Isnin, 18 Oktober 2010

Inisiatif pasaran modal tingkat kecairan

Pengumuman mengenai inisiatif pasaran modal dalam Bajet 2011 merupakan langkah terbaik dalam meningkatkan kecairan, keceriaan dan halaju pasaran, kata Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Yusli Mohamed Yusoff .



Katanya, langkah syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC) mengurangkan pegangan dalam syarikat senaraian awam dan penubuhan dana pencen swasta menyaksikan pelbagai langkah diambil untuk pasaran modal.



''Ia adalah langkah positif yang akan mempromosi pasaran dan meningkatkan bilangan pelabur harian.



''Pelabur harian ini dapat mengimbangi pelabur jangka panjang dan dalam masa yang sama meningkatkan kecairan dalam pasaran,'' katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.



Tambah Yusli, kelulusan tiga lesen baru kepada broker saham tempatan dan asing diharap dapat menambah pelabur runcit dalam pasaran tempatan.



Mengenai penubuhan Papan Antarabangsa (International Board) di bawah Bursa Malaysia, beliau berkata, pihaknya menyambut baik langkah itu dalam usaha memperdagangkan pasaran ke luar negara dan menyediakan kepelbagaian produk kepada pelabur.



''Ia menggalakkan penyertaan pelabur runcit, menjadikan sukuk dan konvensional bon sebagai kepelbagaian produk serta pilihan pelaburan.



''Kami juga berpuas hati dengan langkah melonggarkan syarat dana dagangan bursa (ETF) dan Bursa Malaysia berharap terdapat lebih banyak terbitan dalam senarai ETF,'' jelasnya.



Sementara itu, peningkatan pegangan saham awam dalam Petronas Chemicals Sdn. Bhd. dan Malaysian Marine & Heavy Engineering bakal menyaksikan penyertaan besar dari pasaran runcit dan membolehkan rakyat menikmati pertumbuhan syarikat petroleum kebangsaan itu.



Yusli berkata, langkah kerajaan memberi pengurangan cukai bagi terbitan sekuriti Islam berasaskan kontrak Murabahah dan Tawarruq menggunakan dagangan komoditi yang didagangkan di platform Bursa Suq Al-Sila' adalah langkah positif.



''Platform dagangan komoditi ini telah menerima sambutan dari pengguna, bank Islam tempatan dan langkah itu dapat membantu kami meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan kewangan Islam,'' katanya.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan