Jumaat, 13 Ogos 2010

Harga hartanah meningkat - iProperty.com

iProperty.com Malaysia (www.iproperty.com.my) dalam kaji selidiknya mendapati 40 peratus responden akan membeli hartanah pada masa terdekat kerana beranggapan harganya akan meningkat.



Kaji selidik itu melibatkan 383 responden yang majoritinya mewakili pembeli hartanah.



Ketua Pegawai Eksekutif iProperty.com Group, Shaun Di Gregorio berkata, jangkaan kenaikan harga hartanah itu disebabkan langkah kerajaan akan menghapuskan subsidi secara berperingkat.



''Antara subsidi tersebut berkaitan dengan bahan mentah dalam industri pembinaan.



''Manakala sebanyak 38 peratus memilih untuk menunggu isu penghapusan subsidi tersebut selesai kerana percaya kerajaan tidak akan meneruskan hasratnya,'' katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.



Selain itu, sebanyak 14 peratus responden tidak dapat membuat keputusan dan lapan peratus tidak berpuas hati dan mempunyai niat untuk menjual hartanah mereka.



Tambah Di Gregorio, pasaran hartanah menyaksikan minat positif daripada pembeli hartanah dan pelabur.



''Dengan kerajaan menimbang untuk menarik balik subsidi, lebih ramai orang akan komited membeli hartanah sebagai lindung nilai terhadap inflasi, oleh itu meningkatkan keyakinan terhadap pasaran untuk separuh kedua tahun ini,'' jelasnya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan