penganalisis berkata, suasana jualan panik hanya berlaku di Bursa Tokyo susulan ketidaktentuan kesan langsung akibat kemusnahan dialaminya, sekali gus menyebabkan sebahagian besar pelabur dari beberapa negara lain menarik keluar pelaburan masing-masing.
Ketua Penganalisis OSK Research Sdn Bhd, Chris Eng, berkata meskipun beberapa kawasan aktiviti ekonomi negara itu mengalami kemusnahan, namun kebanyakan pelabuhan serta kawasan industri utama lain kekal dalam keadaan baik.
Susulan itu, ia dilihat tidak akan memberikan kesan negatif yang ketara kepada ekonomi Malaysia serta usahawan tempatan buat masa ini.
“Gempa bumi dan tsunami terburuk dalam sejarah di Jepun itu dijangka hanya akan menjejaskan sentimen jangka pendek pasaran saham tempatan dan kesannya juga terhad kerana beberapa pelabuhan utama di Jepun serta kawasan industrinya masih beroperasi dengan baik.
“Ia juga dijangka memberi kelebihan kepada sektor tertentu seperti balak dan keluli yang dijangka akan menerima peningkatan permintaan kerana sumber itu diperlukan untuk membina semula bandar dan rumah yang musnah dan sebagainya,” katanya dalam nota penyelidikan firma penyelidikan ekuiti itu semalam.
Penganalisis TA Securities, Kaladher Govindan pula berkata, di sebalik kejadian malang itu, pelabur akan menyedari bahawa Jepun memerlukan sumber baru untuk membina semula bandar dan kediaman, memulihkan bekalan tenaga, makanan, perubatan, memastikan air bersih mencukupi dan sebagainya.
“Mengambil contoh insiden gempa bumi di Kobe pada 1995, kami dapati indeks bursa tempatan yang susut 8.02 mata atau 0.9 peratus sehari selepas insiden dan 48 mata lagi pada minggu selepas itu, sebelum pulih kembali sebulan kemudian.
“Dari segi ekonomi, pada 1995 jumlah eksport dan import Jepun telah meningkat masing-masing pada kadar 2.6 peratus dan 12.3 peratus.
“Oleh yang demikian, permintaan bagi komoditi berkemungkinan akan meningkat apabila keadaan kembali reda, sekali gus memanfaatkan sektor perladangan, minyak dan gas, keluli dan balak,” katanya.
Namun, jelas, terdapat kemungkinan berlaku keadaan turun-naik pasaran dalam jangka terdekat susulan aktiviti pengimbangan semula portfolio khususnya oleh pengurus dana Jepun yang menjual dagangan untuk dibawa pulang ke negaranya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan