Isnin, 2 November 2009

SAHAM PATUH SHARIAH

Dalam mengklasifikasikan sekuriti ini, Majlis Pengawasan Syariah (MPS) menerima input dan sokongan daripada SC. Pihak SC mengumpulkan maklumat syarikat melalui pelbagai sumber seperti laporan kewangan tahunan syarikat, maklum balas kepada borang kaji selidik yang dikeluarkan untuk mendapatkan maklumat terperinci dan juga melalui pertanyaan yang dibuat kepada pihak pengurusan syarikat berkenaan. SC melalui MPS akan sentiasa mengawasi aktiviti semua syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia untuk menentukan statusnya daripada perspektif Syariah.


MPS telah menggunakan beberapa kriteria tertentu iaitu kajian ditumpukan kepada aktiviti sesebuah syarikat yang sekuritinya tersenarai di Bursa Malaysia. Oleh yang demikian, tertakluk kepada beberapa syarat yang telah ditetapkan, syarikat yang menjalankan aktiviti selaras dengan prinsip Syariah akan diklasifikasikan sebagai sekuriti patuh Syariah.


Sebaliknya, sesebuah syarikat diklasifikasikan sebagai sekuriti yang tidak patuh Syariah sekiranya syarikat menjalankan aktiviti teras yang tidak selaras dengan Syariah seperti yang berikut:

(a) Perkhidmatan kewangan yang berteraskan riba (faedah);
(b) Perjudian dan pertaruhan;
(c) Pengeluaran atau penjualan barangan yang tidak halal atau barangan yangberkaitan;
(d) Insurans konvensional;
(e) Aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan Syariah;
(f) Pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau barangan yang berkaitan;(g) Pembrokeran atau jual beli sekuriti tidak patuh Syariah; dan
(h) Aktiviti lain yang didapati tidak selaras dengan Syariah.


MPS juga mengambil kira tahap sumbangan daripada pendapatan faedah yang diperoleh syarikat hasil daripada simpanan tetap konvensional atau instrumen kewangan konvensional yang lain. Selain itu, dividen yang diterima daripada pelaburan dalam sekuriti tidak patuh Syariah juga diambil kira dalam kajian yang dijalankan oleh MPS.


Bagi syarikat yang menjalankan aktiviti bercampur di antara aktiviti yang selaras dan tidak selaras dengan Syariah, MPS mempertimbangkan dua kriteria tambahan iaitu :

(a) pandangan masyarakat umum tentang imej syarikat berkenaan mestilah baik; dan
(b) aktiviti teras syarikat mempunyai kepentingan dan maslahah (kebaikan secara umum) kepada umat Islam dan negara manakala unsur yang tidak selaras dengan Syariah adalah amat kecil dan melibatkan perkara ‘umum balwa (perkara terlarang yang sukar dielakkan), ‘uruf (amalan kebiasaan) dan hak-hakmasyarakat bukan Islam yang diperakui oleh Islam.


Untuk penentuan percampuran sumbangan yang dibolehkan daripada aktiviti yang selaras dan tidak selaras dengan Syariah kepada perolehan dan keuntungan sebelum cukai sesebuah syarikat, MPS telah menetapkan beberapa tanda aras tertentu mengikut ijtihad (proses mengeluarkan pendapat daripada sumber Syariah oleh ulama’ yang layak). Sekiranya sumbangan daripada aktiviti yang tidak selaras melebihi tanda aras yang telah ditetapkan, maka sekuriti syarikat tersebut akan diklasifikasikan sebagai sekuriti tidak patuh Syariah.


Tanda aras tersebut adalah seperti yang berikut:

(a) Tanda aras lima peratus
Tanda aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti yang jelas keharamannya (tidak selaras dengan Syariah) seperti riba (syarikat berasaskan faedah seperti bank konvensional), judi, minuman keras dan daging babi.


(b) Tanda aras 10 peratus
Tanda aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti yang melibatkan unsur “umum balwa” iaitu perkara terlarang yang melibatkan kebanyakan orang dan sukar untuk dielakkan. Contoh sumbangan tersebut adalah pendapatan faedah daripada simpanan tetap dalam bank konvensional. Tanda aras ini juga digunakan bagi aktiviti yang melibatkan tembakau.


(c) Tanda aras 20 peratus
Tanda aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan terimaan sewaan daripada aktiviti tidak patuh Syariah seperti terimaan sewaan premis yang menjalankan aktiviti perjudian, jualan arak dan sebagainya.


(d) Tanda aras 25 peratus
Tanda aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti yang secara umumnya selaras dengan Syariah dan mempunyai maslahah kepada masyarakat awam, namun terdapat unsur lain yang boleh menjejaskan status Syariah aktiviti berkenaan. Antara aktiviti yang mempunyai tanda aras ini ialah aktiviti pengoperasian hotel dan pusat peranginan, perniagaan saham, pembrokeran dan sebagainya kerana aktiviti tersebut berkemungkinan melibatkan aktiviti lain yang tidak selaras dengan Syariah. Sekuriti patuh

Syariah ini termasuk saham biasa, waran dan hak langganan boleh pindah (TSR). Ini bermakna waran dan TSR diklasifikasikan sebagai sekuriti patuh Syariah dengan syarat saham pendasar kedua-duanya merupakan sekuriti patuh Syariah. Walau bagaimanapun, stok pinjaman dan bon ialah sekuriti tidak patuh Syariah melainkan terbitannya berpandukan prinsip Syariah.


Sebagai panduan kepada pelabur, MPS ingin menasihatkan para pelabur mengenai masa yang sesuai untuk melupuskan sekuriti tidak patuh Syariah.


(I) “Sekuriti patuh Syariah” yang kemudiannya bertukar status kepada “tidak patuh Syariah”
Ini merujuk kepada sekuriti yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai sekuriti patuh Syariah tetapi oleh kerana beberapa alasan, seperti pertukaran dalam operasi syarikat, kemudiannya diklasifikasikan sebagai tidak patuh Syariah. Oleh yang demikian, sekiranya pada tarikh senarai terkini ini berkuat kuasa (30 Mei 2008), nilai sekuriti yang dipegang melebihi kos pembelian asal; pelabur yang memegang sekuriti tidak patuh Syariah itu mesti melupuskannya.


Sebarang keuntungan modal yang diperoleh daripada pelupusan sekuriti tidak patuh Syariah pada masa pengumuman dibuat boleh diambil oleh pelabur. Walau bagaimanapun, sebarang lebihan keuntungan modal yang diperoleh daripada penjualan selepas hari pengumuman pada harga pasaran yang lebih tinggi daripada harga penutup pada hari pengumuman, hendaklah disalurkan kepada badan kebajikan. Sebaliknya, pelabur dibenarkan untuk memegang pelaburan mereka dalam sekuriti tidak patuh Syariah sekiranya harga pasaran sekuriti tersebut adalah bawah kos pembelian asal. Dalam tempoh pegangan itu, pelabur juga dibenarkan untuk menerima dividen sehingga jumlah keseluruhan dividen yang diterima dan nilai pasaran sekuriti tidak patuh Syariah tersebut menyamai kos pembelian asal.

Pada ketika itu, pelabur dinasihatkan untuk melupuskan sekuriti tersebut. Di samping itu, dalam tempoh pegangan itu, pelabur juga dibenarkan untuk melanggan: (a) sebarang terbitan sekuriti baru oleh syarikat tidak patuh Syariah yang dipegang oleh pelabur, contohnya terbitan hak, terbitan bonus, terbitan khas dan waran [tidak termasuk sekuriti tidak patuh Syariah seperti stok pinjaman tak bercagar boleh tukar tak boleh tebus (ICULS)]; dan(b) sekuriti syarikat lain yang ditawarkan oleh syarikat yang mana sekuriti tidak patuh Syariah dipegang oleh pelabur, dengan syarat mereka menyegerakan proses pelupusan sekuriti tidak patuh Syariah. Bagi sekuriti syarikat lain [seperti yang dinyatakan dalam (b) di atas], sekuriti tersebut mestilah sekuriti patuh Syariah.


