Jumaat, 16 Julai 2010

REDtone lancar khidmat WiMAX di Miri

Penyedia perkhidmatan jalur lebar, REDtone, dengan rasminya melancarkan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayarnya WIMAX di Miri hari ini, sekali gus menandakan perluasan liputan perkhidmatan jalur lebarnya di Sarawak.



Ketua Pegawai Eksekutif REDtone Telecommunications Sdn. Bhd., Lau Bik Soon berkata, perluasan ini seiring dengan strategi syarikat untuk menembusi kawasan-kawasan yang sudah sedia ada permintaan untuk perkhidmatan mereka.



"Kami memfokuskan di kawasan-kawasan di mana terdapatnya wilayah perniagaan, pusat komersil, taman perindustrian dan premis beli-belah memandangkan pejabat ialah pasaran sasaran utama kami," kata beliau pada taklimat media di sini.



Di bawah pengembangan mereka di Miri, beliau berkata REDtone yang menguasai lesen 2.3GHz WiMAX untuk Sarawak dan Sabah, akan memberi tumpuan kepada lima kawasan berpopulasi di sini seperti sekitar Jalan Tanjong, Yi Hai Hai, Piasau, Lutong dan Senadin.



Beliau berkata, dalam menyampaikan perkhidmatan jalur lebar mereka, REDtone tidak akan bergantung sepenuhnya kepada WiMAX tetapi turut memanfaatkan teknologi-teknologi lain termasuk satelit, Metro E dan gelombang mikro.



"Kami akan menggunakan teknologi hibrid jika permintaan memerlukan kami berbuat demikian," kata beliau.



Selain daripada Miri, perkhidmatan jalur lebar WIMAX syarikat di negeri itu juga boleh didapati di sebahagian besar Kuching sementara di Sabah, perkhidmatan serupa boleh dinikmati di Kota Kinabalu. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan