Khamis, 15 Julai 2010

MITI, UPE tangani isu bekalan gas

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama-sama dengan Unit Perancang Ekonomi (UPE) akan menyediakan kertas kerja bersama bagi menangani isu bekalan gas, kata Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed.



"Kami bekerjasama dengan UPE mengenai isu-isu gas. Kami sedar banyak industri bergantung kepada gas. Kami faham masalah itu, mereka mahukan kepastian dan ketelusan dari segi bekalan," katanya selepas sesi dialog dengan para peserta daripada industri kimia dan petrokimia di sini.



Mustapa berkata, MITI bekerjasama dengan EPU untuk menyediakan cadangan yang akan memaklumkan perkembangan terkini kepada Kabinet mengenai dua isu, iaitu situasi bekalan gas semasa di Malaysia dan untuk menyelesaikan masalah jangka pendek.



Menurut beliau, gas digunakan dengan banyak oleh industri-industri kerana ia disubsidikan dan harga adalah rendah di Malaysia.



"Selain isu bekalan, kebimbangan lain ialah jika kerajaan memutuskan untuk menaikkan harga gas, mereka (peserta industri) mahu harga diselaraskan meningkat secara perlahan-lahan," katanya.



Ditanya mengenai pelaburan baharu dalam industri petrokimia, Mustapa berkata: "Mereka (peserta industri) merancang masa depan, kami (kerajaan) merancang bekalan gas."



Sesi dialog itu dihadiri oleh wakil-wakil Kumpulan Pengeluar Oleokimia Malaysia (MOMG), Majlis Industri Kimia Malaysia, Persatuan Petrokimia Malaysia, Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia dan Persatuan Industri Baja Malaysia.



Dalam satu kertas kerja dialog, MOMG mengetengahkan kekurangan bekalan gas asli kepada industri oleokimia.



MOMG berkata, industri itu banyak menggunakan tenaga kerana ia menyumbang bagi hampir 29 peratus daripada jumlah kos pemprosesan. Justeru itu, kekurangan bekalan gas kepada industri akan memberi kesan negatif bagi pengembangan kilang dan pelaburan masa depan ke Malaysia.



Antara cadangan lain oleh peserta industri ialah melanjutkan tempoh maksimum permit kerja bagi pekerja asing daripada lima tahun kepada tujuh tahun dan melanjutkan kadar bukan kemuncak bagi merangkumi waktu siang hari Sabtu dan Ahad bagi semua kategori pengguna Tenaga Nasional Bhd., kedua-duanya dalam Tarif D dan Tarif E.



Peserta industri kimia tidak menyokong perpindahan industri perkapalan kontena dari Pelabuhan Johor ke Pelabuhan Tanjung Pelepas kerana kilang pembuatan telah dilabur dan dibina di kawasan Pelabuhan Pasir Gudang.



Mereka mendakwa perpindahan perkhidmatan perkapalan kontena ke Pelabuhan Tanjung Pelepas akan menyebabkan kos tambahan bagi industri tersebut.



Justeru itu, mereka mencadangkan peserta industri harus diberikan pilihan bagi perkhidmatan pelabuhan yang mereka pilih untuk digunakan, sama ada Pelabuhan Johor atau Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Sumber : Bernama
14 Julai 2010

Malaysia import 85% peralatan perubatan

Penggunaan peralatan perubatan di Malaysia dijangka meningkat kepada AS$877 juta (RM2.79 bilion) pada tahun ini dan melonjak kepada AS$956 juta (RM3.04 bilion) pada 2011 dan AS$1.7 bilion (RM5.4 bilion) pada 2012.



Persatuan Industri Perubatan Malaysia berkata, buat masa ini, Malaysia mengimport 85 peratus peralatan perubatannya dan permintaan bagi peralatan dan produk farmaseutikal diramalkan mencatatkan pertumbuhan pada kadar 15 peratus setahun.



Beliau berkata, sokongan kerajaan di bawah Rancangan Pembangunan Ekonomi lima tahun dan permintaan terhadap penjagaan kesihatan swasta yang meningkat dengan ketara juga antara pemacu pertumbuhan.



Pada 1980, Malaysia mempunyai 1,171 katil di hospital swasta dan angka itu meningkat kepada 11,689 katil di 209 hospital swasta pada 2008.



Kerajaan juga telah meluluskan lesen bagi 45 hospital swasta baru, menambahkan lagi bilangan katil swasta kepada 15,178 manakala sektor awam pula menyediakan sejumlah 39,000 katil.



Dalam pada itu, terdapat 9,000 doktor di sektor swasta berbanding 13,500 di sektor awam.



Malaysia merupakan pembekal utama sarung tangan perubatan dan kateter di dunia, dengan 80 peratus kateter dan 60 peratus sarung tangan getah dibekalkan oleh 179 syarikat pengilangan di Malaysia.



''Lokasi strategik dan undang-undang pelaburan yang mesra pelabur menjadikan Malaysia sasaran baru bagi industri perubatan yang berhasrat membina pangkalan pengilangan untuk memenuhi permintaan yang meningkat di negara ini,'' kata persatuan itu dalam kenyataan di sini hari ini.



Berlatarkan senario yang menggalakkan itu, satu pameran dan persidangan Bekalan, Peralatan dan Teknologi Perubatan Antarabangsa Asia (Asia Medical 2011) akan diadakan pada 11 hingga 13 Oktober 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, dengan sokongan penuh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).



Sempena Asia Medical 2011, peserta pameran dari serata dunia akan memperagakan rangkaian produk dan teknologi yang menyeluruh termasuk peralatan pergigian, perkakas diagnostik dan peranti elektro perubatan.



Date : 14/7/2010

Bursa teguh di akhir dagangan

KUALA LUMPUR 14 Julai - Bursa Malaysia mengakhiri dagangan pada paras lebih teguh keseluruhannya hari ini, didorong oleh minat belian kerana pelabur-pelabur menjangkakan beberapa keputusan korporat yang baik mulai hari ini, kata peniaga.



Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBMKLCI) naik 8.21 mata kepada 1,341.08, dengan dibantu oleh peningkatan, kebanyakannya di tiga kaunter berwajaran tinggi utama iaitu Sime Darby, Tenaga dan Maybank.



FBMKLCI dibuka 3.78 mata lebih tinggi pada 1,336.65 berbanding paras penutupan 1,332.87 semalam.



Indeks Perusahaan mengukuh 17.53 mata kepada 2,663.27, Indeks Perladangan meningkat 21.32 mata kepada 6,320.25 dan Indeks Kewangan melonjak 80.04 mata kepada 12,091.59.



Indeks FBM Emas naik 61.55 mata kepada 9,053.06, Indeks FBM70 menambah 61.47 mata kepada 9,053.85 dan Indeks FBM Ace menokok 16.8 mata kepada 3,785.44.



Saham untung mengatasi saham rugi dengan jumlah 506 berbanding 194 manakala 269 kaunter tidak berubah, 395 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung urus niaga.



Jumlah dagangan melonjak kepada 801.666 juta saham bernilai RM1.538 bilion daripada 574.317 juta saham bernilai RM1.085 bilion sebelumnya.



Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank naik tujuh sen kepada RM7.71 dan Sime Darby mengukuh 13 sen kepada RM7.87.CIMB Group kekal pada RM7.13. Tenaga, yang mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.286 bilion bagi suku ketiga berakhir 31 Mei, 2010 daripada RM1.240 bilion dalam suku yang sama tahun lepas, naik 13 sen kepada RM8.61.



Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 734.274 juta saham bernilai RM1.525 bilion daripada 526.876 juta saham bernilai RM1.075 bilion semalam.



Pasaran ACE perolehan dagangan bertambah kepada 38.222 juta unit bernilai RM5.312 juta daripada 24.982 juta unit bernilai RM3.251 juta semalam.Jumlah waran meningkat kepada 24.446 juta saham bernilai RM4.041 juta daripada 17.255 juta saham bernilai RM2.806 juta sebelumnya.



Barangan pengguna menyumbang 80.008 juta saham yang diniagakan dalam Pasaran Utama, barangan perusahaan 136.093 juta, pembinaan 82.817 juta, perdagangan dan perkhidmatan 232.093 juta, teknologi 26.984 juta, prasarana 30.67 juta, kewangan 68.789 juta, hotel 586,700, harta 45.116 juta, perladangan 10.868 juta, perlombongan 2,000, REIT 20.222 juta dan dana tertutup 25,000. - Bernama



Sabtu, 19 Jun 2010

Pasaran getah ASEAN perlu

Tiga negara pengeluar getah utama yang juga anggota ASEAN, Malaysia, Indonesia dan Thailand perlu mempertimbangkan kerjasama bagi mewujudkan Pasaran Getah ASEAN bagi mengurus dan menstabilkan harga komoditi tersebut di pasaran.

Dengan adanya kerjasama itu, harga getah mampu diimbangi dan distabilkan pada harga RM9 sekilogram, kata Timbalan Menteri Perladangan Industri dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainudin hari ini.

Beliau berkata, kerjasama itu juga mampu memantau permintaan dan bekalan agar tiada sebarang spekulasi yang berlaku boleh mengakibatkan harga komoditi itu jatuh atau terlalu tinggi.

"Secara amnya kerjasama itu sama seperti Ahli-ahli Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang memantau dan mengawal pengeluaran minyak dan kita berpendapat Malaysia, Thailand dan Indonesia juga perlu bekerjasama bagi menjamin harga dan mengawal kestabilan getah di pasaran," katanya selepas merasmikan Persidangan Getah Asia di sini hari ini.

Pada tahun lalu, eksport getah dan barangan berkaitan getah Malaysia bernilai RM25 bilion mewakili 4.25 peratus daripada eksport negara.


Hamzah berkata, ketika ini, ketiga-tiga negara tersebut hanya mengadakan perjumpaan tidak formal bagi membincangkan isu-isu berkaitan getah.


Mengulas tentang harga getah, beliau berkata, terdapat kemungkinan dalam tempoh enam bulan akan datang harga getah akan berada di paras RM8 hingga RM9 sekilogram.


"Spekulasi harga getah memang tidak boleh dikawal kerana mereka cuba untuk mengeksploitasi sentimen pasaran dalam tempoh pendek semata-mata untuk meraih keuntungan," katanya.


Berikutan spekulasi itu seramai tiga juta penanam getah terpaksa menanggung risiko berikutan harga tidak stabil sekali gus memberi kesan kepada sumber pendapatan mereka.


Beliau berkata, pengenalan struktur harga perlu dibuat bagi mengelakkan berlakunya penurunan harga mendadak demi menjaga kepentingan penanam-penanam getah di rantau ini.


Namun begitu tambah beliau, jika harga getah terlalu tinggi ia turut merugikan para penanam getah kerana pengguna akan beralih kepada penggunaan getah sintetik yang tentunya lebih murah.

Sumber: Utusan Malaysia

BNM: Tidak tolak tanpa sebab

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menafikan dakwaan bahawa pihaknya menolak tanpa sebab cadangan Affin Holdings Bhd. (Affin Holdings) untuk menguasai keseluruhan kepentingan EON Capital Bhd. (EONCap).


BNM dalam kenyataannya di sini berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada Affin Holdings tentang dua isu yang perlu dipenuhi untuk membolehkan permohonannya dipertimbangkan.


Bank Pusat berkata, Affin Holdings bagaimanapun tidak mengambil tindakan lanjut berkaitan isu tersebut sedangkan makluman berkenaan penting untuk memastikan tidak berlakunya pelanggaran peraturan sedia ada dan entiti yang digabungkan kekal mapan.


Difahamkan Affin Holdings bertindak demikian kerana tidak lagi berminat untuk membuat tawaran baharu bagi memiliki EONCap.

BNM berkata demikian sebagai mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa pihaknya menolak tanpa sebab cadangan Affin Holdings untuk mengambil alih EONCap.


Bank Pusat itu menjelaskan, sememangnya sudah menjadi prosedurnya untuk memaklumkan kepada mana-mana pihak yang berminat untuk memulakan proses penggabungan dan pengambil alihan terhadap beberapa isu yang perlu dilihat dan syarat yang perlu dipenuhi sebelum sebarang kelulusan diberikan.


''Maklumat lanjut perlu disediakan oleh pihak yang mengemukakan cadangan dalam beberapa perkara sekiranya mereka ingin meneruskan aktiviti pengambil alihan itu.


''Antara isu yang mungkin akan dibangkitkan adalah cadangan pemilikan itu haruslah tidak melanggar undang-undang dan peraturan sedia ada. Mereka juga perlu menunjukkan kekuatan dan kemapanan (sustainability) entiti baru itu,'' kata BNM.


Bank Pusat itu berkata, pihak yang mengemukakan cadangan juga perlu mempunyai kemampuan untuk menyediakan pembiayaan penggabungan yang tidak akan menyebabkan berlakunya lebihan leveraj.


''Kumpulan itu juga perlu mempunyai kemampuan untuk menyuntik dana ke dalam gabungan entiti bagi memenuhi kehendak perakaunan, modal dan keperluan perundangan serta kemampuan untuk mengharungi kemelesetan ekonomi.


''Mereka juga perlu mempunyai kemampuan untuk membiayai kos integrasi selepas gabungan. Selain mempunyai pelan integrasi untuk menangani isu gabungan seperti cara bekerja, sistem teknologi maklumat (IT) dan proses kerja gabungan,'' jelasnya.


BNM berkata, kehadiran lembaga pengarah dan pengurusan yang kukuh juga adalah perlu untuk melaksanakan pelan integrasi itu.


Affin Holdings sebelum ini dilaporkan berminat untuk menguasai kepentingan selepas Hong Leong Bank Bhd. (HLBB) dengan menawarkan membeli keseluruhan aset dan tanggungan EON Capital dengan harga RM4.9 bilion tunai atau RM7.10 bagi setiap saham EON Cap.


EONCap adalah syarikat pegangan EON Bank yang mempunyai rangkaian 140 cawangan manakala HLBB merupakan pemberi pinjaman keenam terbesar di negara ini dengan 199 cawangan dan pusat jualan.


Sumber : Utusan Malaysia

Ahad, 4 April 2010

Siapa Wong Fei Hong

Sudah banyak orang yang tahu bahwa tokoh bahari legenda China, Sam Poo Kong alias Muhammad Cheng Ho adalah seorang Muslim. Namun nampaknya masih banyak yang belum tahu bahwa masih banyak tokoh China legendaris yang ternyata beragama Islam. Dua di antaranya ialah Wong Fei Hung dan Judge Bao.



Selama ini kita hanya mengenal Wong Fei Hung sebagai jagohan Kung fu dalam film Once Upon A Time in China. Dalam film itu, karakter Wong Fei Hung diperanankan oleh aktor terkenal Hong Kong, Jet Li. Namun siapakah sebenarnya Wong Fei Hung?



Wong Fei Hung adalah seorang Ulama Islam, Ahli Pengobatan, dan Ahli Beladiri legenda yang namanya ditetapkan sebagai Pahlawan Nasional China oleh pemerintah China. Namun Pemerintah China sering berupaya mengaburkan jatidiri Wong Fei Hung sebagai seorang muslim demi menjaga supremasi kekuasaan Komunis di China.



Wong Fei-Hung dilahirkan pada tahun 1847 di Kwantung (Guandong) dari keluarga muslim yang taat. Nama Fei pada Wong Fei Hung merupakan dialek Canton untuk menyebut nama Arab, Fais. Sementara Nama Hung juga merupakan dialek Kanton untuk menyebut nama Arab, Hussein. Jadi, bila di-bahasa-arab-kan, namanya ialah Faisal Hussein Wong.



Ayahnya, Wong Kay-Ying adalah seorang Ulama, dan tabib ahli ilmu pengubatan tradisional, serta ahli beladiri tradisional Tiongkok (wushu/kungfu). Ayahnya memiliki sebuah klinik pengubatan bernama Po Chi Lam di Canton (ibukota Guandong). Wong Kay-Ying merupakan seorang ulama yang menguasai ilmu wushu tingkat tinggi. Ketinggian ilmu beladiri Wong Kay-Ying membuatnya dikenal sebagai salah satu dari Sepuluh harimau Kwantung. Posisi harimau Kwantung ini di kemudian hari diwariskannya kepada Wong Fei Hung.."



"Kombinasi antara pengetahuan ilmu pengubatan tradisional dan teknik beladiri serta ditunjangi oleh keluhuran budi pekerti sebagai Muslim membuat keluarga Wong sering turun tangan membantu orang-orang lemah dan tertindas pada masa itu. Karena itulah masyarakat Kwantung sangat menghormati dan mengidolakan Keluarga Wong.



Pesakit klinik keluarga Wong yang meminta bantuan pengubatan umumnya berasal dari kalangan warga miskin yang tidak mampu membayar biaya pengubatan. Walau begitu, Keluarga Wong tetap membantu setiap pesakit yang datang dengan bersungguh-sungguh. Keluarga Wong tidak pernah pandang bulu dalam membantu, tanpa memedulikan suku, ras, agama, semua dibantu tanpa prajudis.



Secara rahasia, keluarga Wong terlibat aktif dalam gerakan bawah tanah melawan pemerintahan Dinasti Ch’in yang korup dan penindas. Dinasti Ch’in ialah Dinasti yang merubuhkan kekuasaan Dinasti Yuan yang memerintah sebelumnya. Dinasti Yuan ini dikenal sebagai satu-satunya Dinasti Kaisar Cina yang anggota keluarganya banyak yang memeluk agama Islam.



Wong Fei-Hung mulai mengasah bakat beladirinya sejak berguru kepada Luk Ah-Choi yang juga pernah menjadi guru ayahnya. Luk Ah-Choi inilah yang kemudian mengajarinya dasar-dasar jurus Hung Gar yang membuat Fei Hung sukses melahirkan Jurus Tendangan Tanpa Bayangan (shadow kick) yang legendaris. Dasar-dasar jurus Hung Gar ditemukan, dikembangkan dan merupakan andalan dari Hung Hei-Kwun, saudara seperguruan Luk Ah-Choi. Hung Hei-Kwun adalah seorang pendekar Shaolin yang lolos dari peristiwa pembakaran dan pembantaian oleh pemerintahan Dinasti Ch’in pada 1734.



Hung Hei-Kwun ini adalah pemimpin pemberontakan bersejarah yang hampir mengalahkan dinasti penjajah Ch’in yang datang dari Manchuria (sekarang dikenali sebagai Korea). Jika saja pemerintah Ch’in tidak meminta bantuan pasukan-pasukan bersenjata bangsa asing (Rusia, Inggris, Jepun), pemberontakan pimpinan Hung Hei-Kwun itu niscaya akan berhasil mengusir pendudukan Dinasti Ch’in."



"Setelah berguru kepada Luk Ah-Choi, Wong Fei-Hung kemudian berguru pada ayahnya sendiri hingga pada awal usia 20-an tahun, ia telah menjadi ahli perubatan dan beladiri terkemuka. Bahkan ia berhasil mengembangkannya menjadi lebih maju. Kemampuan beladirinya semakin sulit ditandingi ketika ia berhasil membuat jurus baru yang sangat taktis namun efisien yang dinamakan Jurus Cakar harimau dan Jurus Sembilan Pukulan Khusus. Selain dengan tangan kosong, Wong Fei-Hung juga mahir menggunakan bermacam-macam senjata. Masyarakat Canton pernah menyaksikan langsung dengan mata kepala mereka sendiri bagaimana ia seorang diri dengan hanya memegang tongkat berjaya membelasah lebih dari 30 orang jagoan pelabuhan berbadan tegap dan kejam di Canton yang mengeroyoknya kerana dia membela rakyat miskin yang tertindas.



Dalam kehidupan keluarga, Allah banyak mengujinya dengan berbagai cubaan. Seorang anaknya terbunuh dalam suatu insiden perkelahian dengan mafia Canton. Wong Fei-Hung tiga kali menikah karena isteri-isterinya meninggal dalam usia yang pendek. Setelah isteri ketiganya meninggal, Wong Fei-Hung memutuskan untuk hidup sendirian sehingga kemudian ia bertemu dengan Mok Gwai Lan, seorang perempuan muda yang kebetulan juga ahli beladiri. Mok Gwai Lan ini kemudian menjadi pasangan hidupnya hingga akhir hayat. Mok Gwai Lan turut mengajar beladiri pada kelas khusus perempuan di perguruan suaminya.



Pada 1924 Wong Fei-Hung meninggal dalam usia 77 tahun. Masyarakat Cina, khususnya di Kwantung dan Canton mengenangnya sebagai pahlawan pembela kaum mustad’afin (tertindas) yang tidak pernah gentar membela kehormatan mereka. Siapapun dan berapapun jumlah orang yang menindas orang miskin, akan dilawannya dengan segenap kekuatan dan keberanian yang dimilikinya. Wong Fei-Hung wafat dengan meninggalkan nama harum yang membuatnya dikenal sebagai manusia yang hidup mulia, salah satu pilihan hidup yang diberikan Allah kepada seorang muslim selain mati Syahid. Semoga segala amal ibadahnya diterima di sisi Alah Swt dan semoga segala kebaikannya menjadi teladan bagi kita, generasi muslim yang hidup setelahnya. Amin."
 
***Tulisan asal sebenarnya ditulis daripada blog rakan di Indonesia