(II) Sekuriti tidak patuh Syariah
MPS menasihatkan pelabur yang melabur berpandukan prinsip Syariah supaya melupuskan sekuriti tidak patuh Syariah yang dipegang sekarang, dalam tempohtidak melebihi satu bulan selepas mengetahui status sekuriti tersebut. Sebarang keuntungan dalam bentuk keuntungan modal atau dividen yang diperoleh ketika atau selepas pelupusan sekuriti berkenaan hendaklah disalurkan kepada badan kebajikan. Pelabur hanya berhak untuk memperoleh kembali kos pembelian asal sahaja.


Perhatian : Kos pembelian asal termasuk kos pembrokeran atau kos transaksi yang berkaitan

BAGAIMANA SEKURITI saham di luluskan oleh syariah

Sekuriti lulus Syariah didagangkan setiap hari di pasaran saham Malaysia. Mungkin pelabur telah pun melabur dalam sekuriti ini tanpa menyedarinya. Pada asasnya, sekuriti patuh Syariah adalah sekuriti yang sama yang didagangkan di Malaysia Securities Exchange Bhd (MSEB) tetapi sekuriti ini mesti mematuhi satu set kriteria sebelum mereka boleh dikategorikan sebagai lulus Syariah.

Aktiviti yang dibenarkan berbanding aktiviti yang tidak dibenarkan Bawah prinsip Syariah, salah satu daripada aspek paling penting sebelum sesuatu keputusan pelaburan dibuat ialah keperluan menilai aktiviti perniagaan sesuatu syarikat untuk memastikan sama ada aktivitinya dibenarkan (halal) atau tidak dibenarkan (tidak halal). Jadi, bagaimana pelabur hendak menentukannya?

Untunglah bagi pelabur Malaysia, Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah mengambil langkah untuk menilai aktiviti perniagaan syarikat-syarikat awam tersenarai. Sekuriti bagi syarikat yang memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh MPS akan diklasifikasikan sebagai lulus Syariah.

Kriteria

Sekuriti bagi syarikat yang menjalankan mana-mana kegiatan yang berikut tidak layak untuk lulus Syariah:

a. Perkhidmatan kewangan yang berteraskan riba (faedah);

b. Perjudian;

c. Pengeluaran atau penjualan barangan yang tidak halal atau barangan yang berkaitan;

d. Insurans konvensional;

e. Aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan Syariah;

f. Pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau barangan yang berkaitan;

g. Pembrokeran atau jual beli sekuriti yang tidak diluluskan Syariah; dan

h. Aktiviti lain yang didapati tidak selaras dengan Syariah.

Selain itu, MPS turut mengambil kira faktor-faktor lain yang tidak berasaskan aktiviti, seperti -

kadar sumbangan pendapatan faedah yang diterima oleh syarikat daripada simpanan tetap konvensional atau lain-lain instrumen kewangan yang mempunyai faedah.
dividen yang diterima oleh syarikat daripada pelaburannya dalam sekuriti yang tidak lulus Syariah
Walau bagaimanapun, bagi syarikat yang aktiviti perniagaan terasnya meliputi kedua-dua elemen, yang dibenarkan dan tidak dibenarkan, MPS menetapkan kriteria tambahan dalam menilai sekuriti syarikat tersebut, iaitu:

Peratus elemen haram apabila dibandingkan dengan keseluruhan aktiviti teras;
Persepsi awam atau imej syarikat, sama ada baik atau sebaliknya; dan
Aktiviti teras syarikat, sama ada penting dan membawa manfaat secara umum (maslahah) kepada keseluruhan masyarakat (ummah).
Ukur rujuk 10 peratus

Ukur rujuk ini digunakan untuk menilai kadar sumbangan bercampur daripada aktiviti yang membabitkan elemen "umum balwa" yang merupakan elemen terlarang yang melibatkan kebanyakan orang dan sukar untuk dielakkan. Contoh sumbangan ini ialah pendapatan faedah daripada simpanan tetap (FD) syarikat tersenarai di bank konvensional. Ukur rujuk ini turut digunakan bagi aktiviti berkaitan tembakau.

Contoh:
Jentayu Bhd merupakan sebuah syarikat pembinaan yang menyimpan wangnya dalam simpanan tetap (FD) konvensional di bank perdagangan. Jika peratus pendapatan faedah daripada FD yang disumbangkan kepada hasil kumpulan, melebihi 10 peratus ukur rujuk, sekuriti Jentayu Bhd akan diklasifikasikan sebagai tidak lulus Syariah.

Ukur rujuk 25 peratus

Ukur rujuk ini digunakan untuk menilai kadar sumbangan bercampur daripada aktiviti yang pada amnya dibenarkan menurut Syariah tetapi turut mempunyai elemen aktiviti yang boleh menjejaskan status lulus Syariahnya. Antara aktiviti yang termasuk dalam ukur rujuk ini ialah pengurusan hotel dan rumah peranginan dan perdagangan saham serta pembrokeran saham dalam sekuriti yang tidak lulus Syariah. Aktiviti ini boleh melibatkan aktiviti yang tidak dibenarkan menurut Syariah.

Contoh:

Batu Bhd terlibat dalam perniagaan kuari dan pembinaan. Walau bagaimanapun, salah satu daripada anak syarikatnya terlibat dalam perniagaan perhotelan dan pusat peranginan. Sekuriti Batu Bhd akan diklasifikasikan sebagai tidak lulus Syariah sekiranya peratus hasil dan keuntungan sebelum cukai daripada hotel dan pusat peranginan itu menyumbangkan 25 peratus melebihi ukur rujuk, kepada hasil dan keuntungan sebelum cukai kumpulan tersebut

Kriteria kualitatif

Dalam menentukan status Syariah, MPS turut mengambil kira faktor kualitatif, umpamanya pandangan umum atau imej syarikat dan aktiviti terasnya, dan sama ada aktiviti itu penting dan dianggap maslahah (memberikan "manfaat" umum) kepada masyarakat dan negara Islam.

Pada masa ini, lebih daripada 80% syarikat awam tersenarai di Bursa Malaysia diklasifikasikan sebagai lulus Syariah. Oleh itu, pelabur yang melabur berdasarkan prinsip-prinsip Syariah mempunyai lebih banyak syarikat untuk dipilih bagi menambah portfolio pelaburan mereka

Stok pinjaman


Stok pinjaman yang disenaraikan di Malaysia Securities Exchange Bhd (MSEB) tidak dikira sebagai sekuriti lulus Syariah kerana stok tersebut adalah instrumen berfaedah dan tidak distrukturkan mengikut prinsip-prinsip Syariah. Pelabur mesti memahami perbezaan ini kerana, walau pun saham sesebuah syarikat mungkin dikelaskan sebagai lulus Syariah, stok pinjamannya pula tidak lulus Syariah.

Contoh:

XXX Bhd

Sekuriti
Lulus Syariah

XXX Bhd - Saham
Ya

XXX Bhd - Waran/hak
Ya

XXX Bhd - Stok pinjaman
Tidak *


Nota: * menandakan bahawa sekuriti ini tidak lulus Syariah kerana merupakan instrumen berfaedah.

Sumber-sumber bantuan

Lebih 80% sekuriti yang disenaraikan di MSEB adalah lulus Syariah dan terdapat dalam hampir kesemua sektor. Ini menyediakan peluang pelaburan yang mencukupi bagi pelabur yang berhajat untuk melabur dalam sekuriti lulus Syariah. Pelabur boleh membuat semakan cepat dengan-

Membaca buku kecil SC mengenai Senarai Sekuriti yang Diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti yang boleh diperoleh secara percuma daripada SC dan dikemaskinikan setiap enam bulan; atau Melayari tapak web SC di http://www.sc.com.my/ untuk menyemak senarai sekuriti lulus Syariah.
Tetapi ingatlah bahawa sekuriti lulus Syariah hanyalah untuk menyatakan status dibenarkan atau halal bagi sesuatu sekuriti. Ia bukan satu pengesahan oleh SC bahawa sekuriti itu sesuai untuk pelaburan. Pada asasnya, pelabur mesti membuat keputusan pelaburan mereka sendiri. Oleh itu, pelabur masih perlu melengkapi diri dengan pengetahuan, contohnya membaca prospektus dan laporan tahunan syarikat.

Siapa yang menentukannya?

Sekuriti lulus Syariah ditentukan oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti (SC). Ahli-ahli MPS, yang dilantik oleh SC, terdiri daripada para ulama, hakim dan pakar kewangan. Mereka menentukan sekuriti yang mana mematuhi prinsip-prinsip Syariah.