Pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun ini dijangka mampu menjangkau lebih enam peratus, mengatasi unjuran asal 4.5 peratus hingga lima peratus.
Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata, prestasi itu akan dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh serta perbelanjaan sektor awam dan swasta yang tinggi.
Beliau berkata, unjuran bagi prestasi keseluruhan 2010 negara itu juga telah mengambil kira kelembapan ekonomi di negara-negara maju yang dijangka berlaku pada separuh kedua nanti.
‘‘Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan teguh pada separuh pertama 2010 dan akan terus kekal kukuh pada separuh kedua.
‘‘Dengan prestasi semasa, Malaysia akan mencatatkan pertumbuhan ekonomi melebihi enam peratus pada 2010,” katanya pada sidang akhbar selepas membentangkan prestasi kewangan bagi suku kedua 2010 di sini hari ini.
Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi pada suku kedua sebanyak 8.9 peratus, didorong oleh peningkatan berterusan dalam permintaan dalam dan luar negeri.
Pada suku pertama lalu, negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 10.1 peratus.
Keluaran Dalam Negara Kasar bagi separuh pertama tahun ini ialah 9.5 peratus
Menjawab pertanyaan, Zeti berkata, walaupun ekonomi negara-negara maju dijangka mengalami kelembapan pada separuh kedua 2010, namun Malaysia mampu mengekalkan prestasi kewangan sedia ada.
Menurut beliau, keyakinan itu berasaskan negara memiliki sistem kewangan dan fundamental yang mantap, kadar inflasi dan pengangguran rendah serta akses pinjaman yang mudah.
Beliau berkata, biarpun perdagangan dengan negara-negara maju terjejas tetapi perdagangan antara negara-negara Asia terus menyaksikan pengembangan kukuh.
‘‘Kita akui aktiviti perdagangan dengan negara-negara tradisional menyusut tetapi pada masa sama aktiviti dagangan dengan pasaran baru terus rancak,” jelas beliau.
Pada sidang akhbar itu, Zeti berkata, permintaan dalam negeri bertambah sebanyak sembilan peratus disebabkan penggunaan swasta yang lebih tinggi dan perbelanjaan sektor perniagaan dan awam lebih baik.
Penggunaan swasta meningkat sebanyak 7.9 peratus disumbang oleh faktor pasaran kerja yang menggalakkan, inflasi relatif yang rendah dan paras pendapatan terus meningkat.
Dari segi penawaran, sektor ekonomi utama terus merekodkan pertumbuhan kukuh dipacu oleh sektor perkilangan dan perkhidmatan.
Sektor perkilangan berkembang pada kadar mapan sebanyak 15.9 peratus dengan pertumbuhan menyeluruh merentas semua kelompok.
Sektor perkhidmatan juga meningkat dengan kukuh sebanyak 7.3 peratus, disokong prestasi kukuh subsektor perdagangan borong dan runcit, kewangan dan insurans dan pengangkutan dan penyimpanan.
Kadar inflasi keseluruhannya meningkat 1.6 peratus disebabkan kenaikan harga makanan dan minuman tanpa alkohol.
Dalam sektor luaran, lebihan perdagangan mengecil kepada RM23.4 bilion pada suku kedua memandangkan import kasar meningkat lebih cepat berbanding eksport kasar.
Eksport kasar berkembang sebanyak 21.7 peratus hasil permintaan kukuh bagi keluaran elektrik dan elektronik (E&E) dan permintaan eksport berterusan terhadap keluaran bukan E&E dan mineral.
Pada asas tunai, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) kasar berjumlah RM4.7 bilion pada suku kedua.
Pelaburan langsung luar negeri bersih oleh syarikat Malaysia berjumlah RM2.5 bilion pada suku kedua terutama untuk pelaburan dalam sektor perkhidmatan serta minyak dan gas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan