Sabtu, 19 Jun 2010

Pasaran getah ASEAN perlu

Tiga negara pengeluar getah utama yang juga anggota ASEAN, Malaysia, Indonesia dan Thailand perlu mempertimbangkan kerjasama bagi mewujudkan Pasaran Getah ASEAN bagi mengurus dan menstabilkan harga komoditi tersebut di pasaran.

Dengan adanya kerjasama itu, harga getah mampu diimbangi dan distabilkan pada harga RM9 sekilogram, kata Timbalan Menteri Perladangan Industri dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainudin hari ini.

Beliau berkata, kerjasama itu juga mampu memantau permintaan dan bekalan agar tiada sebarang spekulasi yang berlaku boleh mengakibatkan harga komoditi itu jatuh atau terlalu tinggi.

"Secara amnya kerjasama itu sama seperti Ahli-ahli Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang memantau dan mengawal pengeluaran minyak dan kita berpendapat Malaysia, Thailand dan Indonesia juga perlu bekerjasama bagi menjamin harga dan mengawal kestabilan getah di pasaran," katanya selepas merasmikan Persidangan Getah Asia di sini hari ini.

Pada tahun lalu, eksport getah dan barangan berkaitan getah Malaysia bernilai RM25 bilion mewakili 4.25 peratus daripada eksport negara.


Hamzah berkata, ketika ini, ketiga-tiga negara tersebut hanya mengadakan perjumpaan tidak formal bagi membincangkan isu-isu berkaitan getah.


Mengulas tentang harga getah, beliau berkata, terdapat kemungkinan dalam tempoh enam bulan akan datang harga getah akan berada di paras RM8 hingga RM9 sekilogram.


"Spekulasi harga getah memang tidak boleh dikawal kerana mereka cuba untuk mengeksploitasi sentimen pasaran dalam tempoh pendek semata-mata untuk meraih keuntungan," katanya.


Berikutan spekulasi itu seramai tiga juta penanam getah terpaksa menanggung risiko berikutan harga tidak stabil sekali gus memberi kesan kepada sumber pendapatan mereka.


Beliau berkata, pengenalan struktur harga perlu dibuat bagi mengelakkan berlakunya penurunan harga mendadak demi menjaga kepentingan penanam-penanam getah di rantau ini.


Namun begitu tambah beliau, jika harga getah terlalu tinggi ia turut merugikan para penanam getah kerana pengguna akan beralih kepada penggunaan getah sintetik yang tentunya lebih murah.

Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan