Isnin, 2 November 2009

SAHAM PATUH SHARIAH

Dalam mengklasifikasikan sekuriti ini, Majlis Pengawasan Syariah (MPS) menerima input dan sokongan daripada SC. Pihak SC mengumpulkan maklumat syarikat melalui pelbagai sumber seperti laporan kewangan tahunan syarikat, maklum balas kepada borang kaji selidik yang dikeluarkan untuk mendapatkan maklumat terperinci dan juga melalui pertanyaan yang dibuat kepada pihak pengurusan syarikat berkenaan. SC melalui MPS akan sentiasa mengawasi aktiviti semua syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia untuk menentukan statusnya daripada perspektif Syariah.


MPS telah menggunakan beberapa kriteria tertentu iaitu kajian ditumpukan kepada aktiviti sesebuah syarikat yang sekuritinya tersenarai di Bursa Malaysia. Oleh yang demikian, tertakluk kepada beberapa syarat yang telah ditetapkan, syarikat yang menjalankan aktiviti selaras dengan prinsip Syariah akan diklasifikasikan sebagai sekuriti patuh Syariah.


Sebaliknya, sesebuah syarikat diklasifikasikan sebagai sekuriti yang tidak patuh Syariah sekiranya syarikat menjalankan aktiviti teras yang tidak selaras dengan Syariah seperti yang berikut:

(a) Perkhidmatan kewangan yang berteraskan riba (faedah);
(b) Perjudian dan pertaruhan;
(c) Pengeluaran atau penjualan barangan yang tidak halal atau barangan yangberkaitan;
(d) Insurans konvensional;
(e) Aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan Syariah;
(f) Pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau barangan yang berkaitan;(g) Pembrokeran atau jual beli sekuriti tidak patuh Syariah; dan
(h) Aktiviti lain yang didapati tidak selaras dengan Syariah.


MPS juga mengambil kira tahap sumbangan daripada pendapatan faedah yang diperoleh syarikat hasil daripada simpanan tetap konvensional atau instrumen kewangan konvensional yang lain. Selain itu, dividen yang diterima daripada pelaburan dalam sekuriti tidak patuh Syariah juga diambil kira dalam kajian yang dijalankan oleh MPS.


Bagi syarikat yang menjalankan aktiviti bercampur di antara aktiviti yang selaras dan tidak selaras dengan Syariah, MPS mempertimbangkan dua kriteria tambahan iaitu :

(a) pandangan masyarakat umum tentang imej syarikat berkenaan mestilah baik; dan
(b) aktiviti teras syarikat mempunyai kepentingan dan maslahah (kebaikan secara umum) kepada umat Islam dan negara manakala unsur yang tidak selaras dengan Syariah adalah amat kecil dan melibatkan perkara ‘umum balwa (perkara terlarang yang sukar dielakkan), ‘uruf (amalan kebiasaan) dan hak-hakmasyarakat bukan Islam yang diperakui oleh Islam.


Untuk penentuan percampuran sumbangan yang dibolehkan daripada aktiviti yang selaras dan tidak selaras dengan Syariah kepada perolehan dan keuntungan sebelum cukai sesebuah syarikat, MPS telah menetapkan beberapa tanda aras tertentu mengikut ijtihad (proses mengeluarkan pendapat daripada sumber Syariah oleh ulama’ yang layak). Sekiranya sumbangan daripada aktiviti yang tidak selaras melebihi tanda aras yang telah ditetapkan, maka sekuriti syarikat tersebut akan diklasifikasikan sebagai sekuriti tidak patuh Syariah.


Tanda aras tersebut adalah seperti yang berikut:

(a) Tanda aras lima peratus
Tanda aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti yang jelas keharamannya (tidak selaras dengan Syariah) seperti riba (syarikat berasaskan faedah seperti bank konvensional), judi, minuman keras dan daging babi.


(b) Tanda aras 10 peratus
Tanda aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti yang melibatkan unsur “umum balwa” iaitu perkara terlarang yang melibatkan kebanyakan orang dan sukar untuk dielakkan. Contoh sumbangan tersebut adalah pendapatan faedah daripada simpanan tetap dalam bank konvensional. Tanda aras ini juga digunakan bagi aktiviti yang melibatkan tembakau.


(c) Tanda aras 20 peratus
Tanda aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan terimaan sewaan daripada aktiviti tidak patuh Syariah seperti terimaan sewaan premis yang menjalankan aktiviti perjudian, jualan arak dan sebagainya.


(d) Tanda aras 25 peratus
Tanda aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti yang secara umumnya selaras dengan Syariah dan mempunyai maslahah kepada masyarakat awam, namun terdapat unsur lain yang boleh menjejaskan status Syariah aktiviti berkenaan. Antara aktiviti yang mempunyai tanda aras ini ialah aktiviti pengoperasian hotel dan pusat peranginan, perniagaan saham, pembrokeran dan sebagainya kerana aktiviti tersebut berkemungkinan melibatkan aktiviti lain yang tidak selaras dengan Syariah. Sekuriti patuh

Syariah ini termasuk saham biasa, waran dan hak langganan boleh pindah (TSR). Ini bermakna waran dan TSR diklasifikasikan sebagai sekuriti patuh Syariah dengan syarat saham pendasar kedua-duanya merupakan sekuriti patuh Syariah. Walau bagaimanapun, stok pinjaman dan bon ialah sekuriti tidak patuh Syariah melainkan terbitannya berpandukan prinsip Syariah.


Sebagai panduan kepada pelabur, MPS ingin menasihatkan para pelabur mengenai masa yang sesuai untuk melupuskan sekuriti tidak patuh Syariah.


(I) “Sekuriti patuh Syariah” yang kemudiannya bertukar status kepada “tidak patuh Syariah”
Ini merujuk kepada sekuriti yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai sekuriti patuh Syariah tetapi oleh kerana beberapa alasan, seperti pertukaran dalam operasi syarikat, kemudiannya diklasifikasikan sebagai tidak patuh Syariah. Oleh yang demikian, sekiranya pada tarikh senarai terkini ini berkuat kuasa (30 Mei 2008), nilai sekuriti yang dipegang melebihi kos pembelian asal; pelabur yang memegang sekuriti tidak patuh Syariah itu mesti melupuskannya.


Sebarang keuntungan modal yang diperoleh daripada pelupusan sekuriti tidak patuh Syariah pada masa pengumuman dibuat boleh diambil oleh pelabur. Walau bagaimanapun, sebarang lebihan keuntungan modal yang diperoleh daripada penjualan selepas hari pengumuman pada harga pasaran yang lebih tinggi daripada harga penutup pada hari pengumuman, hendaklah disalurkan kepada badan kebajikan. Sebaliknya, pelabur dibenarkan untuk memegang pelaburan mereka dalam sekuriti tidak patuh Syariah sekiranya harga pasaran sekuriti tersebut adalah bawah kos pembelian asal. Dalam tempoh pegangan itu, pelabur juga dibenarkan untuk menerima dividen sehingga jumlah keseluruhan dividen yang diterima dan nilai pasaran sekuriti tidak patuh Syariah tersebut menyamai kos pembelian asal.

Pada ketika itu, pelabur dinasihatkan untuk melupuskan sekuriti tersebut. Di samping itu, dalam tempoh pegangan itu, pelabur juga dibenarkan untuk melanggan: (a) sebarang terbitan sekuriti baru oleh syarikat tidak patuh Syariah yang dipegang oleh pelabur, contohnya terbitan hak, terbitan bonus, terbitan khas dan waran [tidak termasuk sekuriti tidak patuh Syariah seperti stok pinjaman tak bercagar boleh tukar tak boleh tebus (ICULS)]; dan(b) sekuriti syarikat lain yang ditawarkan oleh syarikat yang mana sekuriti tidak patuh Syariah dipegang oleh pelabur, dengan syarat mereka menyegerakan proses pelupusan sekuriti tidak patuh Syariah. Bagi sekuriti syarikat lain [seperti yang dinyatakan dalam (b) di atas], sekuriti tersebut mestilah sekuriti patuh Syariah.


(II) Sekuriti tidak patuh Syariah
MPS menasihatkan pelabur yang melabur berpandukan prinsip Syariah supaya melupuskan sekuriti tidak patuh Syariah yang dipegang sekarang, dalam tempohtidak melebihi satu bulan selepas mengetahui status sekuriti tersebut. Sebarang keuntungan dalam bentuk keuntungan modal atau dividen yang diperoleh ketika atau selepas pelupusan sekuriti berkenaan hendaklah disalurkan kepada badan kebajikan. Pelabur hanya berhak untuk memperoleh kembali kos pembelian asal sahaja.


Perhatian : Kos pembelian asal termasuk kos pembrokeran atau kos transaksi yang berkaitan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan