Khamis, 4 Mac 2010

Sejarah Bursa Saham

Apakah sebenarnya yang dijual dan dibeli oleh beribu-ribu pelabur setiap hari? Dari manakah asal-usul saham?

Sebenarnya pasaran saham dan syarikat saham bersama (joint stock companies) bukanlah satu perkara baru.

Berdasarkan Buku Rekod Dunia Guinness, bursa saham yang tertua di dunia adalah Bursa Saham Amsterdam, Belanda yang menjalankan urusniaga saham bercetak United East India Company of Netherlands pada 1602.

Manakala syarikat yang tertua di dunia pula ialah Faversham Oyster Company yang ditubuhkan sebelum 1198.

Bursa Saham New York pula dikatakan telah mula beroperasi seawal tahun 1725 di kaki lima Wall Street.

Pada kurun ke-17, dipercayai wujud minat yang mendalam di kalangan orang Eropah untuk belayar dan meneroka dunia baru. Setiap penerokaan berkenaan memerlukan banyak peruntukan sebagai modal bagi pembiayaan kelengkapan dan persediaan pelayaran.

Dari sinilah dikatakan bermulanya idea penubuhan syarikat saham bersama, di mana kos pembiayaan atau peruntukan sesuatu pelayaran itu ditawarkan kepada orang ramai. Dengan demikian, jika berlaku sesuatu kemalangan atau kegagalan, kerugiannya dapat diminimumkan kerana ditanggung oleh ramai individu.

Saham boleh didefinasikan sebagai sumbangan modal secara bersama oleh pemilik syarikat yang bersetuju untuk menanggung risiko sama ada kerugian dan keuntungan secara bersama berdasarkan peratusan sumbangan modal masing-masing.

Pemilikan saham juga bermaksud pelabur itu telah bersetuju memberi mandat kepada pihak pengurusan syarikat untuk mengendalikan perniagaan syarikatnya.

Oleh itu, pemegang saham mempunyai hak untuk menerima pulangan dari keuntungan mahupun kerugian syarikat terbabit.

Saham juga bermakna sejenis terbitan yang dikeluarkan oleh syarikat sebagai alat pemilikan dan pemegang saham adalah pemilik syarikat. Bagi memulakan operasi perniagaan, sesebuah syarikat semestinya memerlukan beberapa jenis aset perlu seperti tanah, bangunan dan jentera. Modal diperlukan untuk mendapatkan aset berkenaan.

Modal pula boleh dijanakan melalui pemilikan saham yang juga dikenali sebagal modal ekuiti (equity capital) dari pinjaman (debt equity) dan dari keuntungan syarikat yang tidak dibahagikan kepada pemegang saham atau perolehan tertahan (retained earnings).

Beliau juga berhak ke atas perolehan dividen dan terbitan hak (right issues) iaitu suatu terbitan saham baru sesebuah syarikat yang ditawarkan hanya kepada pemilik sahamnya saja.

Begitu juga didalam situasi pembubaran syarikat sama ada secara paksaan atau sukarela, pemegang saham berhak keatas sebahagian aset setelah semua hutang syarikat dilunaskan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan