Sabtu, 5 Mac 2011

Bakal berlaku tekanan inflasi - Mustapa

Pelaburan Malaysia di Asia Barat tidak terjejas meskipun berlaku beberapa kemelut politik di beberapa buah negara itu baru-baru ini.



Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed berkata, bagaimanapun apa yang nyata berlaku adalah kesan kenaikan harga petroleum akibat ketidaktentuan di negara-negara terbabit.



Selain itu, beliau berkata, tekanan inflasi juga mungkin berlaku dalam jangka sederhana.



"Implikasi lain adalah harga makanan akan meningkat mendadak di seluruh dunia. Itu tekanan yang kita juga rasa di negara ini.



"Dari aspek pelaburan, Malaysia mempunyai harapan yang tinggi dan buat masa ini, pelaburan Malaysia masih stabil,'' katanya selepas melawat kilang baru dan ibu pejabat JF Technology Bhd. (JF Technology) di sini hari ini.



Turut hadir Pengarah Urusan JF Technology, Foong Wei Kuong.



JF Technology dikorporatkan pada tahun 1999 dan menghasilkan lebih 1,000 jenis pin dan ujian penyiasatan untuk pengendali ujian pengeluar alatan tulen (OEM).



Kos pembinaan kilang dan ibu pejabat baru JF Technology ialah kira-kira RM23 juta.



Melalui ibu pejabat baru itu, JF Technology akan bertukar peranan daripada pengeluar ujian peralatan tulen (OEM) kepada pengeluar cip alatan tulen (ODM).



Wei Kuong pula berkata, beliau mahu JF Technology diiktiraf dan dikenali sebagai pemain industri bertaraf dunia dan bukan pemain di rantau ini semata-mata.



Katanya, melalui kemudahan yang baru di ibu pejabat di sini, pasukan kajian dan penyelidikan akan membangunkan ciptaan baru bagi keperluan pembungkusan alat-alat baru termasuk saiz-saiz pad kecil, pin-pin spring dan lain-lain lagi.



"Kami melihat tahun ini sebagai tahun yang menampilkan keterujaan dan operasi yang lancar untuk kumpulan.



"JF Technology dalam kedudukan yang betul untuk menghadapi fasa seterusnya melalui inovasi teknologi dan kecemerlangan perniagaan,'' ujarnya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan