Oleh: rausyanfikir
“Kamu orang apa? PAS ke ABIM ke UMNO?”
“Saya orang Islam, dan saya menyokong kebenaran”
Mungkin senario ini jarang kita hadapai tetapi jauh dilubuk hati para da’ie pasti timbul gejolak pemikiran sebegini.
Begitulah realiti yang menggigit dunia perjuangan dan dakwah pada hari ini. Tidak sah jika identifikasi berkenaan dengan kumpulan yang didokong tidak dinyatakan dengan jelas oleh mana-mana pihak.
Di sebelah sini mengatakan kumpulan ini paling syumul, di sebelah sana pula mengatakan kumpulan ini play safe dan kedengaran juga suara-suara yang menyapa kumpulan sana hanya panda bercermah dan mencemuh.
Hairan bukan? Sudahlah umat Islam Negara ini terpecah kepada dua golongan besar yang menyokong agenda Nasionalis dan Islam tiba-tiba dalam kelompok pembawa api kebenaran terdapat juga serpihan debu yang mengotorkan tangan pembawa obor: perpecahan antara kumpulan-kumpulan Islam turut berlaku dalam kelompok besar yang memperjuangkan islam di tanah air.
Bukankah kita sudah sedia maklum bahawa di akhir zaman ini, Al Ahzab moden sudah bersedia berpadu tenaga tanpa mengira ideologi dan akidah melainkan sepakat membulatkan nafsu menentang Islam yang sejati. Kristian, Hindu, Zionis dan Atheis yang radikal tidak peduli sama ada mereka sebulu ataupun tidak, melainkan hati hitam yang bencikan islam.
Bagaimana kita di Malaysia? Saya boleh terima jika PAS dan UMNO bermusuh akibat perbezaan dasar perjuangan tetapi krisis inter-kumpulan Islam? Adalah sesuatu yang sangat tidak wajar berlaku di saat-saat begini.
Bersatu teguh bercerai roboh
Rasanya peribahasa di atas sudah cukup menggambarkan betapa perpaduan bagi umat melayu Islam sangat penting bagi menjamin kedaulatan bangsa, agama dan Negara kita. Malanganya, ada sesetengah mungkin juga sesetengah yang banyak kuantitinya gagal menghayati maksud perpaduan tersebut.
“Kumpulan aku lebih baik! Kami tidak gentar menyatakan aqidah perjuangan kami!’
“ Kumpulan kami pula lebih banyak lakukan perubahan pada golongan professional!”
Realiti semasa perjuangan Islam di Malaysia ini sememangnya mengambarkan beberapa sudut. Di satu penjuru terdapat Muslimin dan Muslimat yang berjuang dengan penat lelah dalam menentang kezaliman penguasa manakala dalam satu sudut yang lain terdapat juga mereka yang mampu menarik keluar ahli maksiat kepada ahli masyarakat yang lebih berguna.
Semua orang mempunyai tempat yang tersendiri dalam perjuangan. Perjuangan tidak pernah dieksklusifkan hanya milik kumpulan Islam tertentu malah Allah juga tidak meletakkan hanya Islam sahaja yang layak berjuang dalam menentang segala kezaliman dan kemusnahan.
Lihat saja dunia yang penuh warna warni dari zaman Gandhi ke Guevara dan dari Mandela ke Malcolm X yang mana masing-masing mempunyai susur galur berduri yang tersendiri. Ada yang berjaya ada yang masih belum merasai buah kemenangan.
Walau apa pun perjuangan tersebut dimulakan, ia mula atas perasaan dan fitrah semulajadi manusia yang cintakan kedamaian dan keadilan, membencikan kekacauan dan kezaliman.
Tetapi, walaubagaimanapun, perjuangan menuntut KEBENARAN sudah tentu hanyak milik kepada Islam kerana akar ataupun akidah perjuangan mestilah tepat bagi menyempurnakan fitrah hidup yang sudah dicipta khas untuk manusia yang tunduk kepada Khaliqnya.
Sayangnya, walaupun kita sudah berada pada jalan perjuangan yang BENAR berbanding beribu-ribu manusia yang berjuang tetapi masih gagal menemui al-haq, kita masih gagal menyatukan sumber dan kekuatan perjuangan Islam tersebut.
Sifat taasub inilah yang menghindarkan kita dari menyelesaikan masalah yang sebenar iaitu masalah ummah. Pernah berlaku bila mana seorang ahli gerakan mengemukakan konsep yang lebih mengfokus kepada ummah ataupun dalam bahasa modennya Ummah centric dalam tulisannya tiba-tiba sahaja sesetengah daripada kita melenting dan terus mencaci dengan begitu dahsyat kepada saudara perjuangan kita hanya kerana kita tidak mampu memahami dengan lebih mendalam konsep “Ummah Centric” yang cuba di sampaikan tersebut.Tidak kisahlah untuk kita tidak dapat menerima pandangan insan tersebut tetapi dimanakah adab sesama kita dalam tidak mempesetujui perkara sebegitu?
Minda tertutup kerana bersikap idealistik
Baru-baru ini saya menghadiri perhimpunan nasional gerakan-gerakan Islam di Malaysia yang dianjurkan oleh Sekretariat Kongres Umat Islam Se-Malaysia dan Kerajaan Negeri Kelantan untuk membincangkan gerak kerja menggemblengkan potensi umat untuk tahun-tahun yang berikutnya. Sambutan yang ditunjukkan sangat menggalakkan kerana hampir kesemua gerakan hadir kecuali UMNO (mungkin kerana faktor kerajaan Negeri Kelantan sebagai salah satu pihak penganjur).
Terdapat satu sesi yang sangat menarik bila mana perbincangan bersama tokoh ilmuan perlembagaan Malaysia iaitu Prof. Aziz Bari yang berlegar mengenai isu “ Adakah Malaysia sebuah negara Islam?”
Saya kira, beliau sememangnya mahu mencetuskan anjakan paradigma untuk melihat sejauh mana para pejuang Islam di tanah air ini memberi respons dalam isu ini. Katanya:
“ Malaysia ini bukanlah sebuah negara Islam mahupun negara sekular kerana kita tidak memenuhi kesemua kriteria untuk kedua-dua ciri tersebut dalam struktur perlembagaan dan undang-undang negara kita”
Bayangkan reaksi yang ditimbulkan oleh para delegasi seolah-olah hendak bertegang urat dengan beliau. Masih ramai yang mahu menegaskan negara ini merupakan negara Islam dan bukan sekular ( mungkin mereka bermaksud negara Muslim kerana majoriti penduduk Malaysia adalah Melayu Muslim ataupun melihat kembali status quo sejarah tanah air ini pernah didaulatkan dengan Islam) dan pelbagai hujah dan kekeliruan yang timbul dalam membahas isu ini.
Keadaan menjadi agak hangat sehinggakan pihak pengajur terpaksa bertindak dengan pantas bagi mengendurkan suasana tersebut menjadi lebih rasional daripada emosional.
Mungkin tidak ramai yang bersetuju dengan kenyataan beliau tetapi bagi saya, Prof Aziz Bari bersikap pragmatik dalam hal Negara Islam. Untuk kita menyatakan kepada dunia bahawa Malaysia merupakan Negara Islam melalui peti undi merupakan satu perkara yang agak mustahil.
Prof Aziz Bari sendiri melontarkan kembali soalan kepada para delegasi bahawa benchmark ataupun kayu ukur mana yang perlu kita guna dalam menilai sejauh manakah ‘Islam-nya’ negara kita ini kelak apabila Islam kembali berkuasa? Sudah tentu model yang terbaik ialah Madinah Al-Munawarah sewaktu baginda Rasulullah S.A.W memerintah.
Realitinya Malaysia adalah sebuah negara yang majmuk. Kita mempunyai pelbagai kaum dan agama yang dimana hampir kesemua daripada mereka yang bukan Islam masih tidak faham Islam sebagai ad-deen walaupun kita sudah 50 tahun hidup secara aman. Belum lagi kita kira golongan Melayu yang langsung melihat Islam sebagai agama ritual semata-mata. Masih jauh lagi untuk kita capai matlamat terulung tersebut dan seperti kata Presiden CAP iaitu S.M Idris:
“ For you to create an Islamic State you must create an Islamic Society first”
Kenyataan S.M Idris ini boleh saya simpulkan sebagai mekanisme sulbah yang mana kita bermula dengan individu Muslim, Keluarga Muslim, Masyarakat Muslim, Negara Islam sehinggalah kepada Khilafah yang telah lama hilang dari ingatan kaum Muslimin di dunia ini.
Saya kira kita harus bersikap realistik seperti Turki dalam melalui jalan sulbah ini. Fokuskan kepada masalah umat yang bersifat dasar daripada bertelagah mengenai perkara yang lebih ideal sifatnya untuk masa sekarang.
Saya tidak berkata tidak perlu para da’ie berpeluk tubuh dalam menghadapi suasana politik yang korup tetapi jangalah sampai kita terbawa-bawa dengan tarikan kuasa untuk menegakkan syariah melalui peti undi tanpa melakukan Islah dari bawah iaitu terhadap umat dahulu.
Kesemua ini perlu berjalan seiringan dimana ada kumpulan yang berjuang meng’Islam’kan politik dan ada kumpulan yang gigih meng’Islah’kan masyarakat dari akar umbi. Maka sikap “jemaah aku paling hebat” sudah tentu tidak akan timbul dan apatah lagi berbalah sesama kita.
Islam ini syumul
Islam sepertimana yang kita tahu bukan sekadar agama ritual. Kita berTuhan kerana kita percaya dengan fitrah manusia sebagai makhluk yang lemah yang senantiasa bergantung kepada Allah dalam melaksanakan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi Allah ini (hablumminallah).
Kita juga sedar bahawa sebagai manusia kita tidak hidup berseorangan di muka bumi ini. Kita perlu menjalinkan hubungan selaku indvidiu, anggota masyarakat, anggota keluarga dan pelbagai lagi peranan sebagai manusia dalam kelompok yang besar (hamblumminannas).
Sudah tentu kesemua ini perlukan aturan yang lengkap dan kemas. Maka disinilah peranan Islam sebagai cara hidup yang melampaui erti agama yang difahami kebanyakkan manusia di atas muka bumi Allah ini.Saya mewakafkan diri kepada perjuangan Islam bukan kerana ingin menegakkan Islam melalui peti undi tetapi kerana saya sangat mempercayai Islam itu sungguh lengkap dan tidak mampu ditandingi oleh mana-mana kuasa dan idea apatah lagi Islam itu sendiri melengkapi kepada semua perkara dan tidak ada sedikit pun cacat cela akan ad-deen ini.
Atas dasar kefahaman inilah saya sanggup meninggalkan keenakan hidup duniawi untuk mencari redha Allah demi melihat Islam kembali menyinari alam tidak kira sinaran kebenaran itu kepada umat Islam yang telah tenggelam ataupun umat manusia sekalian yang masih meraba-raba dalam kesesatan.
Perasaan untuk menerima Islam sebagai ad-deen dalam diri saya ini melampaui sempadan kebersamaan saya dengan kumpulan Islam tertentu malah lebih daripada identiti saya sebagai Melayu Muslim.Islam sebagai ad-deen telah menusuk jiwa manusiawi saya yang lemah sehinggakan roh Islam itu menggantikan roh manusiawi yang tidak ada makna jikalu tidak mengenali Tuhan yang Esa melalui cara yang telah digariskan oleh-Nya iaitu Islam sebagai ad-deen.
Jikalau betul para pejuang Islam di Malaysia ini percaya Islam itu syumul kenapa masih terdapat lompongan yang besar dalam pelbagai aspek perjuangan antaranya seperti dalam bidang alam sekitar, perdaganan dan lain-lain bidang yang dimana kita menerima model dan pendekatan Barat untuk kita gunakan dalam pembangunan masyarakat kita.
Pernah Tuan Haji Azmi (Presiden TERAS) dan S.M Idris (Presiden CAP) pergi ke Pakistan untuk bertemu dengan beberapa tokoh gerakan di Paksitan dan diantaranya ialah Presiden Jamaat-e-Islami (JI) yang dahulunya terkenal dengan susuk seperti As-Syaheed Abul A’la Al-Mawdudi yang hidup sezaman dengan As-Syaheed Imam Hassan Al Bana.
Ketika mana Tuan Haji Azmi dan S.M Idris bertemu dengan Presiden JI pada masa kini iaitu Qazi Hussain Ahmad, mereka bertanyakan kenapa JI tidak memperjuangkan isu-isu alam sekitar dan kepenggunaan? Jawapan yang diberi cukup menduka citakan. Qazi Hussain bertanya kembali kepada mereka bahawasanya bukankah itu merupakan isu orang Kristian?
Kenyataan sebeginilah yang mendukacitakan mereka berdua termasuklah saya selaku orang yang memandang tinggi gerakan Islam tersebut.
Ternyata gerakan Islam sendiri yang bersikap sempit minda dalam melihat masalah umat. Ia berlaku hampir di semua tempat di dunia ini dan gerakan Islam gagal menggunakan potensi yang ada untuk membawa isu-isu sebegini.
Realiti yang cukup takut untuk kita fikirkan. Lompong-lompong yang ada ini siapakah yang bertanggungjawab terhadapnya? Kita ada pelbagai jenis kumpulan Islam di Malaysia dan kita masih gagal untuk menutupi permasalahan yang timbul semakin hari semakin kompleks. Akhirnya, disebabkan kita tidak ada peneraju dalam bidang tertentu kita gagal memahami keperluan yang kritikal dalam menangani isu tersebut.
Jikalau kita lihat senario di atas, perlukah kita bercakar ayam dalam menyelesaikan masalah umat? Mungkin cakarnya tidak jelas tetapi sakit daripada perbuatan itu akhirnya melukai roh perjuangan untuk menyelamatakn umat dan ini akhirnya membuatkan gerakan Islam lebih terdedah kepada ancaman Ahzab Moden yang lebih kompleks lagi licik.
Cukuplah dengan jemaah centric yang berlebihan yang melahirkan ketaasuban terhadap kumpulan yang disertai sehinggakan kumpulan lain seolah-olah tidak ada tempat dan tidak betul manhajnya.
Cukuplah juga dengan ummah centric yang melampau yang akhirnya menjadikan diri terumbang ambing ditelan ombak ganas akibat menaiki sampan sendiri sehingga menidakkan keperluan bersama kapal yang lebih besar dan selamat dalam menongkah ombak ganas tersebut.
Kesemua ini hanya akan mendatangkan kelemahan kepada perjuangan umat Islam di tanah air. Seperti kata Ustaz Hasrizal jemaah itu keperluan dan ummah itu tujuan. Insyaallah jikalau kita mengambil sikap bersederhana dalam hal ini, umat Islam di Malaysida tidak akan rugi malah kita dapat menzahirkan betapa Islam ini mampu menyelesaikan segala permasalahan manusia.