Isnin, 14 Mac 2011

Bahana gabungan 3 bencana

Bencana gempa bumi, tsunami dan ancaman radiasi di dua buah reaktor nuklear Jepun bakal menyaksikan ekonomi ketiga terbesar dunia itu bakal jatuh lebih teruk daripada jangkaan awal.



Kekurangan tenaga dan kemungkinan untuk menaikkan kadar cukai dilihat semakin memberi tekanan kepada syarikat dan pengguna, sekali gus memberi kesan kelembapan ekonomi yang lebih teruk selepas gempa bumi di Kobe pada 1995.



Ini didorong oleh faktor harga minyak dan pengukuhan Yen ketika ini serta hutang Jepun yang semakin menimbun.



Bekalan elektrik juga akan diputuskan bermula hari ini dan akan menyebabkan perniagaan serta isi rumah terjejas kerana negara itu sedang bergelut dengan krisis terburuknya selepas Perang Dunia Kedua.



Lebih sejuta rakyatnya hidup tanpa air bersih dan bekalan tenaga di dalam bandar yang telah musnah.



Setelah dibebani hutang yang dua kali ganda saiz ekonominya yang bernilai AS$5 trillion (RM15.13 trillion) selain diancam penurunan penarafan, kerajaan Jepun ketika ini sedang berbincang untuk cukai bagi membiayai kerja-kerja pemulihan.



Pertumbuhan ekonomi Jepun ketika ini adalah lebih baik daripada selepas gempa bumi Kobe.



Bagaimanapun, ia akan mejejaskan keluaran dalam negara kasar (KDNK) beberapa bulan lagi, yang mana negara itu baharu sahaja pulih daripada kemelesetan pada hujung 2010.



"Apabila bercakap mengenai bencana alam, pada awalnya, kamu dapat melihat kejatuhan teruk di dalam pengeluaran, kemudian kamu boleh melihat pemulihan berbentuk V. Tetapi selalunya, setiap orang akan memandang mudah kepada kerosakan tersebut," kata Ketua Ekonomi Global di Societe Generale, Michala Marcussen.



Tambah beliau, bekalan tenaga adalah faktor kritikal, yang mana apabila pengeluaran tenaga terjejas bagi sesuatu tempoh masa, ia akan memberi kesan kepada ekonomi.



Tokyo Electric Power Co. mengumumkan semalam bahawa ia terpaksa memutuskan bekalan tenaga pada musim sejuk, sebagai tambahan pada musim panas.



"Gempa bumi tersebut bakal membuatkan banyak urusan tertangguh, kami akan melihat KDNK terjejas, dan pemotongan bekalan tenaga akan menyebabkan produktiviti merudum," kata Janwillem Acket, Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan Julius Baer.



Beliau menganggarkan kesan akan dirasai bagi dua suku berturut-turut namun ia dijangka tidak akan menyebabkan kemelesetan ekonomi.



"Kami tahu kewangan awam sudah lemah, lebih lemah daripada selepas gempa bumi Kobe. Tekanan untuk menaikkan cukai kecemasan adalah tinggi, namun saya tidak fikir ekonomi Jepun akan mengalami kemelesetan semula", katanya kepada Reuters.



Sementara itu, DowJones melaporkan pasaran saham Nikkei menjunam 6.2 peratus kepada 9,620.49 mata yang merupakan kejatuhan terburuk dalam sehari sejak dua tahun lalu.



Mata wang Yen yang melonjak pada paras empat bulan tertinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan merosot selepas aktiviti penjualan secara besar-besaran di pasaran saham dan bon serta tawaran suntikan dana berjumlah AS$183 bilion (RM552.66 bilion) oleh Bank of Japan.



Langkah tersebut adalah bagi memulihkan keyakinan pasaran.



''Ia merupakan hari penuh emosi bagi pasaran ekuiti Asia, dengan berita-berita terkini mengenai suntikan dana mahupun bencana bakal berlaku ekoran krisis reaktor nuklear,'' kata Chris Weston dari IG Markets kepada DowJones,'' tambahnya. - Agensi



Tiada ulasan:

Catat Ulasan