Isnin, 6 September 2010

NASARUDIN MULAI UKIR NAMA SENDIRI

Ramai yang meragui kelangsungan hidup Kumpulan Naza (Naza) selepas pemergian pengasas, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin pada 2008. Tidak kurang yang mengatakan empayar itu tidak mungkin mampu bertahan lama.

Tidak dinafikan bahawa anggapan sedemikian mungkin kerana tidak ramai yang benar-benar mengenali anak-anak Nasimuddin yang kini menjadi penggerak utama entiti itu.

Ketika terdapat telahan bahawa kumpulan itu bakal mundur kebelakang dan gagal mempertahankan kejayaan, Naza berjaya membuktikan perkara sebaliknya pula berlaku.

Kejayaan kumpulan itu menjadi pusat pengeluaran kereta Peugeot pemanduan sebelah kanan bagi pasaran Asia dan Afrika menjelang tahun 2012 dikatakan cukup membanggakan industri kenderaan tempatan.

Pemilihan Naza itu bakal menyaksikan Malaysia menjadi pengeluar pertama model Peugeot pemanduan sebelah kanan.

Keputusan Peugeot dilihat sebagai satu kemenangan dan kejayaan yang cukup bermakna oleh Pengerusi Bersama Kumpulan Naza dan Ketua Pegawai Eksekutif Nasim Sdn. Bhd., SM Nasarudin SM Nasimuddin.

Tambahan pula, ia dicapai selepas Naza berjaya untuk memikat, syarikat dari Perancis itu melantik syarikat tempatan memasarkan jenama Peugeot.

Kejayaan itu menyerlahkan Nasarudin yang kini dikenali ramai bukan hanya di dunia permotoran tetapi juga perhotelan dan hartanah

Beliau juga menerajui sejumlah syarikat lain seperti Naza Kia, TTDI, Naza Diners Sdn. Bhd., Tutti Fruitti Frozen Yogurt, Naza Hotel Management, Crowne Plaza Los Angeles Harbor Hotel dan beberapa syarikat lain.

Peranan yang dimainkan oleh anak muda yang baru berusia 27 tahun ini, penting kerana kumpulan Naza kini bersaing dengan dengan Indonesia dan Vietnam bagi mengekalkan pengeluaran Kia di negara ini.

Nasarudin kini sedang berusaha untuk mengekalkan pengeluaran kenderaan Kia di negara ini walaupun berdepan dengan pelbagai tawaran menarik dari dua buah negara itu kepada prinsipal Kia di Korea.

Bagi anak muda ini, legasi perniagaan yang dimulakan oleh arwah bapanya yang membawa masuk jenama dari Korea itu tidak akan dilepaskan begitu sahaja tetapi sebaliknya akan mempertahankan dengan apa cara sekalipun.

Berbekalkan pengiktirafan menjadi pengedar tertinggi Kia di ASEAN untuk beberapa tahun, Naza percaya ia akan menjadi pilihan berbanding dua buah negara itu yang menawarkan pelbagai insentif menarik.

Ketika sibuk menangani kemelut Kia, Nasarudin berjaya mengimbangi tumpuan kepada jenama-jenama lain terutamanya Peugeot kerana kerana kerja-kerja penyelidikan terhadap pembangunan model itu di negara ini telah pun bermula.

Malah pengurusan tertinggi syarikat dikatakan akan terbang ke Perancis dalam bulan ini bagi membincangkan secara teliti mengenai projek tersebut.

Dalam kerjasama dengan Peugeot, syarikat asing itu pada dasarnya, bersetuju bekerjasama dengan Nasim bagi mengeluarkan kereta sedan segmen C yang diberi nama kod T73 dan akan dipasang di kilang Naza di Gurun.

Persetujuan itu melibatkan pengeluaran 70,000 buah T73 di Gurun untuk tempoh lima tahun akan datang dengan 60 peratus daripadanya akan dieksport ke negara-negara pemanduan sebelah kanan di Asia dan Afrika.

Bagaimanapun, persoalan model yang akan dikeluarkan itu, hanya akan diumumkan pada tahun depan, begitu juga tentang penggunaan enjin 2.0 liter atau 1.6 liter turbo.

Pada masa ini, Naza dan Peugeot menyasarkan untuk mengeksport 40 peratus model berkenaan di Asia dan Afrika manakala selebihnya untuk pasaran tempatan pada tahun pertama.

Perjanjian persefahaman itu bukan hanya menunjukkan kepercayaan Peugeot terhadap keupayaan syarikat bumiputera mengeluarkan kenderaan mereka untuk pasaran Asia tetapi kualiti pengeluaran, tenaga kerja dan kekuatan pasaran vendor tempatan.

Pasaran kenderaan Peugeot berkembang dengan baik di negara ini dan merupakan kenderaan Eropah kedua terlaris dalam tempoh dua tahun lepas.

Bagi pemerhati industri, mereka melihat keupayaan dan keberanian anak muda ini merupakan sesuatu yang luar biasa apatah lagi berjaya memujuk 'orang putih' untuk bekerjasama dengan syarikat tempatan.

Bukan senang untuk mempengaruhi orang asing khususnya yang memiliki rekod serta jenama kukuh di dunia bagi bekerjasama dengan syarikat kecil keupayaannya.

Dengan evolusi yang dilalui Naza, ia mampu memperlihatkan kejayaan yang membanggakan pada masa depan.

Sehingga kini, ia berjaya mengembangkan jenama Kia sehingga mempunyai 44 pengedar dengan 27 buah cawangan berserta 81 pusat servis di seluruh negara manakala Peugeot pula memiliki 13 buah cawangan dengan tujuh pengedar dan 14 buah pusat servis di seluruh negara.

Selain memikul tanggungjawab yang jauh lebih berat berbanding usianya mengkagumkan, Nasarudin juga membawa bersama harapan 4,000 kakitangan syarikat agar perancangan yang digariskan mampu menjadi kenyataan.

Melalui kekuatan yang telah terbina melalui kerjasama untuk membangunkan jenama Kia dan Peugeot di dunia sebelah sini, Kumpulan Naza mampu pergi lebih - Utusan Malaysia



Tiada ulasan:

Catat Ulasan