Selasa, 19 Januari 2010

Kelantan catat pendapatan per kapita paling rendah, kata Perdana Menteri

ARKIB : 23/10/2007

KUALA LUMPUR 23 Okt — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Kelantan mencatatkan pendapatan per kapita paling rendah iaitu hanya RM7,500 berbanding negeri-negeri lain bagi tahun 2005.

Perdana Menteri berkata, negeri yang mencatat pendapatan per kapita paling tinggi ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu RM36,597, diikuti Pulau Pinang (RM27,391), Terengganu (RM27,140) dan Selangor (RM23,333).

Negeri-negeri lain iaitu Melaka mencatat RM19,436, Johor (RM18,175), Negeri Sembilan (RM17,182), Sarawak (RM17,004), Perak (RM15,458), Pahang (RM12,384), Perlis (RM12,302), Sabah (RM11,414) dan Kedah (RM11,161).

Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata, demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) di Dewan Rakyat hari ini.

Kulasegaran ingin tahu pendapatan per kapita mengikut negeri dan sama ada kerajaan berpuas hati dengan pendapatan per kapita negara ketika ini.

“Kerajaan sememangnya berpuas hati dengan pencapaian pendapatan per kapita rakyat Malaysia yang diukur berasaskan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita.

“Ini memandangkan sejak merdeka sehingga kini, pendapatan per kapita penduduk Malaysia meningkat berkali ganda dan ini menyumbangkan kepada peningkatan kualiti hidup serta kesejahteraan penduduk secara berterusan,” kata Abdullah.

Perdana Menteri berkata, sebagai contoh, pada tahun 1975 pendapatan per kapita penduduk Malaysia hanya RM815 setahun dan ia meningkat kepada RM1,172 pada tahun 1970, dan RM19,739 pada tahun 2006.

“Berikutan itu, kadar kemiskinan juga berkurangan daripada hampir 50 peratus pada tahun 1970 kepada hanya 5.7 peratus pada tahun 2004, dan ia dijangka dapat dikurangkan kepada 2.8 peratus menjelang tahun 2010,” katanya.-Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan