Ahad, 15 November 2009

Saham dijangka bergerak mendatar

KUALA LUMPUR 15 Nov. – Harga saham di Bursa Malaysia berkemungkinan bergerak mendatar minggu ini dengan kecenderungan menurun menjelang tawaran awam awal (IPO) terbesar Asia Tenggara, oleh Maxis Bhd., yang dijadualkan pada 19 November.


Sementara itu, indeks penunjuk pasaran dijangka mengalami pembetulan kecil selepas peningkatan besar ke paras tertingginya sejak Mei tahun lepas pada 1,274.08.


Bursa saham agak cergas pada awal minggu lalu dengan FBM KLCI melepasi paras psikologi 1,270 mata ekoran belian teguh saham-saham kewangan.Bagaimanapun, pengambilan untung sederhana pada paras halangan 1,272 mengehadkan kenaikan.

“Pengambilan untung dan penjualan selepas kenaikan mungkin berterusan apabila momentum belian reda,” kata seorang daripada peniaga itu, sambil menambah bahawa pelabur-pelabur seharusnya berurus niaga dengan berhati-hati dengan matlamat jangka pendek dan langkah mengehadkan kerugian. Namun, seorang peniaga lain percaya pasaran tempatan mungkin menyaksikan sokongan dengan penyenaraian pengendali mudah alih unggul negara, Maxis minggu ini.


Maxis, yang mengumpul RM11.2 bilion dalam IPO terbesar Asia Tenggara, akan dimasukkan dalam FBM KLCI yang mengukur 30 saham, menggantikan syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines.


Peniaga itu menjangka FBM KLCI mencapai paras halangan berikutnya pada 1,285 mata dan paras sokongan 1,265 mata minggu ini. Pasaran serantau dijangka terus berhati-hati dan cenderung berada dalam aliran menurun.

“Orang tertanya-tanya sama ada kerajaan-kerajaan di rantau ini boleh dikenakan tekanan untuk membenarkan mata wang masing-masing mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kerana ekonomi AS masih lemah,” kata peniaga itu.


Beliau menegaskan jika mata wang Amerika itu terus lemah, ia akan memberi manfaat kepada pasaran-pasaran saham serantau kerana lebih banyak pelabur akan mencurahkan dana ke dalam aset bukan dolar.


Pelabur-pelabur akan menanti isyarat daripada lawatan sembilan hari Presiden AS, Barack Obama ke rantau ini kerana ia akan memberi petunjuk, khususnya tentang bagaimana AS bercadang untuk berhadapan dengan rantau ini dari segi hubungan ekonomi.


“Sebarang pergerakan dalam bursa serantau akan turut memberikan kesan ke atas pasaran tempatan,” kata seorang lagi peniaga.


Dalam minggu baru berakhir, bursa tempatan menyaksikan satu peserta baru, Xidelang Holdings Bhd., dalam Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 11 November. Syarikat pakaian sukan yang berpangkalan di China itu dibuka pada 75 sen, iaitu pada premium 17 sen melebihi harga tawaran 58 sen. Ia menyaksikan 500,000 saham diurus niaga.


Pada akhir dagangan minggu lalu, sahamnya turun 2.5 sen dengan jumlah dagangan 13.691juta saham. Berbanding Jumaat lepas, FBM KLCI naik 10.20 mata kepada 1,270.96.


Indeks FBM Emas meningkat 66 mata kepada 8,488.83, Indeks FBM Top 100 mengukuh 70.90 mata kepada 8,281.01 dan FBM70 menambah 87.82 mata kepada 8,178.10.


Indeks FBM ACE, bagaimanapun, jatuh 163.78 mata kepada 4,523.87.


Indeks Kewangan melonjak 151.01 mata kepada 10,927.30 dan Indeks Perladangan mengukuh 120.41 mata kepada 6,179.32 tetapi Indeks Perusahaan turun 1.89 mata kepada 2,697.98.


Sejumlah 5.072 bilion saham bernilai RM5.937 bilion bertukar tangan minggu lalu, susut daripada 6.577 bilion saham bernilai RM6.715 bilion minggu sebelumnya.


Jumlah dagangan dalam Pasaran Utama mengecil kepada 4.441 bilion saham bernilai RM5.766 bilion berbanding 5.354 bilion saham bernilai RM6.339 bilion.


Jumlah waran opsyen belian susut kepada 78.166 juta unit bernilai RM17.025 juta berbanding 100.850 juta unit bernilai RM19.928 juta sebelumnya.


Dalam Pasaran ACE, jumlah dagangan susut kepada 477.619 juta saham bernilai RM166.694juta daripada 1.009 bilion saham bernilai RM285.710 juta minggu sebelumnya. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan