Sabtu, 5 Mac 2011

Gabon cari syarikat pembalak Malaysia

Republik Gabon menyediakan pelbagai insentif dan kemudahan infrastruktur serba moden bagi menarik lebih ramai pelabur khususnya dalam industri pembalakkan dari Malaysia.



Gabon yang terletak di timur Afrika merupakan negara yang kaya dengan sumber balak meliputi 85 peratus daripada keluasan negara berkenaan.



Negara yang hanya mempunyai kapasiti penduduk lebih 1.5 juta orang mempunyai iklim yang hampir sama dengan Malaysia dan mengeluarkan balak berkualiti tinggi jenis Okoume atau lebih dikenali sebagai Meranti.



Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, kerajaan Gabon sangat berminat untuk bekerjasama dengan pelabur dari negara ini berikutan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki menguruskan aktiviti pembalakan secara mapan.



Menurutnya, bagi tujuan tersebut, mereka telah menyediakan hampir 20 peratus daripada ruang Zon Ekonomi Khas (SEZ) yang merupakan projek utama negara tersebut kepada pelabur dari Malaysia.



''Selain itu kerajaan Gabon turun memberikan insentif seperti pengecualian cukai selama 10 tahun, potongan cukai perdagangan, potongan 15 peratus untuk caj elektrik dan pelbagai lagi.



"Mereka juga menggalakkan kehadiran pengusaha sektor huluan dan hiliran daripada industri berkenaan bagi membantu merancakkan ekonomi negara berkenaan,'' katanya semasa sidang akhbar selepas perasmian Persidangan Peluang Pelaburan Dan Perniagaan Antara Malaysia-Gabon di sini hari ini.



Turut hadir Menteri Air dan Hutan Gabon, Magnagna Christian, Ketua Pengarah Air dan Hutan Gabon, Koumba Nzaou dan Ketua Pengarah Lembaga Perusahaan Kayu Malaysia (MTIB), Jalaluddin Harun.



Pada majlis itu, satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara kedua-dua negara.



Hamzah berkata, negara itu dianggarkan mempunyai 22 juta hektar hutan dara dengan 12.5 juta daripadanya berpotensi untuk dikomersialkan bagi aktiviti pembalakan.



"Negara berkenaan mempunyai tiga pelabuhan utama dan sebuah lapangan terbang antarabangsa untuk kemudahan perdagangan.



"Rakyat Gabon mempunyai tahap celik huruf yang sangat tinggi untuk rantau berkenaan iaitu lebih 90 peratus. Oleh itu, tidak menjadi masalah kepada mana-mana pelabur tempatan yang berminat untuk melabur di sana,'' jelasnya.



Selain mempunyai kekayaan sumber balak, Gabon juga merupakan negara pengeluar minyak dengan 77 peratus daripadanya dieksport dan sumber mineral mangan dengan kapasiti pengeluaran 3.25 juta tan pada 2008.



Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan perdagangan industri kayu negara, Hamzah berkata tahun lalu sebanyak RM20.34 bilion eksport direkodkan, kurang 15 peratus daripada yang disasarkan.



Menurutnya, ia disebabkan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat dan Eropah yang menyebabkan permintaan terhadap kayu merudum.



''Tahun ini dijangkakan eksport akan lebih baik dengan sasaran sebanyak RM25 bilion.



''Namun begitu jika krisis politik yang berlaku di Timur Tengah berterusan, ini akan menjejaskan sasaran tersebut,'' jelasnya.



Bakal berlaku tekanan inflasi - Mustapa

Pelaburan Malaysia di Asia Barat tidak terjejas meskipun berlaku beberapa kemelut politik di beberapa buah negara itu baru-baru ini.



Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed berkata, bagaimanapun apa yang nyata berlaku adalah kesan kenaikan harga petroleum akibat ketidaktentuan di negara-negara terbabit.



Selain itu, beliau berkata, tekanan inflasi juga mungkin berlaku dalam jangka sederhana.



"Implikasi lain adalah harga makanan akan meningkat mendadak di seluruh dunia. Itu tekanan yang kita juga rasa di negara ini.



"Dari aspek pelaburan, Malaysia mempunyai harapan yang tinggi dan buat masa ini, pelaburan Malaysia masih stabil,'' katanya selepas melawat kilang baru dan ibu pejabat JF Technology Bhd. (JF Technology) di sini hari ini.



Turut hadir Pengarah Urusan JF Technology, Foong Wei Kuong.



JF Technology dikorporatkan pada tahun 1999 dan menghasilkan lebih 1,000 jenis pin dan ujian penyiasatan untuk pengendali ujian pengeluar alatan tulen (OEM).



Kos pembinaan kilang dan ibu pejabat baru JF Technology ialah kira-kira RM23 juta.



Melalui ibu pejabat baru itu, JF Technology akan bertukar peranan daripada pengeluar ujian peralatan tulen (OEM) kepada pengeluar cip alatan tulen (ODM).



Wei Kuong pula berkata, beliau mahu JF Technology diiktiraf dan dikenali sebagai pemain industri bertaraf dunia dan bukan pemain di rantau ini semata-mata.



Katanya, melalui kemudahan yang baru di ibu pejabat di sini, pasukan kajian dan penyelidikan akan membangunkan ciptaan baru bagi keperluan pembungkusan alat-alat baru termasuk saiz-saiz pad kecil, pin-pin spring dan lain-lain lagi.



"Kami melihat tahun ini sebagai tahun yang menampilkan keterujaan dan operasi yang lancar untuk kumpulan.



"JF Technology dalam kedudukan yang betul untuk menghadapi fasa seterusnya melalui inovasi teknologi dan kecemerlangan perniagaan,'' ujarnya.