PELABUR dan penganalisis pasaran menggunakan pelbagai kaedah ramalan dan pemantauan harga dan pergerakan pasaran saham bagi membantu mereka dalam menentukan strategi pelaburan.
Dua kaedah utama yang biasanya digunakan adalah Analisis Fundamental (Asas) dan Analisis Teknikal. Ada perbezaan ketara antara kedua-dua analisis berkenaan.
Walaupun saya sebenarnya menyokong analisis teknikal, namun saya juga tidak menafikan kepentingan analisis fundamental.
Apakah perbezaan antara kedua-dua analisis ini? Analisis fundamental atau analisis teras adalah satu kaedah meramalkan arah pergerakan harga berdasarkan kedudukan ekonomi sesebuah negara seperti kadar keluaran negara kasar (KNK), kadar inflasi, kadar pengangguran, kadar pernawaran wang, politik dan faktor berkaitan.
Sesudah menganalisis keadaan makro ekonomi negara, fundamentalis juga meneliti dari sudut mikro dengan membuat analisis laporan tahunan syarikat seperti penyata kewangan, kunci kira-kira dan rekod pembayaran dividen.
Selain itu, mereka juga meneliti nisbah kewangan syarikat termasuk nisbah penggearan (gearing ratio), pulangan pelaburan, nisbah harga perolehan atau price earnings ratio (PER), pulangan sesaham atau earnings per share (EPS).
Mereka juga turut meneliti aktiviti semasa dan akan datang syarikat seperti arah aliran jualan, aliran pengeluaran, kapasiti pengeluaran kilang, kekuatan pengurusan dan pembahagian pasaran.
Dengan mengabungkan analisis makro dan mikro, mereka menentukan harga sebenar sesuatu saham itu atau lebih dikenali sebagai nilai intrinsik (intrinsic value).
Jika harga semasa sesuatu saham itu dijual dibawah nilai intrinsiknya, maka saham itu dikatakan sesuai untuk dibeli. Sebaliknya, jika harga semasa saham itu di atas nilai intrinsiknya, mereka akan menjual dan meninggalkan pasaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan