Isnin, 6 September 2010

BAHAYA JIKA SYARIKAT TEMPATAN GAGAL MENGIKUT ARUS

UNTUK terus maju dan berdaya saing, usahawan perlu peka kepada arah aliran akan datang serta melihat jauh ke hadapan. Justeru, perniagaan akan berjaya jika memberi perhatian kepada unjuran dan aliran masa depan dalam merancang strategi jangka panjang. Sebaliknya, perniagaan menjadi lemah jika hanya tertumpu kepada hari ini.



Mengandaikan esok adalah sama seperti hari ini akan mengundang kegagalan. Krisis Kewangan Asia 1997 muncul ketika semua pakar begitu ghairah dengan 'keajaiban ekonomi Asia', manakala krisis ekonomi dan kewangan baru-baru ini pula tercetus ketika penggubal dasar di Barat mempertaruhkan sektor perbankan akan terus mengalami pertumbuhan.



Sejarah membuktikan bahawa perubahan boleh terjadi dalam tempoh masa yang singkat. Jika diimbas kembali, pada tahun 1990 Soviet Union masih wujud di atas peta; apartheid masih berkuasa di Afrika Selatan; Internet pula lebih terhad kepada dunia akademik sahaja.



Jelas sekali senario tersebut sudah berubah dan cukup berbeza pada hari ini.



Untuk membantu perniagaan menghadapi perubahan, usahawan boleh merujuk kepada laporan 'Where next for the global economy? A view of the world in 2030' (Apakah seterusnya dalam ekonomi global? Pandangan mengenai dunia pada 2030). Ini laporan terbaru oleh Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dengan kerjasama Lighthouse Global, sebuah kumpulan perunding dan penyelidikan strategik menghimpunkan ramalan 15 pakar global dalam bidang perniagaan, ekonomi dan perakaunan.



Antara panel ternama menyumbang pendapat mereka dalam laporan itu termasuk Ketua Percukaian Global KPMG, Loughlin Hickey; Ketua Pegawai Pengurusan Kewangan Bank Dunia, Tony Hegarty; Profesor Saul Estrin dari London School of Economics serta Pengarah Urusan PwC Malaysia, Chin Kwai Fatt.



Ringkasnya laporan itu meramalkan dunia pada 2030 akan menjadi begitu berbeza dengan memperlihatkan landskap ekonomi yang mendatar di mana halangan serantau kepada aliran barangan, perkhidmatan, modal dan ilmu akan semakin tenggelam, malah lenyap sama sekali. Ini mendorong kepada pembentukan pasaran global lebih tulen dengan lebih banyak peluang sama rata.



Masyarakat perniagaan harus memberi perhatian kepada arah aliran utama berikut:



* Penyumberan luar (Outsourcing): Kaedah penyumberan luar akan semakin meluas menjelang 2030 menjurus kepada pengkhususan atau kepakaran. Kebanyakan syarikat konglomerat gergasi hari ini diramal akan berpecah menjadi beberapa syarikat kecil (de-conglomerate), dengan memanfaatkan khidmat pihak ketiga bagi hampir keseluruhan fungsi pusat untuk mencapai kecekapan.



Laporan itu juga menyebut bahawa syarikat masa depan akan terdiri daripada rangkaian perniagaan kecil. Justeru, perhubungan maya yang utuh akan menghubungkan pelbagai perniagaan pakar dan kian terpencil di rantau dan kota yang semakin mengkhusus kepada sesuatu bidang kepakaran. Rangkaian perniagaan kecil itu bertindak seperti kumpulan ikan yang mengocak gigi air, menjadi kuasa kuat dalam persekitaran global.



Usahawan generasi Y yang mewarisi perniagaan ketika itu mungkin memilih untuk mengekalkan perniagaan mereka dalam skala kecil dan mudah diurus. Ini akan menyumbang kepada aliran penyumberan luar.



* Sumber terhad: Berikutan jumlah penduduk dunia yang semakin bertambah dan sumber pula semakin terhakis, dijangka akan wujud tekanan ketara untuk mendapatkan hak ke atas minyak, gas atau air.



Sumber makanan juga semakin terbatas mendorong kepada penyuburan unsur nasionalisme untuk membincangkan isu keselamatan sumber dan makanan. Bagi mengoptimumkan sumber, perniagaan terpaksa mengurangkan pergantungan kepada sumber tenaga tidak boleh diperbaharui serta mengamalkan model perniagaan mesra persekitaran.



* Pendataran dunia: Dunia diramal akan mendatar kesan globalisasi dan ini mungkin mendorong anjakan pengaruh global ke arah Timur. Ia sebenarnya sudah pun berlaku. Pasaran dan rantau baru muncul ini juga sudah bersedia untuk mendominasi.



Sebagai contoh, jumlah syarikat multinasional dari pasaran baru muncul ini yang disenaraikan dalam Fortune Global 500 telah bertambah tiga kali ganda dalam tempoh sedekad lalu kepada 70 buah pada 2008.



Penyertaan syarikat pasaran baru muncul dalam perdagangan dunia juga kian meningkat seiring peningkatan kepentingan mereka dalam pasaran ekuiti global. Purata pertumbuhan KDNK pasaran baru muncul sebanyak 6.5 peratus antara 2000-2007 (Laporan World Economic Outlook 2009, Bank Dunia) telah mendorong peningkatan jumlah dana ekuiti bagi pasaran itu.



Walaupun suasana kini kelihatan sudah bersedia untuk satu perubahan radikal, kebanyakan perniagaan mungkin masih tidak melihat ke depan sepenuhnya ketika merangka rancangan strategi jangka panjang. Salah satu sebabnya ialah mereka masih cuba menyerap kesan kemurungan ekonomi global baru-baru ini.



Ekoran terjejas dengan krisis kewangan global, maka kalangan pengulas, ahli politik dan penganalisis memberi fokus kepada jangka pendek. Walaupun kita bimbang dengan prospek penurunan berganda kemerosotan ekonomi dan kedaulatan kredit yang rapuh, adalah penting untuk tidak mengabaikan perancangan jangka lebih panjang.



Kita perlu mula memikirkan hari esok dan bersedia menghadapi sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Pada 2030, dunia dijangka terdedah kepada tekanan melampau ke atas sumber, anjakan kuasa global yang sangat hebat serta kaedah sangat berbeza dalam melaksanakan perniagaan global.



Anjakan paradigma ini sudah mula menampakkan tanda dan kesan melalui beberapa fenomena seperti pergerakan menuntut pembangunan mapan, peningkatan negara Asia, ledakan penduduk daripada 6.8 bilion hari ini kepada anggaran sembilan bilion pada 2050, perhubungan melalui Internet memperkasakan model perniagaan maya, dan peralihan ke arah penyumberan luar.



Walaupun mungkin tidak semua ramalan dalam View of the World in 2030 akan menjadi kenyataan, tetapi ramai cenderung melihat kepada peralihan yang bakal membuka jalan merubah landskap dunia dan juga perniagaan nanti. Masyarakat perniagaan perlu lebih bersedia untuk berdepan orde baru dunia yang mungkin muncul secara tiba-tiba.



Penulis ialah Presiden Jawatankuasa Penasihat ACCA Malaysia dan juga CEO PUNB.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan