Jumaat, 13 November 2009

Main tangkap muat?

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Prestasi buruk syarikat-syarikat China di Bursa Malaysia tidak memberi kesan kepada usaha Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia untuk menarik lebih banyak syarikat asing menyenaraikan saham mereka di negara ini.

Pengerusi SC, Tan Sri Zarinah Anwar berkata, prestasi yang ditunjukkan oleh syarikat-syarikat berkenaan selari dengan situasi pasaran sekarang. ''Syarikat-syarikat (China) yang disenaraikan adalah syarikat yang baik dan memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia.''Jadi prestasi semasa yang ditunjukkan oleh syarikat-syarikat terbabit tidak boleh dilihat sebagai petunjuk tertentu,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kebanyakan firma penyelidikan tempatan sebelum ini berkata, dua syarikat pakaian sukan dari China yang disenaraikan tidak menunjukkan prestasi sebenar sejak ia disenaraikan di bursa tempatan.

Harga saham Xingquan setakat ini telah merosot daripada harga tawaran awal permulaan (IPO) manakala MultiSports pula jatuh 41 peratus.Kejatuhan itu dikatakan berpunca daripada berita mengenai ketidakseragaman akaun syarikat-syarikat China yang disenaraikan di Singapura.

Malah, XiDeLang yang disenaraikan pada Rabu lalu turut menyaksikan momentum yang sama.Zarinah berkata, syarikat-syarikat terbabit perlu melakukan banyak aktiviti perhubungan pelabur untuk memastikan para pelabur mengetahui profil dan prestasi syarikat-syarikat mereka.

Dalam pada itu, beliau mengakui banyak syarikat-syarikat dari China telah menunjukkan minat untuk menyenaraikan syarikat di Malaysia.Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenainya.

Ketua Pegawai Pelaburan ASM Investment Services Bhd., Rusli Abu Yamin berkata, pihak berkuasa pasaran perlu berhati-hati dan tidak bertindak sekadar 'tangkap muat' dalam memilih syarikat-syarikat baru asing untuk disenaraikan dalam memastikan penyenaraian itu mampu merangsang pasaran tempatan.

Menurut beliau, prestasi yang ditunjukkan oleh syarikat-syarikat China itu membuktikan bahawa pelabur tempatan dan asing mahukan syarikat berkualiti dan mampu memberi jaminan kepada pelaburan mereka.''Apa yang berlaku kepada syarikat-syarikat China ini adalah kedudukan saham mereka tidak berada pada prestasi jangkaan kerana pelabur kita bimbang bagaimana badan-badan pengawas selia tempatan mampu memantau prestasi syarikat berkenaan.''Kebimbangan itu berasaskan memandangkan syarikat-syarikat di depan mata pun sukar dikawal, apatah lagi syarikat yang belum ada trek rekod untung dan rugi.''Sebab itu, pihak terbabit perlu bekerja lebih keras, bukan sahaja untuk menarik penyertaan syarikat luar tetapi lebih penting memilih syarikat berkualiti untuk disenaraikan,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Rusli mengakui tugas itu bukan mudah kerana syarikat-syarikat asing berkualiti tinggi lebih memilih Hong Kong dan Singapura berbanding Malaysia.

Mengambil contoh penyenaraian Maxis, Rusli berkata, sambutan dan maklum balas daripada pelabur memang hebat kerana syarikat telekomunikasi itu berkualiti dan penyenaraiannya memang dinanti-nanti oleh para pelabur.

Sambutan terhadap Maxis itu membuktikan para pelabur begitu 'dahagakan' syarikat berkualiti tinggi untuk mampu membantu pelabur menjana keuntungan, ujar beliau.
''Sambutan yang diterima Maxis menunjukkan para pelabur tidak ragu-ragu untuk membayar harga saham asalkan syarikat berkualiti,'' jelasnya.

Pengarah Eksekutif Jupiter Securities Sdn. Bhd., Nazzary Rosli berkata, prestasi yang dicatatkan oleh syarikat China itu tidak menggambarkan keadaan keseluruhan pasaran tempatan.

Menurut beliau, ini menunjukkan betapa perlunya penilaian pemilihan syarikat bermutu tinggi dibuat supaya dapat membantu menyemarakkan pasaran tempatan setanding Singapura.
''Ini kerana secara asasnya, syarikat yang terbaik akan mencari lokasi penyenaraian terbaik, ia adalah situasi menang-menang,'' katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak masalah yang dihadapi oleh bursa tempatan adalah kecairan yang kurang di kalangan pelabur tempatan dan bilangan penyertaan pelabur asing juga terhad.

Jelasnya, Malaysia masih belum mencapai tahap Taiwan dan China, yang mana para pelabur runcit kedua-dua negara itu terlalu aktif.
''Untuk masa depan, semua pihak perlu tingkatkan keupayaan agar mampu menarik penyenaraian entiti asing,'' tambahnya.


Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
ainul.ahsan@utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan