Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
ainul.ahsan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 17 Jan. – Bursa Malaysia Bhd. (Bursa Malaysia) berharap hanya syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) yang berkualiti terbaik disenaraikan di pasaran tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Yusli Mohamed Yusoff menyifatkan pengumuman kerajaan untuk menyenaraikan GLC sebagai positif, bukan sahaja kepada pihaknya tetapi juga pelabur.
Beliau menjelaskan, pemilihan GLC yang berkualiti tinggi itu penting dalam memastikan langkah kerajaan untuk menyenaraikan lebih banyak GLC mampu merangsang serta merancakkan pasaran tempatan, sekali gus mengembalikan pelabur asing.
‘‘Lagi besar syarikat, lagi baik kerana ia memberi peluang kepada para pelabur untuk mendapatkan pulangan yang baik,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan penyenaraian 17 anak syarikat milik Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF inc) oleh kerajaan, baru-baru ini.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Husni Hanadzlah berkata, penyenaraian 17 syarikat itu dalam usaha meningkatkan kecairan dan hala tuju Bursa Malaysia.
Penyenaraian syarikat MOF Inc. akan meningkatkan lagi jumlah syarikat milik kerajaan di Bursa Malaysia.
Meskipun syarikat-syarikat tersebut bakal disenaraikan, kerajaan akan terus menguasai 30 peratus kepentingan dalam syarikat berkenaan, kata Husni.
Mengulas lanjut, Yusli berkata, setakat ini Bursa Malaysia belum mendapat mendapat sebarang maklumat tentang penyenaraian itu.
‘‘Kita akan menunggu sebarang cadangan penyenaraian dan pada masa kita akan dapatkan maklumat mengenainya,’’ ujarnya.
Sebelum ini, Husni memberitahu, keputusan bagi penyenaraian tersebut akan dimuktamadkan pada pertengahan tahun ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pasaran ekuiti sudah mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan positif sejak awal 2010.
Beliau berkata, pelabur runcit kini sudah mula membanjiri pasaran tahun ini apabila mencatatkan peratusan menggalakkan iaitu 34 peratus berbanding 20 peratus pada pertengahan 2009.
‘‘Tahap keyakinan pelabur semakin baik dan saya yakin pasaran ekuiti tempatan akan terus positif, dirangsang dengan pengumuman model ekonomi baru tidak lama lagi.
‘‘Saya berpendapat, pengumuman tersebut akan menggiatkan lebih banyak aktiviti ekonomi, sekali gus menarik penyertaan pelabur asing,’’ ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan